KYK 17

2 0 0
                                    

"Abang...abang!!"

Terbatuk-batuk Hakim saat suara nyaring Sofiana memenuhi segenap ruangan rumah. Air nescafe panas yang belum pun sempat sampai ke anak tekak sebentar tadi ditelan dengan penuh berhati-hati. Bimbang tersedak pula. Perlahan-lahan cawan yang separuh berisi itu diletakkan semula di atas meja.

Habis hilang seleranya sebentar tadi. Entah apalah kali ini?

"Kenapa ni, Sofi? Berlari-lari macam ni? Awak tu mengandung!" Hakim memandang tajam ke wajah isterinya yang kelihatan tercungap-cungap. Mungkin kerana penat berlari sebentar tadi. Risau pula dia melihat keadaan isterinya itu. Bimbang akan memudaratkan kehamilan Sofiana yang sudah mencecah bulan-bulan terakhir.

"Ada apa?" Tanya Hakim lagi sebaik sahaja nafas Sofiana kembali teratur.

"Ni!" Sofiana menunjukkan kad berbalut indah di tangannya. Mata Hakim tunak memandang kad itu. Dia menelan air liur. 'Macam-mana dia boleh jumpa ni?' Bisik Hakim di dalam hati.

"Kad jemputan ke majlis Dato' Kuzir? Kenapa abang tak cakap dengan Sofi pun?"

Hakim menggaru kepala yang tidak gatal. Apa yang harus dijawabnya? Dia ternyata belum bersedia dengan alasan. Sangkanya ia akan kekal menjadi rahsia sehingga majlis itu berlangsung hujung minggu ini.

"Er..abang..abang." Tergagap-gagap Hakim mencari jawapan. Liar matanya ke sana ke mari seiring otakknya yang sedang ligat berfikir.

"Kenapa?" Sofiana bertanya lagi. Kali ini dengan nada suara yang agak tegas. Dia seperti dapat mengesan sesuatu pada air muka suaminya itu.

"Abang baru sahaja dapat kad jemputan tu hari ni. Terlupa nak beritahu Sofi." Itu sahaja alasan yang difikirkan sesuai saat ini.

"Yeke?" Sofiana bertanya curiga. Dalam pada itu tangannya sibuk menelek kad di tangan. "Majlis tu hujung minggu nanti, kan?"

Hakim menganggukkan kepala. Sambil menunggu butir-butir bicara Sofiana. Pasti ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikiran isterinya itu.

"Ada dua-tiga hari lagi. Sempat ke?" Kata Sofiana sambil mengira sesuatu. Semua itu mengundang pandangan pelik Hakim. Terfikir-fikir apakah yang sedang dikira isterinya.

"Honey, kira apa tu?"

Sofiana tersenyum sambil menjeling suaminya. "Abang, jom keluar?"

"Keluar? Nak keluar ke mana?" Laju sahaja Hakim bertanya.

"Pergi butiklah. Sofi nak cari baju untuk majlis tu nanti. Baju Sofi semua dah lama. Tak sesuai lagi nak pakai. Nanti Sofi nampak gemuk," ujar Sofiana sambil mengusap perutnya.

"Pergi butik!?" Hakim bertanya kuat. Aduh, inilah sebab kenapa dia merahsiakan jemputan itu.

"Yelah, pergi butik! Kenapa? Abang nampak macam terkejut saja."

"Sofi nak pergi majlis tu ke?" Hakim bertanya lurus.

"Yelah. Sofi nak cari baju yang paling cantik dan mewah. Barulah setanding dengan mak-mak datin kat sana." Sofiana tersenyum bangga. Terbayang-bayang gaun indah yang diidam-idamkannya. Perut yang besar tidak akan menjadi penghalang untuk dia tampil bergaya di majlis itu. Berjalan-jalan beriringan dengan Hakim pasti akan memukau pandangan semua orang di sana. Boleh jugalah dia berkenalan dengan orang-orang kaya. Kenalan Dato' Kuzir tentu dari kalangan orang berada. Dapatlah juga dia menumpang glamor.

Ini tidak, asyik-asyik muka kawan-kawannya yang 'sengkek' itu juga kelihatan. Dia sudah bosan berada dalam kalangan rakyat sederhana. Dia mahu status yang lebih tinggi.

"Tak usah pergilah Sofi. Biar abang saja yang pergi." Kata-kata Hakim seperti halilintar memusnahkan impiannya.

"Kenapa pula?" Nada suaranya sudah bertukar keras. Pantang betul dia apabila ada orang yang cuba meranapkan segala mimpinya.

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Where stories live. Discover now