89.Pokok Ketapang Berjalan

1.9K 27 0
                                    

Seisi kampung menjadi gempar pasal budak-budak balik dari mengaji disurau terserempak orang mengusung mayat ke tanah perkuburan.Mereka tidak dengar siapa pun dikampung berkenaan meninggal dunia.Kalau ada kematian masakan dikebumikan tengah malam hingga tidak sempat menunggu siang.
Memang mereka tidak peduli sangat budak-budak balik mengaji dari surau yang terserempak,Kerana budak-budak mudah terbebar takut.Kadang kala nampak bayang bersilau cahaya api pun mereka terjerit lantas menuduh hantu pocong melompat.Manalah boleh dipercayai sangat sekiranya budak-budak heboh terserempak orang mengusung mayat.
Apalagi tatkala dijengah ke tanah perkuburan sebaik sahaja pagi cerah melayah,tidak ada pun kesan tanah kubur digali orang.Tetapi bukan lasah atau mamat sahaja nampak beberapa orang mengusung mayat dalam kegelapan malam,malah kawan-kawannya yang lain esah,birah dan emun juga nampak usungan mayat itu dipikul.
Tatkala mereka menyuluh dengan api pelita ditangan,mereka tidak jelas sangat siapa yang mengusung mayat itu.Cahaya api pelita yang terkedau-kedau ditiup angin itu bukan terang sangat.Sebab itu mereka tidak cam siapa yang mengusung mayat berkenaan,sekalipun bau busuk meruap-ruap menusuk ke hidung.
"Cakap budak-budak,bukan boleh percaya sangat"dolah jekeng ingatkan isterinya tuminah yang mengambil keputusan tidak mahu benarkan anak mereka birah mengaji ke surau.Bimbang juga dia sekiranya anak kecil baru berumur sepuluh tahun itu terkejang demam akibat terkejut ditengah gelap malam.
"Tak payah ke surau pun apa salahnya"gerutu tuminah berkeras tidak mahu birah mengaji ke surau kalau balik selepas isya.Kenapa lebai jaamat tidak mengajar sebelah petang sahaja,biar budak-budak balik ke rumah sebelum maghrib.
Lantas sahaja dia salahkan lebai jaamat mengajar budak-budak mengaji disurau selepas dia solat maghrib.Tetapi tuminah tidak pula membantah.Dia sekadar ikut sahaja jiran-jiran menghantar anak-anak mengaji menjelang maghrib,biar mereka solat berjemaah dengan lebai jaamat.
"Sebab itu jangan takutkan budak-budak dengan hantu"ujar dolah jekeng macam kesal disebabkan ibu-ibu di kampung gemar sangat takutkan anak-anak dengan hantu.
Mereka tidak benarkan anak-anak bermain ditengah halaman tatkala senja meremang kerana disorokkan hantu kopek.Kalau merayau ditengah belukar tentu disorokkan hantu wirwir.Tentu mereka suda sangat menuduh hantu berkeliaran apabila terkejut dengan bayang pokok bergoyang ditiup angin malam.
"Ramai budak-budak tu nampak,takkan mereka bohong"mendengus marah tuminah disebabkan suaminya tidak percaya dengan tuduhan budak-budak berkenaan.Tetapi dolah jekeng tidaklah desak sangat anaknya birah ke surau kalau dia sendiri tidak mahu mengaji hingga balik ditengah kegelapan malam.
Bukan birah sahaja tidak ke surau mengaji selepas maghrib,emun dan esah juga tidak dibenarkan oleh emaknya.Lainlah lasah dan mamat mereka budak lelaki tengah nakal.Mana lah dia takut kalau terserempak lagi orang mengusung mayat dalam samar cahaya api pelita terkedau-kedau.
  Lantas sahaja lasah menegur tanyakan mereka siapa yang mati dikampung mereka.Sewaktu orang yang mengusung menjawab mereka tidak dengar sangat biji butirnya.Hingga hilang diselekoh jalan bau busuk meruap-ruap itu berterusan.Selepas orang mengusung mayat itu hilang,barulah mereka berlima ketakutan.Cepat-cepat pula mereka berlari kerumah birah.
  Terpaksalah pula dolah jekeng hantar budak-budak yang lain balik ke rumah,setelah masing-masing tidak berani meranduk kegelapan malam.Semenjak itu pula seisi kampung heboh dengan kejadian mayat diusung ketanah perkuburan tengah malam.
Tidak lama selepas itu talip sepet juga terserempak orang mengusung mayat itu tatkala mencari lembunya hilang.Dia sudah ikat kukuh-kukuh lembunya pada anak pokok cenerai biar meragut rumput dihujung padang.Tetapi lembu jantan berikat leher itu merentap kuat sampai anak pokok cenerai tercabut akar.
Tahu sangat dia kalau lembut tidak ditindik hidung memang kuat merentap tali diikat keleher.Jangan kata anak pokok cenerai tercabut akar,kalau diikat dibencah pokok sebesar lengan pun akan dihunjam habis.Tetapi lembu ditindik hidung tidak akan gemuk macam lembu diikat leher.Sebab itu talip sepet tidak mahu lembu jantannya ditindik hidung.
