Bab 203-Harimau Menangis

1.9K 29 4
                                    

KATA-kata yang diluahkan oleh Haji Basiron membuat Andi Kamarool terdiam dan termenung panjang. Matanya merenung ke arah rumah batu. Dia bagaikan mengelamun. "Ingat cakap aku tu," tambah Haji Basilam. "Ingat," jawab saya. Andi Kamarool hanya mengangguk saja.

Haji Basilam masuk ke ruang dapur, entah apa yang dibuatnya, saya pun tidak tahu. "Andi," saya bersuara sambil menoleh ke arahnya. Tiada sebarang reaksi yang saya terima. Sesekali dia menarik dan melepaskan nafas bersama keluhan kecil. Melihat keadaan sedemikian, saya tahu Andi Kamarool sedang berperang dengan perasaannya. "Andi, mari kita duduk di sana," saya mengajukan cadangan dalam usaha menenangkan perasaannya. Andi Kamarool membisu.

"Duduk ditingkap yang menghala ke arah anak bukit, boleh menenangkan perasaan, kita boleh melihat matahari jatuh dan awan yang bermacam warna," saya mula berkempen. "Tak payah ajak aku, kamu tengok sendiri." Jawapan yang amat mengecewakan hati. Dan terpaksa di terima dengan senyum. Akhirnya, saya sendiri yang berubah tempat, merenung puncak anak bukit dan awan gemawan yang beranika warna. Andi Kamarool terus mengelamun sendirian. "Hairan, kenapa Mia sendiri tidak beritahu aku."

GELORA

SESUNGGUHNYA, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Tidak ada daya saya untuk menenangkan gelora perasaannya. Saya kembali merenung puncak anak bukit dan awan petang. Sayup-sayup terdengar suara tetibau. Biarlah Andi Kamarool mengelamun melayani perasaannya fikir saya.

"Ha! kamu berdua jangan ke mana-mana, aku mahu ke situ sekejap. Sebelum waktu maghrib aku balik," kata Haji Basilam di muka pintu tengah, sebaik saja dia keluar dari ruang dapur. Tanpa menunggu jawapan dari saya dan Andi Kamarool, Haji Basilam segera turun dari rumah.

Dari jendela yang terdedah, saya melihat Haji Basilam melangkah tenang menuju ke arah halaman rumah batu lama. Ternyata, Haji Basilam tidak mungkir janji. Beberapa minit menjelang waktu maghrib, dia sudah pun berada di rumah lalu menjadi imam sembahyang maghrib. Kemudian, dilanjutkan dengan pembacaan dan wirid serta sembahyang sunat hingga sampai waktu Isyak.

"Sekarang dah sampai masanya." Sambil melipat sejadah, Haji Basilam merenung ke arah saya dan Andi Kamarool. Saya segera bangun dan berlari ke tingkap merenung ke arah rumah batu lama. Para jemaah dari masjid mula datang berduyun ke rumah Mia yang diterangi dengan cahaya lampu.

"Pergi bersiap cepat, jangan sampai orang menunggu kita," Haji Basilam memberi arahan. Tanpa membuang masa kami terus mematuhinya. "Cantikdan nampak kacak, kamu berdua memang tampan dengan pakaian tradisional. Samasama segak, macam anak Raja Melaka." Dalam senyum Haji Basilam mengusik kami. Saya dan Andi Kamarool tersenyum. "Antara saya dengan Andi, siapa yang lebih kacak dan bergaya," saya cuba berjenaka. Buat beberapa ketika Haji Basilam merenung ke arah Naya yang bertanjak dan bersampin dengan sepasang capal dikaki. "Hummmm.............. ," desis Haji Basilam lemah. "Bagaimana?". Saya mencelah.

Tiada jawapan dari Haji Basilam tetapi, sepasang anak matanya terus menyorot ke batang tubuh Andi Kamarool dalam tempuh waktu yang agak lama.

KUKU

TANPA mahu meluahkan sebarang komen, Haji Basilam terus memperkemaskan silanya. Dia terus mengigit kuku di ibu jari kanannya. "Andi lebih kacak dan bergaya, kalau diselitkan keris pendek atau panjang ke pinggangnya, dia nampak lebih hebat lagi." Pujian yang diberikan oleh Haji Basilam, tidak menimbulkan sebarang reaksi di wajah Andi Kamarool. Dia tetap seperti tadi, nampak bersahaja. "Nanti aku selitkan keris ke pinggangnya." Haji Basilam segera menyelitkan keris pendek ke pinggang Andi Kamarool. Entah, dari mana dia memperolehi keris tersebut. Tidak pula saya ketahui.

"Kamu juga hebat Tamar tapi,...." Haji Basilam segera menekup mulutnya dengan telapak tangan kanan. "Kenapa dengan saya Pak aji?" "Kamu agak rendah, kamu pendek jika dibandingkan dengan si Andi," sambung Haji Basilam. Saya ketawa terkikih.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 15 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now