Bab 5

101 5 0
                                    


MYA tersengih sambil meletakkan sehelai baju kurung moden berwarna biru lembut di atas katil Wafa. Langsung tak peduli dengan pandangan pelik Wafa yang baru keluar dari bilik air.

"Apa ni?" tanya Wafa sambil menyentuh baju kurung itu. Cantik tapi kenapa pula Mya bawa masuk ke dalam bilik dia?

"Baju kurung untuk kau pakai masa majlis kahwin kak Aralyn nanti."

Berkerut dahi Wafa dibuatnya. Kenapa pula kena pakai lawa-lawa sangat? Bukannya majlis dia pun. Mana boleh overshadow pengantin!

"Aku dah ada baju."

Laju Mya menggeleng dengan jari telunjuknya digoyangkan ke kiri dan ke kanan.

"Baju kau tu baju pergi kerja. Ni baju pergi kenduri. Buatnya kau jumpa anak murid kau dekat kenduri tu nanti, macam mana? Macamlah kau tak kenal dengan mulut anak murid kau sendiri."

Wafa melepaskan tawa. Memang betul apa yang Mya cakap. Anak murid dia memang jenis cakap lepas. Ada ke patut si Mirza cakap yang baju kurung yang dia pakai hari tu sama dengan baju yang dia pakai dua minggu lepas.

Mirza tak tahu kewujudan mesin basuh ke apa? Ingat cikgu dia ni banyak duit nak pakai baju baru setiap hari.

"Jadi, kau kena pakai baju ni. Lagipun, abang aku kata dia nak pakai baju warna biru lembut jugak. Sesuailah pakai sedondon."

Mata Wafa membulat. Eh, perlu ke nak pakai sedondon?

"Tak payah kut pakai sedondon."

"Hish, kau ni! Kita kalau nak berlakon, kena buat betul-betul." Kali ni Mya terus mengambil baju kurung tadi dan digayakan ke tubuh Wafa. Cantik! Sesuai sangat dengan tubuh dan ketinggian Wafa.

"Nanti abang kau kata aku beria sangat pulak!" Wafa masih cuba menolak. Walaupun dah hampir dua minggu sejak kali terakhir dia berjumpa dengan Raees, ada juga sesekali lelaki itu bertanyakan khabar.

Bukan setakat bertanyakan khabar sebenarnya, siap tanya dia soalan lagi. Tapi Wafa perasan yang Raees langsung tak ungkit lagi apa yang jadi dulu tu. Mungkin Raees dapat kesan yang dia tak selesa dengan topik tu.

"Tak ada maknanya. Pakai je baju ni. Tudung pun aku dah letak sekali tu."

Tak sempat Wafa nak membantah lagi, Mya dah berlalu keluar dari biliknya.

Pandangan mata Wafa kembali melekap pada baju kurung warna biru lembut itu. Kalau dia tak pakai baju ni esok, agak-agak Mya mengamuk tak?



"HUISH, lawa gila kawan aku!" Mya bertepuk tangan sebaik saja Wafa melangkah turun ke tingkat bawah. Senyuman di bibirnya melebar apabila melihat baju kurung yang tersarung di tubuh Wafa.

"Pandai juga aku pilih baju untuk kau." Sempat juga Mya memuji diri sendiri.

"Pembetulan. Baju ni lawa sebab aku yang pakai." Wafa berpura-pura melibas tudungnya ke belakang dengan muka berlagak.

"Eeeiii... menyampahnya aku dengar."

Wafa hanya terkekeh ketawa sebelum mengerling jam di dinding. Dah dekat pukul 11:30 pagi. Kejap lagi sampailah Raees ke sini.

"Kau tahu kan apa nak buat nanti?" soal Mya sambil membetulkan kedudukan tudung Wafa. Biar nampak lebih kebabom!

"Tahu. Abang kau dah bagi briefing."

"Amboi, siap ada briefing segala." Bahu Wafa ditolak geram.

Pon! Pon!

"Haa... abang aku dah sampai!" Berlari Mya membuka pintu. Apabila melihat Raees yang melangkah keluar dari kereta, lengkap berbaju Melayu berwarna biru lembut; sekali lagi Mya bertepuk tangan.

"Macam pendekarlah, Abang Raees!" ucap Mya sebaik saja dia berdiri di depan Raees. Lengan abangnya dipeluk erat sambil dia berpaling ke arah Wafa yang sedang menyarung kasut tumit tinggi.

"Cantik kan girlfriend abang? Berseri-seri betul." Kening Mya dijongket berulang kali dengan riak muka yang nakal. Sengaja nak mengusik si abang.

"Suka betul kacau orang, kan?" Raees menggeleng kecil. Kepala Mya yang berbalut dengan tudung diusap perlahan.

"Saya dah siap. Bolehlah kita pergi sekarang." Wafa sudah berdiri tegak di hadapan Mya dan Raees.

"Tunggu kejap. Sebelum pergi, kena tangkap gambar dulu."

"Huh?" Dahi Wafa dan Raees berkerut serentak. Terkebil-kebil kedua-duanya memandang Mya yang dah tersengih macam kerang busuk. Kelam-kabut Mya mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar sebelum menangkap beberapa gambar candid.

"Sekarang ni kena posing sikit. Abang, jangan jadi macam tiang bendera kat situ." Tubuh Raees ditolak supaya lebih dekat dengan Wafa. Tak terlalu dekat tapi biarlah nampak seperti yang mereka berdua memang ada hubungan.

"Apa motif kena tangkap gambar segala ni?" bidas Wafa tak puas hati. Orang tengah nak cepat, boleh pula Mya nak tangkap gambar segala!

"Gambar ni bukti." Cekap Mya melakukan kerjanya. Beberapa keping gambar telah berjaya ditangkap sebelum dia tersenyum melihat hasil kerjanya.

"Aku dah hantar gambar tu kat Whatsapp. Tukar wallpaper telefon kau sekarang."

"Hah?" Terkejut untuk kali kedua. Ya Allah, apa agenda Mya ni sebenarnya?

"Abang pun tukar wallpaper."

"Siapa je nak tengok wallpaper telefon aku? Bukannya aku nak tayang telefon aku kat orang pun." Wafa masih berdegil. Bukan boleh layan sangat si Mya ni. Nanti makin banyak benda pelik yang dia suruh buat.

"Abang dah tukar."

Sepantas kilat Wafa mengalihkan pandangan ke arah Raees yang sedang menghalakan skrin telefonnya ke arah Mya. Biar betul Raees ni!

"Tengok, abang aku dah tukar wallpaper dia. Tinggal kau je lagi."

Wafa menggigit bibir geram. Ya Allah, kenapalah dia boleh terjebak dengan dua orang adik-beradik ni?

Two of UsOnde as histórias ganham vida. Descobre agora