Bab 199-Mahluk Halus Dalam Darah

2.3K 28 0
                                    

WALAUPUN waktu solat maghrib masih jauh, lebih kurang tiga jam lagi. Tetapi, saya dan Andi Kamarool sengaja pergi awal ke masjid kami berpendapat dari duduk di rumah, terlentang tertiarap, lebih baik duduk di masjid. Boleh juga membelek-belek kitab lama tulisan jawi.

Dengan berbuat demikian, dapat menambahkan pengetahuan tentang hukum-hukam yang ada hubungkaitnya dengan ilmu agama. Mana yang tidak faham atau ada perkara yang meragukan, bolehlah dirujukan kepada datuk atau Haji Basilam.

"Bahasa kitab lama berbelit-belit. Ejaannya masih ejaan lama," tutur Andi Kamarool.

"Datuk dan Haji Basilam, boleh menolong," sanggah saya sambil menghayunkan langkah di bawah sinar matahari petang yang kian redup.

"Betul cakap kamu Tamar."

"Mereka berdua orang tua yang banyak pengalaman."

"Kita ni orang apa Tamar."

"Kita orang muda yang serba tak tahu, mesti belajar supaya tahu," kata saya. Dan kami segera ketawa.

Langkah menuju ke masjid dipercepatkan. Bila sampai di halaman masjid, apa yang direncanakan dalam kepala menjadi sebaliknya. Kami, berhadapan dengan kumpulan anak-anak muda dengan kegiatan masing-masing.

"Andi!"

Langkah Andi Kamarool terhenti, begitu juga dengan langkah saya.

"Kenapa Tamar."

"Kita patah balik, aku takut terjadi sesuatu yang tidak baik Andi."

"Aku tidak berfikir begitu, kita mencari persahabatan, bukannya musuhnya Tamar."

"Aku bimbang Andi."

"Lapangkan hati, otak dan perasaan kamu Tamar. Ayuh."

Andi Kamarool menyambung kembali langkah yang terhenti. Saya tiada pilihan lain, terpaksa akur dengan kemahuan Andi Kamarool. Dan kami kian menghampiri kawasan masjid.

Di halaman masjid yang berumput pendek, sekumpulan anak muda sedang bermain sepak raga. Mereka menyambut kehadiran kami dengan ramah sekali. Malah mempelawa kami agar turut serta dalam kumpulan mereka. Manakala di sudut kanan surau, kelihatan sekumpulan anak muda menjalankan kegiatan latihan ilmu mempertahankan diri atau seni silat dengan diawasi oleh seorang guru berbadan tegap.

Si guru duduk atas tunggul kelapa, tidak memakai baju. Kedua-dua belah lengannya dililit dengan secebis kain berwarna kuning. Wajahnya serius bercampur bengis. Ketika saya merenung ke arahnya, secara tidak sengaja pandangan kami bertembung. Dia meluahkan senyuman keramahan, wajah yang serius dan bengis tenggelam dalam senyuman yang manis macam senyum P. Ramlee dalam filem Bujang Lapok.

Senyum yang diberi saya sambut dengan anggukkan. Kerana tertarik dengan langkah dan buah silat yang dipamerkan oleh anak-anak muridnya, saya memutuskan untuk berada di tepi gelanggang. Duduk bersila di bangku panjang yang disediakan di situ.

"Kamu mahu duduk di sini, Tamar?" Tanya Andi Kamarool.

Saya segera anggukkan kepala.

"Aku mahu ke gelanggang sepak raga," susul Andi Kamarool lagi.

"Silakan."

"Jadi, kamu tak mahu ikut aku Tamar."

'Tak mahu," kata saya tegas.

Andi Kamarool pun ubah haluan, dia melangkah lemah menuju ke gelanggang sepak raga. Saya tahu, dia memang ininat dengan permainan tersebut. Biarlah Andi Kamarool dengan halnya sendiri, bisik batin saya.

BERAKHIR

SELURUH perhatian, saya tumpukan ke gelanggang silat. Dari hujung mata saya dapat mengesan gerak geri si guru di atas tunggul kelapa. Di samping melihat anak-anak muridnya, dia juga melihat gerak-geri saya, terutama cara saya duduk bersila, gerak badan saya pada setiap kali anak muridnya melakukan serangan. Saya cuba menghadkan gerak-geri, agar jangan ketara dimata guru silat. Ternyata usaha itu kurang berhasil.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now