TDLM- bab 21

13.1K 616 13
                                    

Dhiya urut sekitar betis dan buku lali untuk menghilangkan lenguh. Semakin hari, fizikal badannya makin merosot. Kerana itu, Dhiya sudah mula memakai baju kurung untuk ke tempat kerja bagi menyembunyikan badannya yang semakin kurus.

Bengkak di kaki yang sudah kecut kembang kembali. Sakit di perut tidak perlu cerita, dengan beberapa hari lagi dia akan datang bulan.

Duduk di kerusi dibetulkan apabila tulang punggungnya lenguh, mungkin kerana berada dalam posisi yang sama agak lama sehingga kusyennya mengeluarkan haba.

Dhiya berbongkok sedikit untuk membetulkan kain yang acap kali tersingkap sehingga ke betis. Ini kenapa Dhiya tidak berapa gemar memakai baju kurung bertekstil kapas.

Jari dia kembali laju menekan papan kekunci. Kurang dari satu bulan akaun syarikat akan ditutup jadi bahagian kewangan agak sibuk. Agak susah tapi jika boleh Dhiya ingin memohon cuti pada hari dia datang bulan.

Kalau datang bulan, memang perutnya akan sakit sehingga Dhiya tidak mampu untuk bangun dari katil dan berbuat apa-apa.

Tapi baru sahaja dia menyambung kerja, Dhiya teringat akan perbualan dia dan Medina beberapa hari yang lalu.

"Kau nak ke kahwin dengan Kasyaf? Berikan dia zuriat yang aku tak mampu?"

Dhiya pandang Medina dengan tidak percaya. Ya, memang Medina ada memberitahu akan hajatnya ini dua minggu lalu tapi tidak Dhiya sangka Medina akan menawarkan hal itu kepadanya.

Akal mengatakan tidak tapi hati kata ya.

Kenapa? Bukan ini kah yang Dhiya ingin selama ini? Bukan Kasyaf kah yang Dhiya tunggu selama ini? Tapi apabila peluang diberikan, kenapa perlu hati dia bergetar seperti ini?

"Medina-" Dhiya tidak tahu apa yang harus dia kata membuatkan lidahnya kelu untuk seketika.

"-mengucap Dina, istighfar."

Apa guna kalau dia terima sekalipun? Sudah jelas bahawa idea itu gila dan tidak masuk akal. Mempunyai anak bersama Kasyaf sedangkan Medina adalah satu-satunya wanita yang bertakhta di hati lelaki itu?

Pokok di luar juga tahu akan hakikat itu.

Lagipun, mengandung? Ingin sahaja Dhiya beritahu akan hakikat yang dia tidak mampu tapi dia kunci sahaja mulutnya.

"Aku tak mampu Dhiya, aku tak reti nak jaga kandungan aku? Sampai bila Kasyaf nak kena tunggu? 9 tahun Dhiya, 9 tahun aku kahwin dengan dia tapi aku masih tak dapat nak bagi dia seorang pun anak." Tubir mata yang sudah dipenuhi kolam air mata pecah.

"Dina." Dhiya ke ke katil. Kedua-dua bahu Medina dipegang. "Kau boleh mengandung lagi. Kau mampu, lebih dari mampu. Semua ini hanya dugaan dari Allah. Kau kuat, sabar."

Tangan itu ditepis. Sumpah telinganya sudah bernanah dengan kata-kata orang disekililingnya. Baik Dhiya, baik ibunya sendiri atau sesiapa sahaja.

Kuat. Sabar. Ujian. 9 tahun dia dengar, 9 tahun dia sabar dan kuatkan diri dengan ujian dari Allah. Tapi sampai bila dia perlu sabar dan kuat? Sampai dia gila dengan kehilangan anak sendiri?

Orang-orang hanya pandai berkata tapi yang sakitnya hanya Medina. Yang menangis setiap malam merindui anaknya yang belum sempat untuk lahir ke dunia adalah Medina. Bukan satu atau dua tapi lima.

Itu yang orang sekeliling kata dia perlu kuat? Sebab dia perlu kuat lah Medina lebih sanggup melihat Kasyaf bersama dengan orang lain. Kerana pada hakikatnya setiap hari dia bangun dari tidur dengan hati yang sudah hancur.

"9 tahun aku dengar orang suruh aku sabar. Kalau aku tak sabar selama ni dah lama dah aku gila, Dhiya."

Bibir Dhiya seperti dikunci. Dia hanya pandang Medina tidak berkutik, mencari ayat yang paling sesuai agar tidak lagi melukai hati Medina.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now