Biarlah dia terpaksa susup sasap meranduk keluar belukar sekiranya lembu jantan itu meronta hingga menghunjam tali pengikat.Kemana lembunya mahu menyusup memang tidak akan dapat lepaskan diri kemana.Kalau tidak juga ditemui dimana-mana talip sepet akan urut siku tangannya tiga kali kemudian diasak pada gelegar rumah.Petua itu sudah cukup dia mengagak sama ada lembunya jauh melilau atau tersangkut di mana-mana.
Bukan takut penduduk kampung hilang lembu atau kambing sahaja meminta talip sepet asakkan siku pada gelegar rumah,malah orang india ditepi estet juga datang menemui dia.Selepas talip sepet menggunakan petua asak siku ke gelegar rumah itu nescaya mereka terserempak lembu atau kambing tersebut sama seperti diterka lelaki itu.
Tetapi talip sepet tidak boleh tandingi wak jumin kalau penduduk-penduduk kampung hilang lembu tengah meragut ditepi belukar.Tidak sampai setengah jam nescaya lembu berkenaan akan balik ke rumah.Kalau lembu hilang yang diseru oleh wak jumin tidak balik,mereka dapat mengagak sama ada tali pengikat lehernya tersangkut atau terjerumus ke dalam lumpur pecah.
  Sekiranya lembu berkenaan diheret harimau ke tangah dan ke tengah hutan memang berbekas ditempat binatang itu meragut rumput.Bila-bila mereka akan jejak harimau berkenaan sampai ke tengah hutan.Masakan harimau membaham ternakan mereka dapat lepaskan diri apabila wak jumin sudah jengkal biasa tapak kakinya.
  Memang talip sepet tidak boleh tandingi wak jumin.Tetapi dia juga tidak terniat langsung mahu tunjukkan kebolehannya melebihi sesiapa.Hanya penduduk kampung sahaja serbu dia setelah binatang ternakan hilang.Mahu cari wak jumin tentu jauh meranduk tepi parit kerana orang tua tinggal berhampiran bagan.
  Apalah salahnya tumpu ke rumah talip sepet terlebih dahulu.Sekiranya talip sepet tidak mampu,mereka boleh randuk juga tepi parit mencari wak jumin.Mereka temui talip sepet sekadar tidak ada rotan akar pun berguna juga.Acapkali talip sepet menuturkan demikian tatkala penduduk-penduduk kampung menemui dia pasal lembu ternak hilang tengah meragut rumput.
Hinggalah lembu jantannya tidak ditemui ditepi belukar setelah diikat pada perdu anak cenerai menyebabkan talip sepet terpaksa mencarinya.Merungut juga dia apabila anak cenerai tercabut akar direntap lembu jantan ikat ke leher itu.Tenaganya terlalu kuat sampai anak cenerai sebesar secekak juga tercabut akar.
Tatkala menyusur lorong kecil di darat kampung arah ke tanah kubur itulah talip sepet terserempak beberapa orang lelaki mengusung usungan mayat.Tidak cam pula siapa yang mengusungnya kerana cahaya samar-samar sahaja.Mahu disuluh muka mereka dengan lampu picit bimbang pula mereka tersinggung.
"Siapa yang meninggal tu?"segera talip sepet memanggil sebaik sahaja mereka berselisih jalan.
"Orang sini juga"sahut lelaki yang mengusung dihadapan dengan suara bergetar halus.
"Orang sini tu siapa?"desal talip sepet mahu mengetahui siapa yang meninggal dunia di dalam kampung.
  Mustahil dia tidak tahu mengenai kematian didalam kampung disebabkan mereka seisi kampung sering bertembung dimana-mana.Kalau ada jiran sakit terkejang pun mereka akan sama-sama jengah.Seisi kampung akan diberitahu kalau berlaku kematian dimana-mana.Tetapi talip sepet tidak dengar siapa pun dikampungnya terkejang sakit.
"Orang sini tu,siapa?"ulangi talip sepet kuat sedikit,tetapi siapa pun tidak menyahut.
Mereka terus bergegas-gegas mengusung mayat di tengah kesamaran malam.Ketika ini bau busuk mula meruap-ruap menusuk ke hidung.Lantas talip sepet ingatkan pasal anaknya emun tidak berani lagi mengaji kesurau disebabkan terserempak orang mengusung mayat itu.
Hanya selang beberapa malam sahaja sahak balam pula terserempak beberapa orang lelaki mengusung mayat itu melalui celah belukar nipah.Terdengar pada sahak balam air berdecau-decau diranduk kaki mereka yang mengusung disebabkan kawasan tersebut berlopak.Tetapi sahak balam tidak beritahu siapa pun mengenai kejadian dia terserempak orang mengusung mayat itu.
Setelah orang-orang kampung heboh dengan kejadian terserempak orang mengusung mayat itu barulah sahak balam juga mengaku.Tetapi dia tidak bimbang apa-apa,kerana perkara mengusung mayat itu sahak balam tidak peduli sangat.Asal sahaja berlaku kematian jarang dia datang menjengah.Kalau datang pun takat membantu gali kubur sahaja.
