6.Aku Tidak Lemah

15 4 0
                                    

"Jadi, memang awak dah tak ada mak ayah?" Qhayra Sumayyah cuba berkata dengan berhati-hati, bimbang andai akan ada lagi hati yang tersakiti.

Mayra Isabella mengangguk. "Dah, jom saya tunjukkan awak kubur mak ayah saya."

Selendang berwarna hitam diambil dari beg tangan dan dipakai di atas kepalanya sebelum melangkah menuju ke dua liang lahad yang bersebelahan.

'Assalamualaikum ya ahlil qubur.' Qhayra Sumayyah memberi salam buat para jenazah di dalam kubur.

"Assalamualaikum mak, ayah. Mayra datang ni." tangannya mengusap-usap batu nisan ibunya, terbayang seperti mengusap kepala ibunya.

"Hari ni Mayra datang bawa kawan-kawan Mayra." dia pun beralih ke belakang dan memanggil kedua gadis yang berdiri bagai patung di belakangnya.

"Assalamualaikum makcik, pakcik. Saya Fathirah, kawan Mayra sejak kecil, kami kenal masa di rumah anak yatim dulu." giliran Fathirah Hasanna pula yang meniru perbuatan Mayra Isabella, mengusap-usap batu nisan itu.

"Assalamualaikum makcik, pakcik. Nama saya Qhayra Sumayyah, makcik dengan pakcik boleh panggil saya Sumayyah. Saya teman sebilik Mayra di universiti." Qhayra Sumayyah bersimpuh di tepi dua liang lahad itu.

Mereka membaca doa dan tak lupa menyiram air yang dibawa siap-siap oleh Mayra Isabella tanpa disedari oleh Fathirah Hasanna dan Qhayra Sumayyah.

"Korang tunggulah aku di kereta, nanti aku datang." Mayra Isabella menyuruh kedua rakannya untuk bergerak terlebih dahulu, dia ingin meluangkan sedikit masa lagi dengan ibu serta ayahnya.

"Oh, okey. Jom Sumayyah, kita pergi dulu." ajakan Fathirah Hasanna diterima baik oleh Qhayra Sumayyah.

Sambil berjalan menuju ke kereta, Qhayra Sumayyah membuka kata. "Fathirah, maaf kalau saya bertanya tapi dah berapa lama mak ayah Mayra meninggal?"

Fathirah Hasanna menghentikan langkahnya. "Emm, sembilan tahun lepas. Masa tu, umur Mayra baru sembilan tahun."

"Oh...." Qhayra Sumayyah mengangguk faham.

"Boleh saya tahu kenapa mak ayah dia meninggal?" soalan seterusnya dilemparkan.

Mereka menyambung langkah sambil Fathirah Hasanna menjawab soalan tersebut. "Mayra cerita pada saya, mak ayah dia meninggal sebab kemalangan. Kalau awak nak tahu, masa mula-mula mak ayah dia meninggal dia langsung tak boleh naik kereta. Dia trauma dengan apa yang dah jadi pada mak dan ayahnya."

Sekali lagi, Qhayra Sumayyah mengangguk faham.

"Tapi, yang awak kata korang berpisah tadi tu?" belum habis soalan yang membelenggu mindanya.

Fathirah Hasanna menunda jawapan untuk soalan itu sementara dia sedang menyalakan enjin keretanya. "Beberapa bulan lepas tu, ada sepasang suami isteri yang ambil Mayra sebagai anak angkat. Yang saya ingat, suami isteri tu nampak kaya. Mungkin sebab tu Mayra nampak seperti orang senang sekarang."

"Namun, tak semua tahu apa yang membelenggu dirinya. Dulu, dia seorang yang sangat rapat dengan mak dan ayahnya sampaikan tidur pun bersama-sama. Tak jarang saya terjaga malam sebab dia menangis seorang diri sambil memanggil mak dan ayahnya untuk tidur bersama ketika di rumah anak yatim dulu." Fathirah Hasanna menundukkan kepalanya, simpati dengan apa yang berlaku atas Mayra Isabella.

