TDLM - bab 22

12.8K 631 2
                                    

Hari itu Dhiya tidak melakukan apa selain lena di biliknya walaupun matahari sudah mahu ditenggelami oleh bulan. Ke pejabat pun tidak kerana sudah memohon cuti.

Hari ini hari pertama dia datang bulan jadi memang Dhiya tidak larat untuk buat apa-apa. Untuk celik mata pun terpaksa Dhiya kumpulkan sluruh tenaga yang tersisa.

Dhiya memang begitu, kepala berpusing seolah-olah baru sahaja menaiki merry go round berpuluh kali. Kaki kebas seperti urat terputus. Perut apatah lagi, terasa seperti disiat-siat senipis yang boleh.

Kepalanya terasa basah. Dhiya biarkan sahaja tuala itu diratakan pada seluruh kepalanya. Mungkin setitis dua air sudah membasahi bantalnya. Sedikit sebanyak, pening dikepala mulai ringan.

"Dhiya, Dhiya."

Suara itu membuatkan lenanya agak terganggu. Suara yang tidak asing darinya.

"Kesian anak mama kalau datang bulan." Kali ini kepalanya pula diusap perlahan membuatkan kehangatan tangan itu dirasai hingga ke kulit kepala.

Perlahan-lahan matanya dibuka. Sepasang mata memandang Dhiya dengan senyuman yang manis membuatkan tubir air mata dipenuhi.

"Mama?"

"Ya, sayang?"

Tubuh dikuatkan untuk bangun. Adakah dia sedang bermimpi? Air mata jatuh apabila wanita itu tetap memandangnya. Jika ini mimpi jangan kejutkan dia.

"Mama." Dhiya dakap tubuh mamanya. Subhanallah, tidak tertanggung rasa rindu dia kepada wanita yang telah pergi ini. Esakan Dhiya makin kedengaran memenuhi ruang biliknya.

Dahi Puan Suri berkerut. Sudah buang tebiat kah anaknya ini? "Kenapa ni sayang?"

"Kenapa mama tinggalkan Dhiya, ma? Kenapa papa pun tinggalkan Dhiya? Kenapa Dhiya seorang-seorang dekat dunia ni? Dhiya nak ikut mama dengan papa."

Pelukan dikuatkan seperti tidak mahu membiarkan mamanya pergi lagi apabila Puan Suri ingin meleraikannya.

"Pergi mana? Mama dengan papa ada je."

Tangisannya terhenti. Dia lepaskan dakapan itu dan pandang wanita itu dengan tidak percaya.

"Tipu. Mama pergi tinggalkan Dhiya dengan papa sebab kanser. Sekarang Dhiya pun ada kanser."

Tangan Puan Suri beralih memegang bahu Dhiya. "Sayang mama berangan ya? Mama sihat lah. Mana pernah mama sakit, Dhiya pun tak sakit. Dhiya berangan ya?"

Terkebil-kebil Dhiya. Mimpi apa ini? Baru sahaja Dhiya ingin tanya lagi tapi dapat dia rasakan sakit badannya mulai kebah. Tiada lagi sakit di perut seperti ingin mencabut nyawanya.

"Papa ada je dekat bawah tengah tengok cerita Hindustan dia." Pujuk Puan Suri lagi. Apabila Dhiya bangun dari katil keluar dari bilik, kepalanya hanya menggeleng sambil tersenyum nipis. Dari kecil sehingga ke besar anaknya tidak pernah berhenti berangan.

Pehanya ditampar sebelum bangun, mengikuti jejak Dhiya yang mungkin turun ke bawah.

Laju kaki Dhiya menuruni anak tangga. Telinganya menangkap bunyi lagu Hindustan yang dipasang di TV. "Baba?" satu badan yang bersandar di sofa asyik menonton filem Hindustan. Langkahnya terhenti di hujung anak tangga.

Encik Fauzi pusingkan kepala memandang Dhiya. "Hah, Dhiya. Jom tengok dengan baba cerita ni. Preity Zinta berlakon, Dhiya suka Preity Zinta kan?" audio dikuatkan.

Berlari Dhiya memeluk tubuh baba. Sekali lagi dia menangis melepaskan rindu. Tidak ada satu hari Dhiya melupakan mama dan babanya. Rindu yang tidak tertanggung dan tidak dapat diluahkan dengan kata.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now