Selepas itu sahak balam akan jinjing denaknya meranduk belukar memikat balam bersiul langsing.Sebab itu dia tidak peduli sangat siapa pun mengusung mayat ditengah kegelapan malam.Dia juga tidak ambil peduli sangat kenapa mereka tidak membawa lampu sekiranya mahu kebumikan mayat di tengah kegelapan malam.
"Hairan juga aku,kenapa tak ramai orang hantar mayat ke kubur"tersengih-sengih sahak balam setelah kejadian tersebut semakin heboh.Kanak-kanak bertambah takut mahu membuka tingkap pada waktu malam.Apa lagi tidur dengan dinding berlubang-lubang terbayang-bayang sahaja bagaikan biji mata terjegil mengintai disitu.
  "Kamu dah terserempak kenapa tak beritahu?"ujar talip sepet mengeluh pendek setelah menyedari kampung berkenaan diganggu petaka demikian.
"Tak kuasa aku nak campur urusan orang"sahut sahak balam kesal juga kerana seringkali memencilkan diri dari masyarakat semata-mata asyik memikat balam ditengah belukar.
  "Dalam keadaan macam ni,kamu perlu ikut juga masbuk orang"lantas lebai jaamat ingatkan mereka supaya tidak jadi enau dalam belukar lepaskan pucuk sendiri sahaja.
"Orang ke atau bayangan aje orang usungan mayat tu?"dolah jekeng pula berasa hairan.
"Kamu tengok macam mana?"lantas lebai jaamat mengusiknya kerana dolah jekeng sendiri mengaku terserempak kejadian tersebut.
"Saya nampak macam orang betul"jelas dolah jekeng tidak dapat berdalih lagi kerana dia memang gementar apabila kenang kejadian yang dialaminya itu.
Tetapi lebai jaamat tidak pernah terserempak sekali pun dia balik dari surau selepas habis maghrib.Setiap kali dia melalui lorong menuju ketanah perkuburan sebelum membelok ke simpang rumahnya,memang lebai jaamat tidak nampak apa-apa pun.
Sekiranya jemaah orang mengusung mayat itu tidak mengganggu sesiapa,lebai jaamat menyuruh orang-orang kampung jangan bimbang apa-apa.Kalau takut keluar malam,duduk sahaja dirumah jangan ke mana-mana.Semenjak beberapa hari jelmaan orang membawa usungan itu dilihat penduduk kampung,belum pernah pula ianya melintas di depan tangga.
Mereka yang melalui lorong kecil ke kawasan tanah perkuburan itu sahaja yang terserempak.Sebab itu lebai jaamat ingatkan mereka tidak perlu bimbang apa-apa kalau mereka tidak keluar kemana-mana.Lainlah lebai jaamat berulang alik kesurau disebabkan rumahnya berdekatan sahaja disitu.Dilaung dari pintu rumah pun boleh didengar sampai ke surau.
"Kalau bencana,kita orang kampung mesti siahkan juga,lebai"dolah jekeng mendesak supaya mereka tidak berdiam diri sahaja.Manalah tahu bencana itu tanda-tanda malapetaka akan menimpa kampung halaman mereka.
  "Kita buat sembahyang hajat beramai-ramai"lantas lebai jaamat membuat keputusan.
Siapa sahaja bersetuju apabila diminta oleh lebai jaamat buat sembahyang hajat biar malapetaka terhindar jauh dair kampung mereka.Dalam keadaan terdesak memang mereka tidak akan membantah.Lagi pun perkara jelmaan orang membawa usungan mayat itu bukan perkara biasa dalam kehidupan seharian mereka.
  Kalau ada kematian tentu tanah perkuburan berbekas kesan digali orang.Mereka juga dapat cam siapa jiran yang meninggal dunia,kerana kampung berkenaan bukanlah ramai sangat penduduk.Mereka boleh cam siapa sahaja yang menetap disitu.Masakan mereka tidak tahu siapa yang meninggal atau terkejang sakit sejak berhari-hari.
  Tiga malam seisi kampung buat sembahyang hajat disurau,mazin tengkak pula terserempak empat orang lelaki membawa usungan mayat itu.Mereka beratib sepanjang perjalanan ke kubur di tengah kegelapan malam.Terkejut benar mazin tengkak apabila berselisih jalan.Kalau dia menyedari jelmaan orang membawa usungan mayat itu jauh didepannya tatkala mendengar ratib berulang kali,memang mazin tengkak cepat-cepat melarikan diri.
Tetapi dia tidak dpaat undur kemana-mana hanya dalam jarak beberapa ela sahaja jelmaan itu tersergam didepannya.Mereka beratib seolah-olah tidak melihat sesiapa pun disitu tatkala berselisih jalan dengan mazin tengkak.Dia tahu memang jelmaan itu menganggu sesiapa.Kalau ianya mahu menganggu sudah tentu mazin tengkak terkejut hingga demam terketar-ketar.
"Hah,lagi kita buat sembahyang hajat,makin galak dia keluar"dolah jekeng tidak dapat menahan sabar semasa berkumpu disurau.
"Sembahyang hajat ni satu ibadat saja,dolah"lantas lebai jaamat ingatkand ia supaya tidak salahkan sembahyang hajat.Perkara sembahyang hajat pun sekadar berdoa sahaja,urusan mengabulkan doa hanya allah sahaja yang menentukan.
