Bab 55 🎭🖤

377 39 8
                                    

HARI berganti hari, dua minggu berlalu dengan begitu saja dan tanpa mereka sedar esok adalah hari yang paling pahit buat mereka berdua. Pada waktu tengahari, Qaylisha beria-ia masak bersama Adam sehinggakan Adam merasa amat pelik dengan tingkah isterinya. Bukan apa, lauk yang mereka masak boleh dikatakan banyak untuk dua orang. Selalunya mereka masak satu lauk dan satu lagi sayur. Kali ini ada tiga jenis lauk dan dua jenis masakan sayur. Ada juga buah-buahan sebagai pencuci mulut.

Dari situ, Adam merasa mereka bakal didatangi tetamu. Adam tidak berdiam diri malah terus mengajukan soalan semasa mereka memasak tadi tetapi Qaylisha hanya diamkan diri dan senyum. Senyuman yang agak lain dari sebelum ini.

Selepas satu jam mereka memasak di dapur, mereka menghidang pula lauk pauk yang telah dimasak di atas meja. Semasa Qaylisha sedang membancuh air, Adam ulang alik menghantar pinggan ke atas meja. Dan usai meletakkan lauk terakhir bersamaan pinggan yang terakhir, loceng rumah berbunyi. Kebetulan Qaylisha sedang berjalan ke arah Adam dengan dulang jug di tangan.

"Oh! Itu mungkin tetamu kita!" Qaylisha bersuara. Dia berjalan pantas ke meja makan lalu meletakkan dulang di atas meja. Wanita itu menghampiri Adam dan tersenyum nipis pada Adam yang masih tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Awak tunggu sini sekejap okay? Saya pergi sambut tetamu kita," ujar Qaylisha tenang. Adam angguk kecil. Mata jejaka itu tidak lepas dari memandang pintu kerana mahu tahu siapakah tetanus mereka pada pagi ini. Keluarga Qaylisha?

Usai pintu itu dibuka oleh isterinya, Adam tersentak melihat dua wajah yang amat dibencinya. Dua manusia yang sudah membuat hidupnya kucar kacir!

"Alea, Aysar... Masuklah. Jom kita makan sama-sama," jemput Qaylisha dan tersenyum. Alea langsung tidak membalas senyuman Qaylisha namun apabila matanya bertaut dengan Adam, bibir wanita itu tersenyum lebar, matanya turut bersinar melihat wajah Adam pada pagi ini.

Terkelip-kelip mata Aysar memandang wajah Qaylisha. Sekali lagi anak kecil itu terpaku dengan kecantikan Qaylisha. Walaupun ini bukan kali pertama mereka berjumpa, percayalah setiap kali matanya melihat wajah manis Qaylisha, dia rasa tenang dan aman. Wajah Qaylisha bak bidadari. Suaranya juga merdu bagaikan irama lagu.

Tidak pernah lagi Aysar berjumpa wanita seperti Qaylisha. Sedangkan mamanya sendiri sering memberikannya pandangan yang bengis dan suara yang sentiasa tinggi.

Akibat ralit merenung wajah Qaylisha, Aysar sehingga tidak perasan mamanya sudah meninggalkannya sendiri di muka pintu, di hadapan pintu. Kelihatan mamanya sedang mendekati seorang lagi jejaka yang sentiasa bengis wajahnya.

Tinggallah Qaylisha dan Aysar di hadapan pintu itu. Qaylisha tersenyum manis dan melutut dihadapan Aysar. "Hai Aysar. Jom kita masuk! Mummy ada masak banyakkk makanan untuk Aysar. Aysar lapar?"

Aysar mengangguk kecil bagi menjawab pertanyaan Qaylisha. Kali ini Aysar terpaku melihat anak mata Qaylisha berbeza dari orang yang lain. Dia tidak pernah lagi melihat warna mata seperti Qaylisha. Wanita ini sungguh berbeza dari yang lain.

"Come kita makan!" Qaylisha bangkit dari melutut dan menggenggam tangan mungil Aysar. Aysar di bawa ke meja makan.

Sepanjang waktu itu, Aysar ralit merenung wajah Qaylisha. Sentuhan Qaylisha juga terasa hangat dan lembut. Tak seperti mamanya yang sering memegang tangannya dengan kasar.

Sampai di meja makan, Qaylisha diam saja melihat Alea ingin duduk di sebelah Adam. Dia cuba buat tidak endah dengan semua itu.

Pada sudut pandangan Alea pula, dia cuba mahu mencemburukan Qaylisha dengan duduk di sebelah Adam tetapi tak sempat dia mahu tarik kerusi di sebelah Adam, Adam terlebih dahulu menahan kerusi itu. Bila Alea memandang Adam, Adam sedang merenung tajam Qaylisha.

Anderson's Temptation Where stories live. Discover now