Prolog 🎭🖤

1.5K 85 5
                                    

"JADI malam ini, aku Muhammad Adam Al-Iman, ceraikan kau dengan talak satu. Kau bukan lagi isteri aku. Perempuan mandul macam kau... Tak layak jadi isteri aku." Setelah melafadzkan itu dengan wajah yang selamba dan suara yang langsung tiada terselit rasa serba salah, dia mengatur langkah meninggalkan Qaylisha.

Lutut terasa longgar dan dia akhirnya terjatuh atas lantai. Fikirannya masih terngiang-ngiang dengan ayat yang telah keluar dari mulut Adam. Tangisan Qaylisha pecah di situ, mengenangkan nasibnya yang baru saja bergelar janda.

Dada Qaylisha terasa sesak akibat tangisan yang tidak henti-henti. Bagaimana mahu berhenti kalau ayat yang keluar dari Adam asyik berulang di kepalanya? Perempuan mandul. Adam gelar dia sebagai perempuan mandul. Semuanya kerana dia tidak dapat beri Adam zuriat walaupun sudah setahun perkahwinan mereka. Memang hari ini tepat setahun perkahwinan mereka dan Adam telah putuskan segalanya.

Mata Qaylisha naik melihat makanan-makanan yang telah dia masak untuk Adam. Semuanya makanan kegemaran Adam. Dia ingat hari ulang tahun perkahwinan mereka ini dia dapat bergembira, bahagia bersama Adam tetapi Adam telah hancurkan semuanya.

"Allahuakhbar. Kuatkanlah aku, ya Allah! Kuatkanlah aku..." lirih Qaylisha sendiri sambil merenung lantai. Merenung nasib yang telah menimpanya. Dia tidak pernah sangka perkara ini akan berlaku. Kenapa dia? Kenapa aku, Tuhan? Kenapa aku?

Mata dipejam rapat membiarkan air matanya mengalir dan tumpah ke lantai. Sekejap sahaja, tangannya dibawa pipi, menyeka air mata sendiri. Qaylisha kuatkan juga dirinya mengemas semula makanan-makanan yang ada di atas meja. Tak terlupa juga dengan hadiah istimewa dia untuk Adam.

Langkah diatur ke bilik mereka. Dan apabila dia masuk sahaja dalam bilik itu dia lihat Adam sedang berada di beranda bilik membelakanginya. Sebagaimana Adam tidak peduli dengan air matanya tadi, begitu juga dengan dia yang tidak peduli dengan kewujudan Adam di beranda sana. Dia terus mengambil bagasi miliknya dan mengemas baju-bajunya.

Dia sudah tiada apa-apa hak di sini. Jadi lebih baik dia pergi. Rumah ini adalah hadiah perkahwinan mereka daripada ayah Adam. Ayah tiri Adam. Dan dia rasa dia tiada hak atas rumah. Walhal dia tidak akan tuntut apa-apa pun dari Adam.

Dalam pada dia sedang masukkan baju ke dalam bagasi, tiba-tiba dia teringat akan sesuatu. Memori mereka berdua tentang bagasi ini. Qaylisha tersenyum perit.

'Kak Ilya tak boleh pergi! K-kalau Kak Ilya pergi... Macam mana dengan Adam? Kak Ilya tak payahlah cari mat saleh dekat sana, Adam ini pun dah mat saleh dah!'

"Oi! Kau berangan pula ya?" Satu suara yang agak kasar menyentakkan Qaylisha. Sigap Qaylisha melajukan tangannya, memasukkan kesemua bajunya di dalam bagasi. Qaylisha sudah tidak berani lagi mahu angkat kepala apabila Adam masih berdiri di tepi katil merenungnya. Merenung dengan penuh kebencian.

Dan saat dia menutup bagasi, matanya terpandang akan cincin yang masih berkilat tersarung di jari manisnya. Tanpa berfikir apa, cincin itu ditarik keluar dari jarinya dan dia letakkan di atas katil. Cincin itu ditolak menjauhinya.

Usai itu, bagasi di zip kemas dan dia jatuhkan ke lantai dalam keadaan menegak. Qaylisha bangkit dari katil dan menunduk memandang lantai. Enggan membalas renungan Adam. Bukan kerana takut tetapi sebab dia tidak kuat.

"Saya minta maaf kalau saya ada salah pada awak selama saya jadi isteri awak, satu tahun ini. Dan saya harap awak halalkan makan minum saya di sini. Saya juga doakan awak berjaya dalam pelajaran awak, Adam. Buat keluarga awak bangga dengan awak." Qaylisha tetap memberanikan diri, mengangkat kepalanya membalas renungan Adam. Bibirnya mengukir senyum pada Adam.

"Terima kasih... Sebab sudi jadi suami saya selama satu tahun ini. Selama setahun ini awak dah ajar saya macam-macam. Awak dah ajar saya apa itu erti cinta. Apa itu erti bahagia. Dan awak juga... Dah ajar saya apa itu erti sakit." Usai mengatakan semua itu, setitis air mata gugur tanpa dipinta dan Adam terkedu melihatnya.

Tergamam sebentar dengan ayat-ayat yang keluar dari mulut Qaylisha. Adam mengetap kuat rahangnya sebelum menjeling cincin berlian yang berada di atas katil. Tampaknya... Cincin itu sudah tidak bertuan lagi.

"Assalamualaikum." Qaylisha terus melintasi Adam seraya menarik bagasinya.

"Minggu depan kita jumpa di mahkamah," ujar Adam membuatkan langkah Qaylisha terhenti buat seketika. Qaylisha angguk kecil walaupun Adam sedang membelakanginya dan tidak nampak responnya.

Dengar saja pintu ditutup, punggung Adam jatuh di birai katil dan dia menoleh ke arah cincin yang masih berada di atas katil. Setelah itu, Adam toleh pula ke arah pintu bilik.

"Waalaikummusalam."

Anderson's Temptation Where stories live. Discover now