TDLM - bab 8

12.5K 549 2
                                    

"Baba." Sambil berlari anak, Dhiya menuruni anak tangga. Encik Fauzi yang baru sahaja menyiapkan lauk untuk makan tengahari melihat ke arah anak tunggalnya.

Senyuman menghiasi wajahnya membuatkan Dhiya kelihatan ceria lain macam. Kerajang aluminium yang membalut pais patin, lauk kesukaan Dhiya dibuka.

"Baru bangun?" sedikit kuah pais yang terkena tangannya dijilat sedikit sebelum kemudiannya tangan dibasuh. Dua pinggan yang berada di rak diambil.

Kerusi ditarik. Sedikit isi ikan patin dicubit. "Baba tahu tak dari dalam bilik lagi Dhiya dah bau dah tempoyak Baba ni."

"Kalau Dhiya dah bau, kenapa tak turun? Kesian tadi Baba breakfast sorang-sorang." Sengaja dia mengusik walhal dia tidak kisah. Faham anaknya penat kerana baru sampai di Kuantan malam tadi.

"Sorry lah, ba. Penat sangat. Baba makan apa pagi tadi?" tudung saji kecil dibuka. Ada kuih donut dimakan untuk mengisi perut.

Encik Fauzi mengambil tempat di hadapan Dhiya. "Baba beli donut je. Dah tahu dah Dhiya tak turun."

"Oh ya, air tak ambil lagi." Encik Fauzi bangun tapi segera dihalang oleh Dhiya.

"Tak apa, ba. Biar Dhiya ambil." Terus dia mengambil cawan kosong. Air kosong dari penapis yang setinggi 1 meter ditadah.

Sambil mengisi nasi ke dalam pinggan, Encik Fauzi melihat ke arah anaknya. Sejak pulang dari Pulau Perhentian, makin ceria. "Kenapa ceria anak sangat Baba ni?"

Sekilas Dhiya memandang encik Fauzi lalu tersengeh. "Salah ke nak ceria?"

"Ke apa yang Iman cakap semalam betul?" sengaja dia bertanya. Mana tahu betul.

Tiba-tiba Dhiya teringat akan kejadian malam tadi. Hampir sahaja Baba tahu tentang Kasyaf disebabkan mulut Iman.

"Mama dengan papa Iman sihat?" soal Encik Fauzi sambil memfokuskan diri dengan pemanduannya. Aliran trafik tidak terlalu sesak disebabkan sudah malam.

"Sihat, Uncle singgah lah sekejap lepas ni. Mama dengan Papa pun dah lama tak jumpa uncle." Ceria sahaja Iman menjawab soalan daripada lelaki yang sudah dia anggap seperti bapa sendiri.

"Tak apa, tak apa. Dah malam, tak nak uncle menggangu. Lagipun Dhiya nampak macam penat. Muka tak sabar nak baring atas katil. Iman kirim salam je." Sempat dia mengusik Dhiya.

"Amboi Ba. Btw, Dhiya lapar. Baba ada masak apa-apa ke?"

Stereng dipusing apabila perlu masuk ke selekoh untuk menghantar Iman ke rumahnya yang terletak di Indera Mahkota. "Dah, Baba masak ayam masak merah. Esok Baba masak pais patin tadi pagi Baba dah borong ikan dekat pasar demi Dhiya."

Encik Fauzi tahu anaknya rindu akan masakannya. Dulu sewaktu tinggal di asrama, selalu dia menghantar makanan pada hujung minggu untuk Dhiya makan bersama kawan-kawannya.

Dahulunya dia bukan lah seorang lelaki yang pandai memasak. Namun sejak isterinya jatuh sakit, dia perlu tahu memasak, apatah lagi apabila isterinya telah pergi. Takkan setiap hari mahu makan di luar.

"Yeay!" tahu sahaja dia memang teringin pais patin.

"Alah uncle, sedapnya pais patin." Sewaktu di sekolah hampir setiap minggu Iman melakukan permintaan supaya lauk pais patin dimasak oleh ayah Dhiya dihantar. Lauk itu memang kesukaannya.

Lorong untuk ke rumah Iman dimasuki. "Kalau nak datang lah esok. Uncle masakkan lebih."

Bibir Iman muncung. "Iman nak datang tapi esok kena teman Mama. Ada kenduri katanya." Sekarang cuti sekolah, jadi kenduri agak banyak pada minggu ini.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now