KYK 3

2 0 0
                                    

"Maaf encik. Encik dah salah orang ni. Saya bukan Amirah," ujar Amirah setelah mendiamkan diri beberapa ketika. Dia cuba berlagak biasa. Walaupun sukar untuk menafikan, digagahkan jua. Wajah gelisah sebentar tadi cuba dimaniskan dengan senyuman. Dan saat itu juga dia dapat melihat Sofiana menarik nafas lega.

Hati Hakim yang baru sahaja mahu berbunga kembang terus menguncup apabila wanita yang disangkakan Amirah sebentar tadi menafikannya. Hakim hampa namun masih mampu tersenyum lalu meminta maaf kepada wanita itu. Namun, dalam masa yang sama dia masih keliru. Sinar disebalik renungan mata itu masih mampu dikenalinya. Dari segi penampilan memang jauh berbeza. Wanita itu jauh lebih cantik dan bergaya dari Amirah. Tapi bening dan suara itu? Itu milik isteriku! Bisiknya dalam hati. Bila ditenung kembali wajah itu memang agak mirip dengan isteri pertamanya.

"Jomlah bang. Apa yang ditunggu lagi?" rengek Sofiana. Sifat cemburu dan dengki yang sudah lama wujud semakin menjadi apabila dihidangkan dengan adegan itu. Ternyata Hakim masih tidak dapat melupakan Amirah. Apa yang terlalu istimewa tentang wanita itu? Sehingga wanita cantik yang dilanggarnya tadi disangkakan Amirah. Dalm hati Sofiana terasa ingin ketawa. Wanita cantik itu dikatakan Amirah? Logikkah? Kemana agaknya akal fikiran dan kewarasan Hakim?

Amirah dan wanita cantik itu jauh benar perbezaannya. Bagai langit dengan bumi! Seingatnya Amirah bukan begitu. Terlalu selekeh dan kekampungan. Langsung tidak dapat menandingi dirinya yang dirasakan begitu cantik dan menawan. Dan mungkin disebabkan itu isteri pertama suaminya itu telah awal-awal lagi mengundurkan diri. Mungkin Amirah menyedari tiada gunanya bertahan kerana semestinya dia bukan lawanku! Bisik hatinya. Kalau tidak mengapa Hakim lebih rela menemaninya di rumah berbanding Amirah enam bulan yang lalu?

Hakim terasa berat hati hendak meninggalkan tempat itu, namun digagahkan jua kaki melangkah apabila tangan Sofiana mencengkam lengannya kuat. Dia seperti yakin wanita cantik itu adalah Amirah, isteri pertama yang telah menghilangkan diri selama enam bulan. Wajah itu masih tidak dilepaskan dari pandangan matanya. Cuba mencari kebenaran disebalik bening mata yang redup itu. Seakan mengerti wanita itu juga tidak lepas dari menatap wajahnya.

"Mira, apa yang kau tengok tu?"

Satu suara yang tiba-tiba memecah kehingan pantas membuatkan kaki Hakim berhenti melangkah. Dia kembali menoleh. Kelihatan wanita cantik itu sedang bercakap-cakap dengan temannya dengan riak gelisah. Andai tidak salah pendengarannya, dia ada mendengar wanita yang sedang mengendong seorang bayi kecil menyebut nama Amirah. Jika tadi dia sudah berputus-asa, tapi suara itu telah mengubah segalanya. Wanita itu juga menoleh. Pandangan mata mereka bertemu. Hakim dapat mengesan riak kegusaran di wajah itu.

"Eh Mira, aku cakap dengan kau ni! Nah ambik balik Suha ni..nakal betul tadi. Penat aku melayan kerenah dia!"

Hakim bertambah keliru. Suha? Itu nama anak aku! Matanya beralih pula kepada bayi kecil itu. Ya, memang itu anak aku! Walaupun sudah bertambah tembam tapi dia masih mengenali wajah anaknya itu.

Pada masa itulah Amirah terus menarik tangan kawannya dan memaksa rakannya meninggalkan tempat itu. Hakim kalut. Dia memang yakin itu adalah isterinya. Ringan sahaja kakinya hendak mengejar. Namun Sofiana pantas menghalang.

"Abang nak pergi mana? Dia tu bukan Amirahlah!" Marah Sofiana tidak berpuas hati. Pada saat itu dia memang yakin itu adalah Amirah, tapi dia perlu menghalang Hakim. Dia tidak mahu wanita itu kembali dalam hidup mereka.

"Tidak Sofi. Abang tahu itu Amirah. Abang masih kenal isteri abang," balas Hakim.

Sofiana tertawa. "Abang ni dah buta agaknya kot. Tak nampak ke perempuan tu punya cantik. Jauh berbeza dengan Amirah. Amirah tu selekeh tahu tak?"

Hakim memandang Sofiana tajam. Tiba-tiba dia menjadi berang dengan kata-kata itu. Dia tidak suka cara Sofiana mengata isteri pertamanya. Lalu dengan kasar dia merentap tangannya yang berada dalam genggaman Sofiana. Langkahnya diatur laju untuk mengejar Amirah yang mungkin sudah menjauh. Dia tidak mahu kehilangan jejak isterinya itu. Tidak tahu lagi harus dicari isterinya jika itu berlaku. Tidak dipedulikan lagi Sofiana yang melaung memanggil namanya seperti orang gila kerana ditinggalkan. Apa yang ada dalam fikirannya ialah Amirah.

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Where stories live. Discover now