"Kita kene cari bomoh"desak dolah jekeng seolah-olah membuat keputusan biar seisi kampung mematuhi.
"Kalau kamu boleh cari bomoh,carilah"sahak balam bersetuju sekiranya dolah jenkeng boleh tunjukkan kepada mereka bomoh berkenaan.
"Bukan aku cari,tapi kita sama-sama cari"jelas dolah jengkeng mencemik muka disebabkan sahak balam sengaja letakkan beban demikian ke bahunya.
Siapa lagi boleh diharap dalam kampung kalau mereka tidak tahu siapa bomoh yang mampu berdepan dengan jelmaan berkenaan.Kalau dibiarkan berterusan manalah tahu kalau jelmaan itu akan mengusik orang-orang kampung pula.Bagaimana kalau orang membawa usungan mayat itu terus ke dapur atau ke tengah rumah?.Mereka akan meletakkan mayat ditengah rumah sampai tergolek tidak berkapan.
Dolah jekeng sudah bayangkan mayat tergolek ditengah rumah akan bingkas bangun mencari mangsa.Apa lagi kalau anak-anak kecil bersama orang perempuan tinggal dirumah tatkala orang lelaki pergi berjemaah di surau.Kemana mereka mahu bersembunyi kalau mayat dalam usungan diletakkan ditengah rumah masing-masing.
  "Sebelum terjadi perkara buruk,kita mesti berikhtiar"dolah jekeng berkeras mahu berikhtiar dapatkan khidmat bomoh sekali pun lebai jaamat sudah buat sembahyang hajat beramai-ramai.
"Ikhtiar macam mana,cakaplah"desak mazin tengkak mahu tahu apa yang berkocak jauh disudut hati dolah jekeng.
  "Kita jumpa wak jumin"lantas dolah jekeng teringatkan wak jumin dihujung parit yang memang mahir amalkan jampi serapah sampai lembu hilang balik sendiri ke rumah.
  "Wak jumin tu,kalau lembu hilang,bolehlah dia jampikan"lantas talip sepet mencelah.
"Cubalah dulu,mana kita tahu kepadaian orang"lebai jaamat marahkan anak saudaranya kerana perkecilkan wak jumin itu.
Sebaik sahaja diberitahu wak jumin mengenai kejadian yang menimpa kampung berkenaan dia tidak terkejut apa-apa.Kalau sudah beberapa kali terserempak orang membawa usungan mayat,kenapa tidak diekori kemana mereka kebumikan mayat?.Tetapi wak jumin dapat mengagak tentu dolah jengkeng,sahak balam mahu pun talip sepet takut mahu mengekori.
Apa salahnya diekori ke mana orang membawa usungan mayat untuk menyusup masuk?.Disebabkan hati diselubungi ketakutan mereka menjadi terpempam dengan terkebil-kebil mata sahaja.Lebai jaamat yang beberapa kali mengendap mahu melihat sendiri orang mengusung mayat itu,tidak pula pernah terserempak.
Memang wak jumin juga mengakui pernah mengalami kejadian tersebut sebelum berpindah ke semenanjung,tatkala masih lagi di kampung halamannya.Asal sahaja malam bulan mengambang penuh,berturut-turut malam mereka melihat orang membawa usungan mayat.Hanya beberapa langkah sahaja mereka berselisih dijalan mereka semua hilang dari pandangan.
Seisi kampung bersetuju berkawal malam mahu memerangkap siapa membawa usungan mayat berkenaan.Pak seboro yang berkeras sangat mahu menghambat jelmaan tersebut mengawal disimpang masuk ke tanah perkuburan.Tetapi dia dikejutkan apabila diberitahu usungan mayat berkenaan diletakkan ditengah rumahnya.Mereka yang membawa usungan itu menghilangkan diri sebaik sahaja mayat diatas usungan diletakkan ditengah rumah.
Termengah-mengah anak pak seboro beritahu ayahnya bersama orang-orang kampung yang berkawal mengenai usungan mayat yang diletakkan ditengah rumahnya.Sewaktu mereka balik kerumah,tidak bertangguh pak seboro menyingkap kain yang menutupi mayat.Mereka melihat hanya tulang rangka sahaja diatas usungan tersebut dengan bau busuk menusuk ke hidung.
  Memang wak jumin sendiri melihat tulang-tulang rangka diatas usungan mayat itu.Lantas sahaja pak seboro perintahkan mereka kebumikan sahaja tulang rangka berkenaan.Dalam masa mereka bersiap-siap untuk kebumikan semula tulang-tulang rangka itu,usungan tersebut menjadi reput dimakan anai-anai.Sekaligus tulang-tulang rangka itu bercantum terus melompat bangun.
Belum sempat mereka mahu menghambat tulang-tulang rangka itu hilang dalam kesamaran malam.Semenjak kejadian yang menimpa pak seboro itu orang-orang kampung menjadi gementar.Siapa sahaja yang berkeras mahu memerangkap nescaya usungan mayat itu akan dihantar ke tengah rumahnya.Kadang kala mayat itu sudah reput tergolek disitu dengan ulat berenga merata-rata.
"Kamu jangan terpedaya,jumin"pak kiyai ingatkan wak jumin apabila anak muridnya serba salah mahu berdepan dengan gangguan demikian.
