Bab 14

93 3 1
                                    


"NAK ajak ke dia?"

"Ajak siapa?" Mya bertanya sambil meletak secawan Milo panas di hadapan Wafa yang sejak tadi sibuk menulis senarai tetamu yang akan dijemput ke majlis perkahwinannya dengan Raees.

"Hilmi."

"Huh? Kenapa nak jemput dia? Kau nak dia rosakkan majlis kau ke?"

Wafa menjeling tajam. Ada ke cakap macam tu!

"Sebab hari tu aku dah cakap aku nak jemput dia bila aku nak kahwin. Sebab tulah aku tengah fikir, nak ajak ke tak."

Mya mengangkat bahu. "Terpulang pada kau. Try tanya abang aku. Kut-kutlah dia ada pendapat lain."

"Tapi dia jemput Ara juga. Semalam dia beritahu aku."

"Aku tak kesah. Nama pun majlis kau dengan Abang Raees. Kalau kau rasa nak jemput Hilmi tu, kau jemput je. Kalau dia berani-berani nak rosakkan majlis kau, kau jangan risau. Aku karate dia nanti." Mya siap mengangkat tangan, bersedia untuk mendebik Hilmi bila-bila masa saja.

Wafa terus ketawa. Ada hati nak debik orang!

"Mya..."

"Hmm?"

"Kau tak kisah ke aku kahwin ni?"

Kening Mya bertaut. Ya Allah, apa punya soalan ni? Kenapa pula dia nak kisah? Dia lagilah suka yang akhirnya Wafa akan berkahwin. Dahlah bakal suami Wafa tu abang sulung dia. Lagilah dia gembira.

Dapat kawan baik sendiri jadi kakak ipar kut! Bukan selalu benda macam ni jadi. Sekurang-kurangnya kalau Raees ada buli dia, Wafa boleh tolong back-up.

"Wafa... kau nak kahwin dengan abang aku kut. Dari dulu aku duk kenenkan kau dengan dia."

"Yelah, nanti siapa nak teman kau kat sini? Aku mestilah ikut Raees. Ataupun kau nak aku pujuk Raees biar aku tinggal sini."

"Kau ni gila ke apa?" Dahi Wafa ditolaknya geram. Cakap guna lutut ke?

"Tak ada maknanya abang aku nak bagi kau tinggal sini. Dah ada isteri, isteri nak duduk tempat lain. Kau bukannya PJJ pun dengan dia."

Wafa ketawa lagi. Saja nak mengusik Mya. Nanti dah susah nak main gurau-gurau macam ni. Bukan selalu dia dapat jumpa Mya lagi lepas ni. Dahlah tempat kerja pun jauh.

"Wafa... aku nak cakap terima kasih kat kau."

"Kenapa pulak?"

"Sebab kau sudi terima abang aku. Dia nampak happy sekarang tapi dia tak selalu senyum sebab dia kata senyuman dia hanya untuk kau. Eee... gelilah aku dengar. Rasa nak tampar muka dia."

"Haip, berani kau nak tampar bakal suami aku!"

"Berani. Nanti aku tunjuk kat kau." Mya angkat kening sebelum mukanya dipukul dengan bantal.

"Hoi! Berani kau pukul bakal adik ipar kau ni!" Mya mula menyerang Wafa. Dibaling segala bantal yang ada ke tubuh Wafa.

Tak kiralah bakal kakak ipar pun, perang tetap perang!



RAEES meletakkan semangkuk mee bandung di atas meja sebelum dia mengambil tempat di hadapan Wafa. Kemudian, dia mengelap sudu dan garfu Wafa menggunakan tisu.

"Baca bismillah dulu," ucap Raees sambil menghulur sudu dan garfu ke tangan Wafa.

Wafa mengangguk dengan wajah teruja. Tak sangka yang Raees sudi nak masakkan dia mee bandung. Punyalah lama dia mengidam dan akhirnya dapat juga dia makan hari ni.

"Banyak kerja ke hari ni?"

"Tak sangat. Sebab tu boleh singgah sini."

"Dah jemput cikgu-cikgu sekolah?"

"Dah. Dia orang siap usik lagi. Beria kata kawan rupanya bakal suami."

Raees tersenyum sambil menghulur tisu pada Wafa yang terus mengelap mulutnya.

"Anak murid awak?"

"Tak beritahu."

"Kenapa?"

"Saja. Nak buat surprise." Wafa ketawa dengan muka jahat. Bukannya apa, nanti cadangnya dia dan Raees nak buat makan-makan khas untuk anak murid dia tu. Nak ajak semua ke majlis perkahwinan nanti, risau pula ada yang tak terlayan.

Itu yang dia dah bercadang siap-siap nak jemput anak murid dia untuk datang ke rumah selepas majlis perkahwinan tu. Alang-alang tu boleh jemput ibu bapa budak-budak tu sekali.

"Eh, Wafa ada..." Izhar yang baru melangkah masuk ke dalam restoran terus menegur Wafa dan Raees. Tanpa dipelawa, dia duduk di sebelah Raees. Sengaja nak kacau daun.

"Kau pergi mana tadi?"

"Aku pergi mencari ilham."

Raees buat muka menyampah. Cari ilham apa waktu-waktu petang macam ni?

"Ilham tu namanya Mya Raihana ke, Iz?" Wafa bertanya sambil tersengih. Dikerling Raees yang nampak terkejut sebelum Raees turut memandang Izhar.

"Apa yang awak cakap ni, Wafa?" Izhar ketawa dengan muka yang berkerut. Nampak sangat takut kena kantoi dengan Raees.

"Sejak bila kau dengan adik aku ni, Iz?"

"Kau jangan percaya cakap Wafa ni, Raees. Dia bergurau je tu."

"Aku percaya cakap bakal isteri aku."

Wafa senyum bangga. Jawapan yang sangat tepat, Encik Raees!

"Ya Allah, gelinya aku dengar. Malaslah nak duduk sini lagi." Izhar terus bangun dan menuju ke dapur. Baik dia duduk sana daripada kena usik dengan Wafa dan Raees.

"Betul ke adik saya dengan Iz?"

"Awak rasa?"

Raees menjongket bahu. Setakat ni tak ada pula dia dengar cerita apa-apa. Yang dia tahu Mya nampak semakin gembira sekarang. Kadang-kala tersenyum-senyum sambil tengok telefon.

"Doalah yang baik-baik. Bolehlah adik awak tu ada peneman nak pergi mana-mana lepas ni."

Raees hanya diam. Mata memandang ke arah pintu dapur yang tertutup rapat.

Izhar dan Mya? Kenapa dia tak pernah perasan pun sebelum ni?

Two of UsWhere stories live. Discover now