KYK 9

1 0 0
                                    

Aroma mee goreng memenuhi segenap ruangan rumah teres yang dihuni Marissa, Amirah dan Nasuha. Marissa berjalan terhuyung-hayang menuruni tangga. Mata yang masih terasa kantuk di gosok perlahan-lahan. Dengan susah payah dia melihat jam di dinding. Pukul 8 pagi. Lambat pula Amirah menyediakan sarapan pagi hari ini. Selalunya seawal 7.30 pagi semua telah terhidang di atas meja. Dia pula walaupun masih berasa keletihan akibat memandu selama empat jam dari kampungnya, tetap memaksa diri untuk bangun kerana perutnya sudah berdondang sayang. Apatah lagi aroma mee goreng buatan Amirah itu begitu menggoda. Hai, bertuah benar dapat teman serumah yang pandai memasak! Fikirnya.

"Aduh!!"

Amirah pantas berpaling apabila dikejutkan dengan suara seseorang sedang mengerang kesakitan. Terkebil-kebil dia memandang Marissa yang sedang menggosok dahinya. Bibirnya pula terkumat-kamit dengan wajah tidak berpuas hati. Sesekali dinding dapur yang bercat putih itu ditampar-tampar.

"Kau kenapa?" Amirah bertanya. Pelik dia melihat gelagat temannya itu. Masakan dinding batu itu ditampar-tampar. Telapak tangannya juga yang pedih nantinya.

"Tak ada apa-apalah," balas Amirah. Masih menggosok dahinya. Segan untuk berterus-terang. Tentu Amirah akan mentertawakannya. Itulah akibatnya jika berjalan dalam keadaan mata terpejam sambil membayangkan mee goreng masuk ke dalam perut. Akhirnya dinding batu rumah yang dijamahnya. Hilang terus kantuknya sebentar tadi.

Jawapan Marissa tidak memuaskan hati Amirah. Wajah itu diamati lagi. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman lalu diikuti dengan ketawa kecil. Dia sudah memahami situasi sebenar apabila matanya menangkap kesan merah di dahi licin Marissa.

"Kau langgar dinding lagi, ya?" Itu bukan pertama kali kejadian seumpama itu berlaku. Seingatnya sudah masuk kali yang kedua sepanjang dia tinggal di sini. Mungkin penyebabnya juga sama. Berjalan dalam keadaan mata terpejam. Sudah diberi penglihatan yang sempurna masih mahu menjadi orang buta di pagi hari.

"Jangan ketawakan aku, okay?" Marissa memberi amaran. Kerusi meja dapur itu ditarik kasar lalu dihempaskan punggungnya di situ. Bibirnya melepaskan dengusan kasar. Pagi-pagi begini ada sahaja perkara yang akan merosakkan 'mood'nya.

Amaran Marissa nyata tidak memberikan kesan di hati Amirah. Dia terus juga mentertawakan temannya itu. Hanya ketawa kecil. Bukan ketawa lepas yang bisa menggegarkan rumah itu. Wajah cemberut Marissa makin menggelikan hatinya.

"Kalau kau ketawa lagi aku cepuk kau nanti," marah Marissa pula. Panas hati dia melihat wanita yang bertubuh genit itu mentertawakannya. Amirah orangnya agak pendiam. Tapi bukanlah wanita yang tidak punya perasaan. Contohnya lihatlah sekarang seronok sahaja mentertawakan orang.

"Alah, relakslah! Itupun nak marah. Yang kau pergi sondol dinding tu buat apa? Bila dah kena nak marahkan dinding tu pula. Macamlah dinding tu nak menangis bila kau tampar dia macam tu."

"Bukan marah. Sakit hati saja. Kalau tak kerana mee goreng kau yang semerbak sampai ke atas tu tak adanya aku nak turun. Aku lapar kau tahu tak. Semalam aku tak berhenti makan pun. Nak cepat sampai. Mata aku dah nampak katil dah."

Amirah menggeleng-gelengkan kepala mendengar bebelan Marissa itu.

"Kau tu yang terlampau gelojoh. Kalau ya pun lapar tak boleh ke kau cuci muka then berus gigi dulu. Ini tak, dengan rambut berserabai macam tu turun nak mengintai mee goreng aku. Tak larilah mee goreng ni. Aku masak banyak ni. Aku tahu kau ni kuat makan," bebel Amirah pula. Marissa hanya tersengih menyedari kesilapan diri.

"Pukul berapa kau sampai semalam?" Tanya Amirah sambil mengangkat mee goreng daripada kuali dan dihidangkan ke dalam mangkuk.

"Pukul 2 pagi. Letih drive pun tak habis lagi ni. Sakit belakang aku," adu Marissa sambil menumbuk-numbuk belakang tubuhnya.

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Where stories live. Discover now