Bab 12

98 3 0
                                    


"WAFA..."

Wafa menoleh memandang Mya yang sedang tersenyum-senyum. Keningnya terangkat tinggi sebagai tanda menyahut.

"Kau rasa kan abang aku tu baik tak?"

"Abang kau yang mana satu ni?"

"Mana yang kau lagi rapat?"

"Raees," jawab Wafa laju. Kalau dengan Imran, dia rasa dia dilayan seperti adik. Kalau dengan Raees, Wafa rasa dia dilayan seperti seorang kawan. Tapi yang pasti dia lagi selesa dengan Raees sekarang.

Mya mengangguk dengan senyuman yang semakin melebar. Mindanya kembali mengimbau perbualan dengan ibu semalam. Hasrat hati ibu yang menginginkan Wafa untuk menjadi menantu.

"Kau suka tak Abang Raees?"

Air muka Wafa berubah pelik. Apa maksud Mya ni? Lain macam betul soalan!

"Suka. Dia baik."

"Kalau ibu aku nak merisik kau untuk Abang Raees, kau sudi tak?"

Wafa yang sedang meneguk kopi panasnya terus tersedak kuat. Sekelip mata muka dia berubah menjadi merah padam.

"Kau tanya apa ni, Mya? Adoi, sakit dada aku." Wafa masih terbatuk-batuk walaupun Mya cuba untuk menggosok belakang badannya.

"Aku serius, Wafa. Ibu aku yang suruh tanya."

Terus berpinar biji mata Wafa. Ya Allah, ini memang nak bagi dia pengsan agaknya! Setelah nafasnya kembali teratur, barulah Wafa kembali memandang Mya.

"Ibu kau nak risik aku untuk Raees?"

"Haah. Itu pun kalau kau sudi."

"Abang kau cakap apa?"

"Dia setuju. Sebab tu ibu aku suruh aku tanya kau. Tapi kau jangan rasa terpaksa pulak. Ibu aku faham kalau kau berat hati nak terima."

Wafa mula rasa nak menangis. Tak tahu apa yang menyebabkan dadanya mula terasa sebak. Dan tak semena-mena air matanya mula mengalir laju.

"Eh, Wafa! Kenapa kau nangis pulak ni?" Mya terus memeluk tubuh Wafa. Diusap perlahan belakang Wafa yang beria menangis. Siap tersedu-sedan lagi.

"Wafa... kau jangan takutkan aku macam ni."

"Aku nak masuk bilik dulu." Wafa menolak tubuh Mya sebelum mengelap air matanya. Tak lama selepas itu, dia bangun dan terus naik ke tingkat atas. Ditinggalnya Mya yang masih lagi tercengang dengan apa yang jadi.


PUAN ANISAH merenung lama anak daranya yang sejak tadi asyik termenung jauh. Dahlah tiba-tiba muncul. Selalunya Wafa akan menelefon dulu. Ini tidak, tiba-tiba dah terpacak di muka pintu. Siap dengan muka kusut lagi.

Lepas tu, terus berkurung di dalam bilik. Sekarang ni barulah dia nampak batang hidung Wafa.

"Ada masalah ke?" Dia menegur seraya duduk di sebelah Wafa. Diusap rambut panjang Wafa yang dibiarkan lepas.

"Tak pasti..."

"Eh, apa ke pulak tak pasti? Cuba cerita kat mama. Manalah tahu mama boleh tolong."

Wafa melepaskan keluhan berat sebelum berpaling ke arah Puan Anisah. Jarinya memintal hujung baju sambil cuba memikirkan ayat yang sesuai.

"Ada orang nak risik Wafa."

Bibir Puan Anisah terus mekar dengan senyuman manis. Akhirnya, hati Wafa terbuka juga untuk mencari pengganti Hilmi. Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doanya.

"Siapa? Mama kenal ke? Kenapa mama tak tahu pun yang Wafa ada kawan lelaki?"

Wafa menggeleng. Dah agak mama mesti akan tanya banyak soalan. Tengoklah sekarang! Sekali mama tanya, keluar tiga soalan sekaligus. Nak jawab mana satu dulu pun, dia dah pening.

Dia dahlah tak pernah bercerita soal Raees pada ahli keluarga sendiri tetapi mama dan papa kenal Mya. Malah, Mya pun pernah bermalam di rumah ni. Siap mama masakkan macam-macam lagi untuk Mya.

"Abang sulung Mya."

"Mya housemate Wafa tu, kan?"

Wafa mengangguk kecil.

"Tapi kenapa Wafa nampak macam tak suka? Wafa tak suka abang Mya tu ke?"

Pantas Wafa menggeleng. Dia bukannya tak suka Raees tapi... dia takut. Takut untuk sebab yang dia sendiri pun tak tahu. Nak kata dia takut untuk mulakan hidup baru, dia dah lama mulakan hidup baru. Nak kata dia tak nak kahwin, keinginan yang satu itu memang ada walaupun tak sekuat mana.

Jadi, dia sendiri keliru. Apa yang buat dia susah untuk buat keputusan sebenarnya?

"Habis tu?"

"Wafa pun tak tahu, mama. Wafa takut."

Puan Anisah tersenyum seraya menarik anaknya ke dalam pelukan. Ubun-ubun Wafa dikecup berulang kali.

"Sampai bila Wafa nak takut? Ketakutan takkan bawa Wafa ke mana-mana, sayang. Yang akan bawa kita ke depan adalah pengalaman dan usaha. Kalau Wafa terus duduk dalam ketakutan, sampai bila-bila Wafa akan terperangkap di tempat yang sama."

Wafa terdiam. Kata-kata mama menyusup masuk ke dalam hati. Dan dalam diam, dia mengeyakan. Mungkin betul dia dah mulakan hidup baru tetapi apabila perasaan takut tu ada, semuanya jadi terganggu. Perlahan-lahan dia mengangkat muka dan memandang Puan Anisah.

"Mama rasa Wafa patut terima Raees?"

"Tanya Allah. Bukan tanya mama. Mama cuma boleh doakan yang terbaik je untuk anak mama ni." Pipi Wafa diusap lembut.

Seperti dulu, dia tidak akan menghalang kemahuan Wafa. Jika benar Wafa mahukan kehidupan bersama-sama Raees, sebagai seorang ibu, dia akan sentiasa menyokong.

"Thank you mama. Wafa sayang mama." Pelukan di tubuh mama dieratkan. Ya, yang dia perlukan sekarang adalah petunjuk daripada Allah SWT.

"Mama pun sayang Wafa. Jangan pernah lupa."

Two of UsWhere stories live. Discover now