"Tapi,ternyata gangguan ilmu hitam pak kiyai"jelas wak jumin kerana tidak mungkin mahu melawan ilmu hitam sekiranya tidak setanding dengan amalan lawan.
"Ilmu allah meliputi tujuh petala bumi,tujuh petala langit"tegas pak kiyai memberi keyakinan.
Dalam masa orang-orang kampung berkawal dipintu rumah masing-masing asal sahaja bulan mengambang penuh.Pak kiyai tidak berganjak dari madrasahnya.Lama pak kiyai berzikir memegang buah tasbihnya,tiba-tiba wak jumin mendengar dia bersuara keras.
Beberapa orang yang terconggok di madrasah juga tidak melihat apa-apa tatkala pak kiyai menuding jari ketengah halaman madrasah.Kemudian pak kiyai menyuruh meletakkan sesuatu di situ menyebabkan mereka yang terconggok di madrasah berasa hairan.Tidak ada apa-apa pun mereka lihat di tengah halaman madrasah,tetapi pak kiyai memberi isyarat supaya jangan bergerak lantas membacakan : Bal nuqzifu bil-hoqqi 'alalbathili fayad maghuhu fa-izahuwa zahiqqon,walakumul wailu mimma tusifun,wahuwallahu la-ilaha illa huwa lahulhamdu fil-ula wal-akhirati walahul hukmu wailaihi turja'un.
Sekaligus mereka mendegar jeritan sayup-sayup diudara bagaikan terganggang ke api menyala.Getar suara kesakitan akibat terbakar itu semakin lama hilang bersama angin malam bertiup perlahan.Apabila didesak pak kiyai beritahu mengenai kejadian itu dia sekadar menggeleng kepala sahaja beristigfar berulang kali.
Tatkala mereka dimadrasah mahu balik kerumah,embah limi termengah-mengah berlari mahu menemui pak kiyai.Hiba sangat embah limi beritahu mengenai suaminya mas wakas mati terkejang dengan seluruh badannya melecur laksana rentung terbakar.Sewaktu wak jumin bersama pak kiyai menjengah kerumah mas wakas,dia melihat ditangan mayat tergenggam bungkusan kecil.
Segera pak kiyai keluarkan bungkusan itu dari genggaman mas wakas.Di dalam bungkusan kain putih itu hanya berisi tujuh butir bertih sahaja.Mengeleng-ngeleng pak kiyai kerana dia melihat mas wakas seolah-olah cuba menguasai amalan yang dia sendiri tidak tahu apa-apa.
"Tak apa kita tengok dulu"wak jumin ikut sama berkumpul disurau sebaik sahaja diberitahu gangguan tersebut."Kalau ilmu hitam kita ikut cara dia,kalau gangguan syaitan kita cari puncanya"dia menambah setelah ikut sama sembahyang hajat bersama lebai jaamat.
  Kemudian wak jumin meminta jemaah yang lain tunggu sahaja disurau atau balik ke rumah masing-masing.Dia bersama lebai jaamat sahaja meranduk kegelapan malam menjengah ke serata kampung.Memang tidak siapa pun mahu bertahan disurau.Mereka semua mengambil keputusan balik kerumah sebaik sahaja wak jumin turun meninggalkan surau bersama lebai jaamat.
Tetapi dolah jekeng tidak terus balik kerumah.Lantas dia mengajak talip sepet menunggu disimpang ke kubur dengan harapan dapat melihat sendiri orang membawa usungan mayat itu.Sengaja mereka berlindung disebalik pokok cenerai merimbun daun,biar siapa pun tidak melihat mereka bertahan disitu.
Dalam masa menunggu disebalik pokok cenerai itu mereka berdua terpaksa bertahan dari gangguan nyamuk yang mengiang-ngiang di pangkal telinga.Kalau kenang tidak mahu ikut sama wak jumin memerangkap gangguan dalam kampung,memang dolah jekeng dengan talip sepet tidak sanggup berlindung dalam belukar disebalik pokok cenerai itu.
Apa sangat mahu dibimbangkan kerana wak jumin juga menyusup ditengah belukar dimana-mana.Kalau terserempak wak jumin dengan lebai jaamat tentu mereka berdua disuruh balik sahaja ke rumah.Sebab itu mereka tidak mahu wak jumin atau lebai jaamat melihat mereka bersembunyi disitu.
"Kamu tengok pokok besar tu"bisik talip sepet mencuit bahu dolah jekeng kerana dia perasan pokok ketapang tersergam ditepi jalan tidak pernah tumbuh disitu.
"Pokok ketapang tu,kenapa pula?"ujar dolah jekeng perlahan terkebil-kebil mata mendongak ke atas.
"Setahu aku disini tak ada pokok ketapang"talip sepet mula gementar tatkala melihat pokok berkenaan seolah-olah bergerak sedikit masuk ke tengah belukar.
"Nampaknya pokok ketpaang tu berjalan"berdebar juga hati dolah jekeng tetapi dia sengaja beranikan hatinya.
