Bab 3

104 6 0
                                    


WAFA hanya tayang muka tenang sambil mengunyah roti bakarnya. Langsung tidak menoleh ke arah Mya yang sedang memerhati dari tadi.

Dia tahu apa yang ada di dalam kepala Mya sekarang dan dia tak rasa ingin membongkarkan apa-apa pun. Cukuplah dia rasa malu dengan tindakannya sendiri.

Ajak Raees keluar semata-mata sebab nak beli hadiah dan untuk kenal satu sama lain? Apa yang dia cuba lakukan sebenarnya? Kenapa dia boleh berani sangat semalam?

"Ada apa-apa jadi ke semalam? Kau macam lain hari ni." Mya bertanya dengan nada perlahan. Manalah tahu kalau mood Wafa kurang baik hari ini. Sekurang-kurangnya dia mengambil langkah berjaga-jaga.

"Okey. Kenapa?"

"Semalam kau tak keluar dari bilik. Aku risau. Abang aku ada buat kau marah ke?"

Wafa menggeleng laju. Raees langsung tak bersalah, yang bersalahnya dia. Selamba mengajak anak teruna orang keluar. Ya Allah, dia tak tahu nak letak muka dekat mana. Macam manalah dia nak berhadapan dengan Raees nanti?

"Habis tu?"

"Aku sakit perut je. Salah makan kut." Wafa tersenyum kecil. Sekali lagi dia cuba meneutralkan riak mukanya. Biar Mya tidak boleh mengesan pembohongannya.

"Kau tak tipu aku, kan?"

"Tak. Buat apa aku nak tipu kau?" Kening Wafa terjongket tinggi.

Mya mengangkat bahu. Tanda dia sendiri pun tidak tahu tetapi entah kenapa dia yakin ada sesuatu yang tak kena dengan Wafa. Cuma dia tidak mahu terlalu mendesak. Kalau Wafa ingin bercerita, tanpa perlu dipaksa pun Wafa sendiri akan bercerita.

"Abang aku kata kau orang nak keluar beli hadiah hari ni. Jadi ke?"

Wafa mengangguk perlahan sebelum dia mengalihkan pandangannya ke arah Mya. Matanya sengaja dikecilkan. Entah kenapa apabila Mya menyebut soal hadiah tadi, seolah-olah ada mentol di kepalanya yang menyala terang.

Apabila difikirkan kembali, pelik juga kenapa Raees nak minta tolong dengan dia. Melainkan... namanya dicadangkan oleh seseorang.

"Kau tahu kan sebab apa abang kau nak suruh aku menyamar jadi teman wanita dia?"

Automatik Mya tersengih. Tetapi, kemudiannya dia perlahan-lahan bangun daripada duduknya. Sengaja menjarakkan diri daripada terlalu dekat dengan Wafa. Risau Wafa mengeluarkan segala gerakan tae kwan do nanti.

Sekali Wafa tendang dia nanti, memang boleh patah riuk tulang. Tak nak dia bermalam kat hospital hari ni.

"Mya..."

"Aku tahu sebab aku yang cadangkan nama kau tapi sebab aku tak tahu nak minta tolong siapa lagi."

Wafa merengus. Patutnya dia dah boleh agak! Takkanlah Raees tiba-tiba boleh nak minta tolong melainkan Mya yang cadangkan nama dia. Lepas itu, boleh pula berpura-pura macam tak tahu apa-apa.

Mya yang kembali duduk di sebelahnya dijelingnya tajam.

"Kau kenal ke ex-girlfriend dia tu?"

Mya mengangguk kecil dengan riak muka yang tiba-tiba berubah sedih. Tetapi hanya seketika sebelum dia kembali tersenyum. Dikerling Wafa yang masih menanti jawapannya.

"Kenal. Kak Aralyn tu baik tapi itulah, tak ada jodoh dengan abang aku." Senyuman di bibirnya bertukar tawar. Setiap kali teringat punca Raees berpisah dengan Aralyn dulu, dia jadi jatuh kasihan dengan abang sulungnya itu.

Two of UsWhere stories live. Discover now