Memang dirinya lebih kasihan kerana kehilangan ibu tercinta pada usia yang lebih muda, malah tidak pernah mengenali sosok bapanya. Namun kehilangan orang tercinta pada usia yang kita tak memahami apa-apa membuatkan dirinya saat sudah besar sedikit sebanyak menerima apa yang berlaku. Tambahan, walaupun dia rapat dengan ibunya dia tidak serapat seperti Mayra Isabella bersama orang tuanya.

Qhayra Sumayyah sudah menitiskan air matanya. Gadis itu sungguh mempunyai hati tisu, apa jua kesedihan yang membelenggu orang lain dia juga turut merasakannya. Umpama berada dalam satu jiwa yang sama namun dalam jasad yang berlainan.

Sedang mereka melayan kesedihan, satu suara menjengah gegendang telinga memecah keheningan.

"Ha, ni dah kenapa senyap-senyap ni tak ada bersembang apa pun." Mayra Isabella masuk ke dalam kereta sambil melipat selendangnya masuk ke dalam beg tangan semula.

"Tak ada apalah, aku cuma cerita kat Sumayyah pasal kisah kau dulu." Fathirah Hasanna mengelap air matanya sebelum memusingkan stereng kereta untuk keluar dari kawasan tanah perkuburan itu.

Qhayra Sumayyah yang masih menangis terus memeluk Mayra Isabella yang berada di kerusi hadapan. "Mayra, saya minta maaf saya sebut mak ayah awak masa kita mula-mula jumpa dulu. Saya langsung tak tahu yang mak ayah dah meninggal dunia."

Mayra Isabella mengusap-usap tangan Qhayra Sumayyah yang berada di lehernya seraya mengelap air mata yang kembali hadir.

"Hei, tak ada apalah. Kita kan baru kenal masa tu, mana la awak tahu pasal mak ayah saya." dia cuba memujuk Qhayra Sumayyah.

Qhayra Sumayyah yang sudah sedikit tenang pun mengelap air matanya.

"Dah la, jangan sedih-sedih. Masing-masing dah tak cantik kalau menangis. Jom, kita pergi makan nak?" Fathirah Hasanna cuba membawa semula keriangan dalam kereta itu.

"Boleh, boleh. Biar aku belanja, nak makan kat mana?" balas Mayra Isabella.

"Kita pergi dekat kedai nasi ayam sebelah mall tulah. Kat situ aku pernah rasa nasi ayam dia, memang sedap hingga menjilat jari." kata Fathirah Hasanna sambil membuat gaya chef's kiss.

"Okey, jom!" Mayra Isabella menggenggam tangannya dan diangkat ke atas.

Biasalah perempuan kalau bab makan, siapa yang tak semangat?

...

"Yeay, habis kelas awal dan aku nak tidur!" Mayra Isabella berjalan dengan sedikit melompat menuju ke biliknya.

Namun, matanya terarah pada sampul berwarna biru yang berada di atas meja di hadapan biliknya.

"Eh, ada lagi?" Mayra Isabella tertanya-tanya apa pula isi surat tersebut kali ini.

Seperti biasa, dia melabuhkan punggungnya di atas katil sebelum membuka sampul biru itu.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu beriman." (Ali 'Imran : ayat 139)

#suratcinta

Mata Mayra Isabella mula berkaca, teringat memori saat dia pergi menziarahi kubur ibu dan bapanya bersama Fathirah Hasanna dan Qhayra Sumayyah semalam.

'Ya Allah, aku tak mahu bersikap lemah Ya Allah. Aku akan jadi kuat Ya Allah. Aku ingin menjadi orang yang tinggi darjat di sisiMu, Allah.' kertas yang sudah basah dengan air mata itu dipeluk.

Mayra Isabella yakin, pengirim surat ini Dia hantar sebagai penenang hatinya. Juga sebagai penguat semangat untuk dia melangkah.

Bersambung...

#suratcinta | Nura Maisarah (Complete✅)Where stories live. Discover now