Raya 3

5.3K 335 59
                                    

SEJAK dari kejadian tempoh hari, hubungan antara Zafran dan Adara bertambah dingin. Adara langsung tidak menegur sama seperti Zafran tidak menegur Adara. Akan tetapi mereka berdua tidak culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Adara tetap menolong dalam menyediakan juadah sahur dan berbuka sama seperti Zafran yang tetap menolong membasuh pinggan di sinki. Selain itu, Adara masih menyiapkan Eiman dan Ellyna sebelum mereka pergi ke sekolah dan Zafran masih menghantar dan menjemput anak-anaknya dari sekolah.

Sekarang, Adara sedang membersihkan ayam kerana hari ini juadah yang ingin dimasak oleh Adara ialah ayam masak asam pedas. Untuk juadah hari ini Adara langsung tidak bertanya pendapat dari Zafran dan juga Eiman. Adara tidak mahu mengguriskan hatinya lagi dengan jawapan yang diberi oleh mereka. Tidak mustahil Eiman akan jawab 'masak sedap-sedap macam ibu ya.'

Sedang Adara membersihkan ayam, macam-macam perkara yang berlalu di fikirannya. Dia berfikir, adakah tindakannya menunjukkan bahawa dia seorang yang tidak matang? Adakah dia salah apabila dia terasa hati dengan jawapan budak yang hanya baru berumur tujuh tahun? Adakah dia salah apabila dia menyebut nama orang yang sudah tiada? Sudah beberapa tahun perkahwinan Adara dan Zafran berlangsung, adakah selama ini Zafran beranggapan bahawa dia cemburu dengan arwah Dian?

Segala perkara yang lalu di fikirannya itu telah membuat Adara dirudum dengan rasa sedih. Apakah perbuatannya selama ini tiada makna bagi mereka?

Mata Adara mula basah dengan air mata. Lama-kelamaan mata yang hanya basah itu mula bertukar menjadi esakan kecil. Adara cepat-cepat menutup pili air selepas tangannya dibasuh. Tangan yang dibasuh bersih itu dinaikkan ke wajahnya lalu air matanya disapu bersih. Akan tetapi, air matanya tetap tidak mahu berhenti mengalir.

Rasa macam sudah lama dia tidak menangis seperti ini. Kali terakhir dia menangis seperti ini adalah waktu di mana dihalau oleh Zafran. Zafran menyuruhnya pergi.

"Allah.... Astaghfirullah..." berkali-kali Adara beristighfar bagi menghilangkan rasa sakit di dadanya.

"Tak baik menangis waktu puasa ni..." bisik Adara pada dirinya.

"Jangan sedih, Allah ada..."

Rasa sebak mula datang apabila mengenangkan dia sudah tidak dapat mengadu kepada ayahnya, Encik Hishamuddin. Tidak mahulah Adara mengadu kerana Adara sudah tidak mahu membebankan kedua ibu bapanya itu dengan masalah perkahwinannya lagi. Adara sudah besar, dia mahu berdiri sendiri dengan menyelesaikan masalahnya sendiri.

"Jangan menangis dah. Macam mana nak masak kalau menangis," bisik Adara lagi pada dirinya sambil mengusap dadanya dengan lembut berharap agar dapat memujuk dirinya sendiri.

PERLAKUAN isterinya itu hanya dipandang dengan pandangan hiba dari belakang. Zafran nampak dari belakang badan isterinya itu bergegar menahan tangis. Dia juga nampak dari belakang tangan isterinya itu bergerak berkali-kali untuk mengusap wajahnya menghilangkan air mata. Dia juga dapat lihat isterinya itu terpaksa mengusap dada sendiri bagi memujuk diri sendiri.

Zafran mula sebak. Rasa jahat apabila dia sebagai suami hanya mampu melihat tanpa memujuk. Sedangkan punca dari isterinya sebegitu adalah dirinya sendiri. Dia penyebab isterinya menangis sakit seperti itu. Dia punca di mana isterinya terpaksa memujuk dirinya sendiri sedangkan selama ini Zafran yang selalu memujuk isterinya itu.

Langkah setapak mula mara ke depan tetapi terhenti semula. Mengapa? Mengapa engkau macam ini Zafran? Isteri engkau tengah menangis sebab kau, dan engkau di sini hanya melihat tanpa memujuk.

Dian...

Sebaris nama itu mula muncul di benaknya. Bibir bawah digigit.

Adara juga isteri kau, Zafran...

Pilihan Kedua | CWhere stories live. Discover now