KYK 14

2 0 0
                                    

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu menjelma juga. Sedari awal lagi Hakim sudah siap menunggu ibu bapanya di ruang tamu. Semalam pun dia bermalam di rumah ibu bapanya itu. Mujurlah juga semalam adalah giliran dia bermalam di rumah Amirah. Kekadang kalau dia kebosanan pasti Hakim akan datang bermalam di sini. Jadi tidak perlulah dia bersusah-payah mencari alasan yang sesuai untuk diberikan kepada Sofiana jika isterinya itu bertanya. Berpakaian kemas dan segak di pagi hari dengan haruman yang memikat pasti akan mengundang persoalan di benak isterinya itu. Tambahan pula, Sofiana sentiasa mengawal pergerakannya sekarang.

"Hai anak mama ni, dah tak sabar nampak nak jumpa anak, isteri. Ingatkan mama dengan papa yang terlebih awal. Rupanya anak mama ni lagi awal." Tegur Datin Intan yang baru sahaja turun. Walau dimamah usia, wanita itu masih kelihatan cantik di dalam persalinan birunya.

Hakim hanya tersengih bila ditegur begitu. Memang dia sudah tidak sabar. Perasaan yang dialaminya saat ini melebihi perasaan ketika menunggu hari bahagia dia dan Amirah beberapa tahun lepas. Sukar sekali dia ingin mengambarkan perasaan ini. Sesiapa yang melihat pasti dapat merasai kebahagiaan yang dia alami melalui perlakuannya yang sering meninjau jam di tangan. Masa dirasakan seakan lambat berjalan.

"Dah lama tak jumpa isteri, mama. Memanglah macam tu." Datuk Faruk yang membuntuti isterinya di belakang mencelah. Kelam-kabut di bersiap walaupun jam dinding baru menunjukkan pukul 10 pagi. Semua itu berikutan desakan anak bertuah mereka. Tahulah tidak sabar ingin berjumpa isteri, tapi tidakkah ia terlalu awal sedangkan temu janji mereka adalah pada pukul 12 tengahari.

"Ada-ada aje mama dengan papa. Dah siap ke? Kalau dah bolehlah kita gerak sekarang."

"Cuba kamu tengok jam pukul berapa sekarang?" Pinta Datin Intan selamba.

Hakim yang kebingungan hanya menurut. "Pukul 10 pagi. Kenapa ma?"

"Pukul 10 pagi?" Tanya Datin Intan pula.

"Yelah pukul 10. Tak percaya ke? Kalau mama tak percaya tu..jam dinding besar tu ada. Mama tengok puas-puas." Balas Hakim juga dengan selamba. Semua itu mengundang ketawa kecil Datuk Faruk. Geli hati melihat gelagat anak dan isterinya.

Bahu anaknya dipukul. Hakim mengaduh sakit walaupun pukulan itu terasa seperti kuisan sahaja. Sengaja mahu mengada-ngada dengan mamanya.

"Tahu pun kamu tengok jam. Ingatkan tak tahu. Yang kamu beriya suruh mama dengan papa siap awal-awal ni nak buat apa? Kamu tahu tak berapa lama masa yang diambil ke Subang Jaya dari Wangsa Maju?"

"Dalam 45 minit," jawab Hakim.

"Tahu pun kamu! Tak sampai sejam pun. Kalau pukul 11 pun sempat lagi. Ini tak, kelam-kabut mama dan papa dibuatnya."

"Entah kamu ni Hakim. Bukan kamu tak tahu, mama kamu ni nak jumpa menantu pun macam nak pergi jumpa Datin-Datin kat luar tu. Lip-lap-lip-lap. Dah naik pening kepala papa tengok mama kamu ni," tambah Datuk Faruk sambil mengusik isterinya yang tercinta. Dia tergelak lagi apabila Datin Intan menarik muncung sambil mencubit manja lengannya.

Kata-kata Datuk Faruk turut mengundang ketawa Hakim. "Alah, apa salahnya papa, mama? Sampai awal kat sana bolehlah juga tolong-tolong Mira. Kasihan dia nanti. Mesti tengah kelam-kabut siapkan makan tengahari untuk kita. Hakim dah masak sangat dengan perangai Mira tu papa, mama. Dia sangat-sangat menghormati tetamu." Terang Hakim sambil tersenyum mengingati isteri kesayangannya itu.

"Lagipun, Nasuha dah semakin lasak sekarang. Nanti tak terkawal dia. Mana nak masak, nak tengokkan Suha lagi," sambung Hakim lagi.

Datin Intan dan Datuk Faruk tersenyum mendengar kata-kata anak mereka itu. Dalam hati mereka turut bersetuju. Nampaknya, perpisahan telah mengajar Hakim erti menghargai.

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Where stories live. Discover now