Bab 206-Didatangi Kelawar Mata Merah

2.1K 30 0
                                    

SAYA jadi bosan berhadapan dengan kerenah datuk dan Harun Fadillah, tidak habis-habis dengan persoalan keluarga. Dan saya tidak berdaya keluar dari suasana yang menjemukan itu.

Saya tidak berani menyatakan rasa bosan itu kepada datuk. Takut kena herdik. Mahu tidak mahu, terpaksa menjadi manusia pendengar yang paling setia di dalam suasana yang sungguh menjemukan perasaan. Secara mengejut telapak tangan kiri datuk menepuk lantai. Dengan serta merta dia bangun seperti mahu membuka buah silat. Bersama wajah yang tenang, datuk mendada melangkah ke pintu.

"Husss..... " Datuk mendengus dan serentak dengan itu dia menolak daun pintu. Aneh sungguh, pintu yang diselak terbuka sendiri. Angin malam pun merempuh masuk, sambil berdiri di muka pintu datuk merenung ke arah halaman Istana Maimun.

"Lagi apa katanya, Run?" Datuk memusingkan badan, membelakangi halaman Istana Maimun merenung ke arah saya dan Harun Fadillah. "Arwah memberitahu saya, semua rahsia, semua pantang larang sudah diceritakan kepada Memanda semasa hayatnya. Bila sampai masanya Memanda akan menolong, jika diminta," suara Harun Fadillah tersangkut-sangkut. Mukanya nampak cemas.

Angin malam bertambah hebat merempuh masuk membawa kertas dan dedaun ke ruang tamu. Beberapa ketul bebatu kecil berterbangan menghentam belakang datuk. Dengan pantas datuk memusingkan badan lalu merapatkan kembali daun pintu yang terbuka. Perlahan-lahan datuk melangkah ke arah kami, terus duduk bersila ditempat semula.

Ada sesuatu yang ganjil dapat saya rasakan pada diri datuk. Dia berhadapan dengan kami. Mata kami dengan matanya berlaga tetapi, dia tidak melafazkan sepatah kata Dengan tenang sepasang

tangannya di dakap ke dada. Kedua-dua belah kelopak matanya dirapatkan dan sepasang bibirnya bergerak-gerak. Kerana akrab dengannya saya dapat membaca gerak bibirnya. Saya pasti, datuk membaca surah yassin hingga tamat.

Perlahan-lahan datuk membuka kelopak mata. Seluruh dahinya berpeluh dan beberapa bahagian bajunya basah kerana peluh. Dari arah dapur terdengar seperti ada orang yang berjalan. Dengan secara tiba-tiba saja, bulu roma saya tegak berdiri. Datuk renung muka Harun Fadillah.

"Dalam rumah ni, ada bilik larangan dan...... "Datuk berhenti bercakap. Badannya terlayah ke belakang seperti ada yang menolaknya. Bersusah payah datuk membetulkan kedudukan tubuhnya kembali. Bila dirasakan cukup selesa, sepasang mata datuk mula melilau ke setiap sudut ruang. Dan renungan itu terpaku pada daun pintu yang bermanggakan tembaga putih. Tidak berkelip datuk merenung ibu kunci yang tergantung di situ.

"Agaknya, bila aku boleh berjumpa dengan si Nonong, Run?" dengan segera datuk mengalih pandangan dari pintu bilik bermangga tembaga putih ke wajah Harun Fadillah yang nampak resah tidak menentu. Seluruh wajah Harun Fadillah berada dalam anak mata saya. Penuh debar saya menanti jawapan yang bakal ditutUrkan oleh Harun Fadillah untuk datuk.

PARAS

TERLALU lambat rasanya Harun Fadillah mahu membuka mulut. Jawapan dari Harun Fadillah menentukan, sama ada saya berpeluang untuk melihat rupa kakak sulungnya. Memang, saya teringin sekali mahu melihat kecantikan paras rupa si Nonong sebagaimana yang didakwa oleh datuk. Adakah Nonong lebih cantik dari Mia gadis keturunan harimau?

"Dua hari lagi, Memanda." Suara Harun Fadillah penuh keyakinan. Dia menarik dan melepaskan nafas. Dan kali ini biji mata datuk yang bercahaya ditentangnya. "Kalau begitu, aku tunggu kepulangannya," datuk tegakkan batang leher, sinar matanya memancarkan sebuah keyakinan. "Itulah yang sebaik-baiknya dan itulah yang harapan saya," wajah Harun Fadillah dibalut keriangan. Senyum pun berlari dikelopak bibirnya.

BIOLA

SUARA alunan biola dan gendang dari halaman Istana Maimun sudah lama berhenti. Deru kereta sudah agak berkurangan tetapi, lampu jalanan terus mengerdip. Kedinginan malam terasa mengigit kulit. Masalah Nonong, sudah tidak menjadi bualan atau perbincangan utama antara datuk dengan Harun Fadillah. Jam tua di dinding pun berdenteng sebelas kali. "Mengantuk?" Soal Harun Fadillah bila dia melihat saya menguap panjang. "Boleh tahan lagi," saya menjawab.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now