Bab 13

93 3 0
                                    


TANGAN Wafa berpeluh. Tarikan nafasnya juga terasa mengah walaupun dia dah cuba menenangkan diri sendiri dalam perjalanan ke sini. Itu pun beberapa kali juga dia berhenti kat tepi jalan. Takut nak memandu dengan tangan yang menggigil. Nanti tak fasal-fasal ke hospital jadinya.

Pintu masuk restoran Raees dipandang lama. Aci tak kalau dia patah balik sekarang?

"Wafa..." Suara garau yang menyeru namanya membuatkan dia automatik memejam mata. Terpaksalah dia batalkan niat untuk patah balik tadi kerana Raees sedang berdiri di hadapannya dengan senyuman manis di bibir.

Senyuman manis yang jelas menampakkan lesung pipit di pipi Raees. Disebabkan lesung pipit itu jugalah, sampai sekarang dia tak tukar wallpaper telefon sendiri. Konon-konon malas nak tukar tapi sebenarnya diri sendiri yang tak nak tukar.

"Saya lambat ke?" Wafa menyoal perlahan sambil mengekori Raees ke dalam restorannya. Terus kedengaran bunyi hingar bingar yang membuatkan Wafa sedikit tenang. Tak adalah dia takut sangat apabila ramai orang yang berada di sini.

"Awak nak berbual kat mana? Dalam pejabat saya?"

Wafa mengangguk laju. Takkanlah dia nak bercakap soal hati dan perasaan dekat depan pelanggan restoran Raees. Buatnya dia buat benda yang memalukan, tak ke naya nanti?

Raees tersenyum lagi dan terus melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Sempat dia berpesan pada pekerjanya untuk memastikan dia tidak diganggu. Apa-apa hal boleh dirujuk pada Izhar.

"Saya rasa Mya dah beritahu awak, kan?"

Wafa tersentak. Amboi, tak ada mukadimah langsung! Perlahan dia menelan air liur. Tekak yang terasa kering membuatkan suaranya juga berubah menjadi serak.

"Nak air, boleh? Tekak saya kering."

"Sure." Raees bangun dan menuang segelas air. Kemudian, diletakkan di hadapan Wafa yang terus meneguk laju.

"Are you okay now?"

"Yes. Thank you."

"Jadi, Mya ada beritahu awak apa-apa?" Raees bersandar tenang pada kerusinya. Diperhati wajah Wafa yang dah berubah warna di bahagian pipi.

"Ada. Fasal ibu awak nak merisik saya."

"So..."

"Awak sure ke dengan keputusan awak? Tak menyesal?"

"Kenapa saya nak kena menyesal?"

Wafa terdiam. Tak terfikir pula yang Raees boleh counter-attack soalan dia.

"Sebab awak tahu kisah saya."

"Awak pun tahu kisah saya."

Sekali lagi Wafa terdiam. Inilah padahnya kalau diri sendiri tak bersedia tetapi tetap juga nak berjuang. Nak berjuang untuk apa pun, Wafa sendiri tak tahu. Yang dia tahu, dia mahu pastikan yang Raees serius dan tak main-main dengan perasaannya.

"Kenapa tiba-tiba nak kahwin dengan saya? Awak suka saya ke?"

"Suka. Saya suka awak."

Kali ini Wafa terus menggelabah. Tak sangka ayat keramat itu boleh keluar daripada bibir Raees dengan begitu mudah. Raees langsung tak teragak-agak!

"Saya bukan rebound, kan?"

"This is not a rebound relationship, Wafa. Saya ajak awak kahwin."

Wafa tergamam. Dia perlu akui satu perkara. Raees rupanya mampu buat dia terkedu dengan setiap perkataan yang keluar daripada bibir lelaki itu. Lihat sajalah dengan wajah yang cukup bersahaja, Raees sangat yakin dengan setiap tutur katanya.

Malah, riak wajah Raees juga sangat serius. Sinar matanya pun menunjukkan yang dia langsung tak bergurau.

"Tapi kita kenal tak lama," ucap Wafa perlahan. Bukan itu isu utamanya tetapi dia sengaja ingin menduga Raees. Faktor itu tak menjadi masalah pun sebenarnya kerana hubungan dia dan Hilmi dulu pun terjalin bertahun-tahun lamanya tetapi lihatlah apa yang jadi akhirnya.

Terputus juga di tengah jalan. Habis berkecai macam tu aje.

"Tapi saya tahu apa yang saya nak."

"Apa yang awak nak?"

Kening Raees tercunggit. Soalan apa ni? Untuk menguji ataupun sekadar suka-suka?

"Saya nak awak jadi peneman hidup saya. Saya nak hidup dengan awak. Just the two of us."

Mata Wafa tak berkelip. Hampir putus nafasnya seketika tadi sebelum dia terpaksa mengalihkan wajah ke arah lain. Terasa kebas muka apabila dihadapkan dengan Raees versi mulut manis ini.

"Ataupun awak tak suka saya?" soal Raees.

Dan sepantas kilat Wafa menggeleng. Sejak bila pula dia cakap dia tak suka Raees?

Riak muka Raees berubah gembira. Walaupun jawapan yang terzahir bukanlah dalam bentuk lisan, sekurang-kurangnya dia tahu yang dia tidak bertepuk sebelah tangan.

"Awak jangan menyesal pulak. Saya ni banyak kekurangannya. Masak pun tak sesedap awak punya masakan. Jadi, jangan complain lebih-lebih." Sempat juga Wafa memberi amaran. Bukannya apa, dia dah tahu dia akan kalah tanpa bertanding dengan Raees dalam bab memasak.

Raees terus tergelak. Jika itu yang menjadi kebimbangan Wafa, dia sanggup ambil alih tugas memasak tu. Wafa tak nak jejak dapur pun tak apa. Asalkan Wafa sudi hidup dengan dia.

"Lagi satu..."

"Hmm?"

"Jangan senyum macam tu dekat depan orang lain."

Dahi Raees berkerut. Senyum macam mana?

"Senyum yang nampak lesung pipit awak. Buat muka macam biasa je."

Bukan nak jadi posesif tapi disebabkan senyuman Raees tulah, tembok pertahanan dia hampir runtuh dulu. Dan sekarang memang dah habis runtuh. Susah untuk dibina semula.

"Okey. Senyuman ni hanya untuk awak."

Wafa membalas senyuman Raees dengan muka merona merah. Malu!

Two of UsWhere stories live. Discover now