KYK 8

2 0 0
                                    

Amirah ingin berlalu ke dapur sebaik sahaja menyerahkan Nasuha kepada Hakim. Suaminya itu kelihatan tidak sabar benar hendak mengambil Nasuha dari dukungannya. Belum pun punggung mencecah sofa tangan dihulurkan kepada Nasuha. Sudah tentu anak yang kelihatan girang dengan kehadiran abahnya terus menyuakan tangan minta didukung.

Entah mengapa melihatkan perilaku Hakim kepada anak mereka membuatkan jiwanya resah. Prasangka-prasangka tidak elok mula menerjah minda. Bagaimana jika apa yang difikirkannya sebelum membukakan pintu buat suaminya itu benar? Oh, Tuhan! Janganlah itu terjadi. Tidak sanggup dia berjauhan dengan satu-satunya puteri kesayangannya itu. Dalam hati dia berdoa semoga apa yang difikirkan tidak terjadi dan kedatangan Hakim bukan untuk merampas Nasuha daripadanya.

"Tak nak salam abang ke? Selalunya Mira tak pernah lupa nak salam dengan abang?"

Teguran Hakim menghentikan langkah kaki Amirah yang baru setapak dua maju meninggalkan ruang tamu. Perlahan-lahan dia berpaling memandang Hakim yang sedang tersenyum manis. Untuk sesaat dua dia hanya terpaku di tempat dia berdiri. Hanya mampu untuk terus memandang ke arah wajah yang sudah hampir dua minggu tidak ditatapi. Sudah lama benar dia tidak melihat senyuman itu. Terlalu lama. Semenjak suaminya itu berkahwin lagi, dia sudah tidak mampu untuk terus menatapi wajah itu. Hatinya terluka! Di depan Hakim dia berpura-pura ceria, sedangkan hatinya menangis.

Namun saat Hakim menghulurkan tangan, dia terpaksa menyambut jua. Jemari kasar suaminya itu dikucup lembut. Memang itu yang sepatutnya dilakukan oleh seorang isteri. Sepanjang mereka menjadi suami isteri dia tidak pernah lupa untuk menyalami suaminya setiap kali bertemu dan berpisah.

Amirah berkira-kira ingin cepat berlalu selepas menyalami suaminya itu. Tetapi sebaik sahaja mengangkat kepala, dia sedikit tergamam apabila Hakim memegang belakang kepalanya lalu di tarik rapat ke bibir. Dahi Amirah dicium mesra.

"Emm..wanginya isteri abang. Sayang masih pakai perfume yang abang hadiahkan tu?"

Amirah yang masih kaget, pantas menggelengkan kepala. Tanda menafikan telahan suaminya itu.

"Tapi baunya sama. Abang masih ingat lagi harumannya," ujar Hakim. Sesungguhnya dia yakin haruman yang melekat di tubuh Amirah adalah haruman yang dia hadiahkan pada hari ulang tahun kelahiran isterinya itu.

"Memang haruman yang sama. Tapi yang abang hadiahkan dah habis. Mira beli yang baru," jelas Amirah. Sengaja tidak mahu Hakim berfikir yang dia masih menyayangi pemberian suaminya itu.

Hakim tersenyum mendengarnya. Terlupa sudah hampir tiga tahun usia perkahwinan mereka. Tentulah sudah habis. Haruman itu dihadiahkan sempena meraikan ulang tahun pertama selepas bergelar isteri kepadanya.

"Tapi tetap haruman yang sama kan? Tu tandanya Mira masih menghargai pemberian abang."

Isterinya itu hanya mendiamkan diri. Tidak mahu mengulas apa-apa. Malah tiada reaksi yang dapat dibaca di wajah itu. Dia sedar Amirah masih marahkan dirinya kerana memaksanya sebentar tadi. Tapi itu semua tidak melemahkannya untuk terus memujuk isterinya itu.

"Abang duduklah dulu. Mira nak buat air."

Pelawaan Amirah disambut dengan senyuman. Dia hanya memerhati langkah isterinya ke dapur. Hatinya sedikit terusik dengan pakaian yang melekat di tubuh isterinya itu. Amirah hanya mengenakan gaun malam paras tumit yang dia kira agak nipis dan seksi. Cuma bahagian atas telah ditutupi oleh cardigan berwarna putih. Mungkin dikenakan sebelum keluar untuk membukakan pintu tadi.

Amirah ternyata telah melakukan perubahan yang dia kira agak drastik. Sepanjang dua tahun berkahwin belum pernah dia melihat isterinya itu mengenakan gaun malam sebegitu. Isterinya itu lebih gemar mengenakan pijama bila malam menjelma. Pernah dia berniat mahu membelikan gaun malam untuk Amirah tapi ditolak mentah-mentah oleh isterinya itu. Alasan yang diberikan adalah segan untuk berpakaian begitu dihadapan Hakim.

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Where stories live. Discover now