Dalam masa mereka berdua terpinga-pinga melihat pokok ketapang besar tumbuh tersergam tiba-tiab diselekoh lorong itu,mereka terhidu bau busuk meruap-ruap.Cepat-cepat dolah jekeng ingatkan talip sepet supaya bersedia.Tidak lama kemudian mereka nampak berbalam-balam ditengah kegelapan malam empat orang lelaki mengusung usungan mayat.
Sebaik sahaja mereka sampai dibawah pokok ketapang besar,sekaligus akar pokok ketapang terjongket keluar.Kelilingnya menjadi tembok hingga empat lelaki membawa usungan mayat itu terkepung.Mereka terpinga-pinga mahu mencari lubang memboloskan diri,tetapi tertampan ke banir pokok ketapang seperti dinding tembok keras yang sukar ditembusi.
Ketika ini talip sepet nampak lebai jaamat melompat terjun dari dahan pokok ketapang.Dia tercegat memerhati empat orang lelaki yang terkial-kial mahu memanjat dinding tembok.Mereka berempat tidak bercakap sepatah pun lantas meletakkan usungan ditanah.
  "Kemana kamu nak bawa usungan mayat ni?"jerkah lebai jaamat setelah berhadapan dengan empat orang lelaki berkenaan.
Tetpai lelaki berempat itu tidak menyahut.Mereka tergagau-gagau mahu memanjat dinding tembok.Berkali-kali mereka cuba memanjat tetapi jatuh tergelincir semula ke bawah.Semakin takut mereka melihat lebai jaamat berdiri tidak berganjak sedikit langsung.
Ketika ini mereka tidak melihat pun wak jumin disitu.Disebabkan ketakutan mereka berdua tidak berani melompat keluar mendapatkan lebai jaamat.Biarlah mereka berdua bertahan disitu sekalipun empat lelaki berkenaan terketar-ketar berdepan dengan lebai jaamat mengisar-ngisar tapak tangan.
Apabila lebai jaamat membacakan surah al-ikhlas 11 kali,bumi tempat mereka berjejak kuat.Dalam masa yang sama juga talip sepet merasa perutnya memual-mual bagaikan mahu terjeluih muntah.Tekak juga loya tidak dapat bertahan.Sebaik sahaja diberitahu oleh talip sepet perutnya memulas-mulas,dolah jekeng juga mengaku dia sudah bersirai kencaing didalam seluar.Puas dia menahan perutnya yang merengat-rengat,tetapi kencingnya meleleh juga dengan tidak disedari.
  Setelah membaca surah al-ikhlas,lebai jaamat bacakan ayatul kursi 11 kali diikuti dengan doa : Alif lam mim sad,kaf ha ya a'in sad,ha mim a'in sim kof,uskun aiyuhal waji'billazi,in-yasya yuskinir riho fayazlalna rawakido 'ala zohrihi inna fi-zalika la-ayatin likulli sobbarin syakur.
Tatkala lebai jaamat menampar dua tapak tangannya,mayat diatas usungan tiba-tiba bangun perlahan.Semakin kencang perut talip sepet memulas-mulas ketika ini,hingga dia tidak tahu apa-apa pun berlaku lagi.Dolah jekeng juga terlopong hingga terkaku tidak bergerak.
Ketika itu pokok ketapang yang tersergam juga hilang bagaikan bayang-bayang yang tidak nampak lagi setelah disuluh dengan cahaya.Disitu wak jumin tercegat seolah-olah sama macam pokok ketapang tersergam gagah.
  "Kenapa kamu nak ganggu kampung kami"wak jumin mengepal tinju lantas menumbuk-numbuk ke udara.
"Kami bukan nak ganggu kampung"sahut mayat perempuan diatas usungan dengan rambutnya mengerbang ditiup angin.
"jangan nak berdalih"jerkah wak jumin memberi amaran memusingkan badannya hingga menjelma laksana kabus hitam berpusar kuat."Dengan wak jumin jangan cuba nak berselindung,aku tahu asal usul kamu"semakin keras tuturnya dalam masa kabus hitam itu berputar.
Asal sahaja kabus itu berputar semua lembaga yang tercegar didepannya berputar sama laksana gasing tengah naik uri.Apabila dia berhenti berpusar sekaligus pula lembaga didepannya terpelanting hingga bergolek ke tanah.Ketika ini lebai jaamat berzikir hingga suaranya bergema laksana guruh berdengar diudara.
Tersenguk-senguk lembaga wanita diatas usungan mayat menangis apabila dia jatuh terjelopoh disitu selepas berputar ligat.Dia memerhati empat lembaga lelaki yang mengusungnya juga terhuyung-hayang bangun akibat terguling ditanah.Mereka berpandangan di antara satu sama lain seolah-olah termanggu dengan kejadian yang mereka alami didepan wak jumin bersama lebai jaamat.
Memang mereka gementar disebabkan wak jumin menjelma menjadi pokok ketapang hingga lebai jaamat bertenggong diatas dahannya yang tinggi.Tentu pokok ketapang itu berjalan mengikut kemahuan wak jumin.Baik akar,baik dahan,baik rantingnya smeua boleh mencekak kalau mereka mahu melarikan diri.
"Kenapa kamu buat aku macam ni,jumin?"merintih-rintih perempuan diatas usungan menahan kesedihan diperangkap oleh wak jumin di situ.
Mereka semakin terseksa apabila lebai jaamat berzikir bumi tempat mereka berjejak ikut sama bergegar kuat.Asal sahaja lebai jaamat membaca surah al-ikhlas petir akan berdendam menyambar.Mereka tidak dapat berlindung dari terjahan api petir yang terus menerus mencari mangsa.
"Tolonglah lebai jaamat,jangan seksa kami macam ni"perempuan diatas usungan merayu hiba.
"Lebai jaamat tidak seksa kamu,tapi perbuatan kamu yang menyeksa kamu sendiri"sahut wak jumin disebabkan lebai jaamat tidak mahu berdakap apa-apa.Dia terus berzikir hingga gemanya mengegar di sekeliling menyebabkan pokok-pokok juga terlonjak-lonjak sama.
"Cukuplah lebai jaamat,ilmu apa yang awak pakai ni?"semakin gementar perempuan diatas usungan mayat itu menggeliat-liat menahan kesakitan.
"Kamu akan lebih terseksa kalau ganggu kampung kami"tegas wak jumin tercegat semula bercekak pinggang.Dia memberi amaran disebabkan lebai jaamat tidak menyahut apa-apa.
Tetapi perempuan diatas usungan mayat itu merintih-rintih meminta lebai jaamat berhenti daripada terus berzikir.Bukan takat bumi tempat berpijak sahaja bergegar,seluruh jantung dan isi perutnya juga ikut sama bergegar.Tubuhnya menggigil menahan seksa akibat bergegar semasa lebai jaamat terus berzikir.
Lelaki berempat yang mengusung usungan juga tidak dapat berdiri tegak akibat terlambung-lambung bagaikan beras ditampi didalam nyiru.Gegaran bumi tempat berpijak menjadikan mereka ketakutan tidak menentu.Ketika itu wak jumin ketawa mengejek mereka disebabkan cuba menguji penduduk-penduduk kampung.
Mengeleng-ngeleng kepala perempuan diatas usungan disebabkan lebai jaamat tidak peduli langsung rintihannya.Tentu lebai jaamat juga tidak peduli penjelasan dia apabila dilihat oleh penduduk-penduduk kampung diusung ke tanah perkuburan.Masakan lebai jaamat mahu berhenti berzikir setelah berdepan dengan gangguan demikian.
Lainlah kalau terserempak manusia biasa yang merintih-rintih meminta pertolongan,bila-bila lebai jaamat sanggup membantu.Tetapi didepannya sekadar jelmaan perempuan yang diusung ke tanah perkuburan tatkala gelak gelita.Siapa pun tidak akan percaya mengenai orang membawa usungan mayat merayau-rayau ditengah malam.Kalau tidak terserempak sendiri macam dolah jekeng,sahak balam atau talip sepet.
Kalau tidak disebabkan wak jumin memerangkap nescaya mereka dapat memboloskan diri kemana-mana.Tetapi wak jumin sekaigus bertukar menjadi pokok ketapang didepan lebai jaamat.Dia menyuruh lebai jaamat berpaut pada dahan pokok ketapang itu sewaktu orang membawa usungan mayat semakin hampir masuk kedalam perangkap.
Manalah mereka dapat bezakan pokok ketapang jelmaan wak jumin dengan pokok lain tumbuh meliar tengah belukar.Bukan takat lembaga lelaki membawa usungan mayat itu sahaja terkepung,binatang buas tengah hutan juga akan terperangkap sekiranya wak jumin masuk ke hutan.Bila-bila harimau ganas terkeliru apabila terserempak tunggul kayu sebaik sahaja mahu menerkam wak jumin.
Memang wak jumin mudah bertukar menjadi pokok besar tersergam hingga sukar dikesan musuh.Sebab itu perempuan diusung macam mayat terbujur itu tidak dapat mengelak tatkala wak jumin bertukar menjadi pokok ketapang tersergam.Akar banirnya terbongkar menjadi dinding tembok mengepung mereka hingga tidak dapat lari memboloskan diri.Dalam masa yang sama pula lebai jaamat berzikir menyebabkan mereka semakin lemah terkepung disitu.
"Sudahlah,kami semua ni dah tersesat ke sini"merintih payah perempuan diatas usungan mayat ini.
"Selepah,tolong aku"kemudian bergetar pula suara lembaga empat lelaki itu melambai-lambai tangan minta selamatkan mereka dari goncangan tanah tempat berpijak.Mereka terlambung-lambung laksan padi ditampi di nyiru.
"Siapa selepah,cakap"bentak wak jumin keras merenung tepat ke muka perempuan diatas usungan mayat.
  Tersipu-sipu perempuan diatas usungan mayat mengakui dirinya selepah yang diusung empat lelaki berkenaan.Lama wak jumin memerhatikan perempuan berkenaan hingga nampak berbayang wajahnya di bawah rambut menggerbang ditiup angin.Kemudian,wak jumin beristighfar beberapa kali dalam keluhan memanjang.
  Memang dia dapat mengagak jelmaan selepah itu tersesat hingga sukar mencari laluan menyebabkan masuk ke kawasan perkampungan.Tetapi lebai jaamat tidak peduli apa-apa dia terus juga berzikir,sekalipun petir berdentam kuat berulang kali.Kalau tidak disebabkan dinding tembok tersergam,nescaya mereka yang terkepung disitu diterjah petir memancar diudara.
Ditengah dentaman petir bertalu-talu,wak jumin menghembus kearah perempuan itu dengan membacakan 3 kali al-fatihah.Kemudian diikuti dengan surah al-ikhlas,surah al-falaq dan surah an-nas.Sekaligus petir berdentam berhenti serta merta dengan gegaran tanah juga kembali tenang.
Tersenyum lebai jaamat apabila gegaran bumi menjadi tenang selepas wak jumin bacakan al-fatihah.Perlahan sahaja wak jumin menuturkan."Ya allah,kabulkan al-fatihah ini aku sedekahkan kepada selepah".
Perempuan diatas usungan mayat itu menekup muka dengan kedua tangannya lantas menangis tersenguk-sengguk.Lebai jaamat juga mengangkat muka memerhati ke arah wak jumin.Dia melihat wak jumin mara mendekati perempuan diatas usungan mayat berkenaan.Lantas wak jumin memberi isyarat kepada empat lelaki yang terperosok dibawah dinding tembok supaya mengusung semula usungan tersebut.
Sebaik sahaja empat lelaki mengusung usungan itu wak jumin bacakan al-fatihah tiga kali dengan menyuruh lelaki berkenaan berjalan tiga langkah ke hadapan.Selepas itu wak jumin membacakan : Ya-aiyatuhannaf-sul muth-ma-innatur ji'-ila rabbuka radhiyatam mard-hiatan,fadkhuli fi-'ibadi,wadkhuli jannati.
  Sekaligus pula cahaya memancar bagaikan pintu terbuka melalui terowong jauh di hadapan mereka.Tidak bertangguh wak jumin mengajak mereka hampir ke arah cahaya memancar itu.Sebaik sahaja empat lelaki membawa usungan itu sampai didepan pintu terowong bercahaya,lantas wak jumin menyuruhnya membolos masuk ke situ.
"Tempat kamu disana,bukan disini"beritahu wak jumin menuding jari ke arah pintu terowong bercahaya.
Mereka tidak membantah apa-apa.Terus sahaja mereka masuk ke terowong bercahaya itu sampai hilang dipusar angin mengelus kencang.Selepas orang membawa usungan mayat itu hilang dalam pusaran angin ditengah terowong bercahaya,serta merta pula cahaya berkenaan hilang menjadikan tempat itu diserkup kegelapan semula.
  Tersengih-sengih wak jumin mengajak lebai jaamat balik semula ke surau.Belum pun mereka bergerak,lebai jaamat mendegar rengekan bergetar diperdu pohon cenerai.Tatkala dia menyuluh ke situ memang dolah jekeng terketar-ketar dengan mulut berbuih.Talip sepet juga terlanggung kepala dibahunya dengan tidak bergerak apa-apa.
Terpaksa pula mereka berdua memapah dua lelaki itu balik kerumah masing-masing.Setelah dipulihkan terpinga-pinga dolah jekeng mahu mengingatkan semula kejadian pokok ketapang bergerak macam orang berjalan.Sementara talip sepet tidak tahu apa-apa pun setelah perut memulas-mulas mahu muntah terjeluih.
"Kalau kamu ikut sama,kenapa tak berterus terang?"marah juga wak jumin disebabkan dua lelaki itu cuba mengendap didalam belukar.Apa salahnya kalau berterus terang mahu ikut sama memerangkap jelmaan orang membawa usungan mayat itu.
"Nasib baik kamu tidak ditimpa geruh"ujar lebai jaamat ingatkan mereka berdua bernasib baik sekadar pingas tidak sedarkan diri sahaja.Bagaimana kalau ditimpa geruh sampai menanggung derita seumur hidup?.
Tetapi dolah jekeng dapat ingatkan mengenai pokok ketapang bergerak,kemudian akarnya terbongkar menjadi banir seperti dinding tembol tersergam.Sekaligus pula lebai jaamat terjun dari dahan pokok ketapang itu.Selepas itu dia tidak melihat apa-apa lagi disebabkan terkaku hingga terlopong mulut.
Sekali sekala dia nampak bayangan mengimbas seperti wak jumin bertukar menjadi pokok ketapang tersergam.Mahu dituduh pula tentu wak jumin tidak akan mengaku,kerana didalam kegelapan malam pandagan mata seringkali keliru.Pokok ditiup angin pun kelihatan seperti berjalan meranduk belukar.
"Kalau wak jadi pokok,habislah kene tebang"terkekeh-kekeh wak jumin ketawa sewaktu saya temui dia dihujung parit."Ustaz pun percaya dengan cerita macm tu?"dia mencebek bibir seolah-olah menyindir saya.
Saya tersenyum menjeling kearahnya.Kalaulah arwah lebai jaamat terconggok disitu,tentu wak jumin tidak akan berdalih apa-apa.Tetapi semenjak saya datang ke kampung itu lebai jaamat memang sudah lama meninggal dunia.Beberapa kali dolah jekeng beritahu saya bahawa dia tidak akan lupa kejadian tersebut sampai bila-bila.

Tok Awang Ngah - Berkelahi Dengan Syaitan (Complete)Where stories live. Discover now