KYK 7

1 0 0
                                    

Sudah dua minggu peristiwa di tempat letak kereta itu berlalu. Namun, ia tidak menghalang Amirah untuk terus mengingatinya. Puas dihalau memori itu dari singgah ke kotak fikirannya, tetapi ia datang menjengah jua. Ia seakan besi magnetik yang hanya mahu melekat di sudut fikirannya. Masih jelas di ingatan renungan Hakim yang mengasyikkan dan pelukan hangatnya. Tidak dilupakan juga riak penuh kejutan dan tidak percaya yang jelas sekali terukir di wajah itu.

Amirah akui walau sekeras mana pun dia bersuara menyatakan kelukaan, rasa rindu itu tetap hadir dicelah-celah kepedihan yang sekian lama bermukim di hati. Hakim tidak banyak berubah. Masih kacak dan tampan seperti dahulu. Cuma tubuhnya agak susut sedikit. Mungkinkah suaminya itu merindui dirinya? Tanpa sedar air matanya menitis di pipi. Meratapi nasib dirinya kini. Tapi untuk apa? Dia yang memilih jalan hidupnya begini. Alangkah bagus jika masa boleh diundurkan? Dia mahu pulang kembali ke zaman belajar mereka di Universiti Malaya agar saat cintanya menyulami hati Hakim dapat dielakkan. Jadi tidak perlulah dia merasa peritnya hidup saat ini. Tidak semena-mena Amirah terkenangkan saat di mana Hakim melamarnya. Saat di mana Hakim berjanji tidak akan mensia-siakannya. Betapa indahnya waktu itu.

"Kahwin dengan Hakim?" Amirah mengulangi pertanyaan Hakim yang baru sahaja menyapa telinganya. Mata yang sedikit sepet dibulatkan. Telinga yang sedari tadi hanya difokuskan kepada gelagat pasangan yang berada di sebelah mereka terus dipusatkan kepada Hakim. Lelaki itu sedang merenungnya dengan pandangan penuh mengharap. Dia seakan tidak percaya. Berkali-kali dia bertanya kepada diri sendiri. Dia salah dengar atau apa?

Namun anggukan lelaki itu membuatkan jantung Amirah berdegup kencang. Ternyata dia tidak salah dengar. Jadi inikah perkara penting yang hendak dibicarakan lelaki itu sehingga membawanya ke restoran berorientasikan selera Itali ini?

"Hakim bergurau kan?" Tanya Amirah cuba mencari kepastian di sebalik renungan itu.

"Tak, Hakim serius!" Jelas Hakim beserta gelengan yang menunjukkan dia tidak main-main. Menandakan apa yang lahir daripada bibirnya adalah suara hati yang penuh keikhlasan.

"Tapi kenapa tiba-tiba?"

Amirah sebenarnya keliru. Selama mereka berteman tidak pernah mereka berdua berbincang tentang perasaan. Mereka hanya sekadar teman rapat yang saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, perubahan Hakim semenjak mereka mula memasuki alam pekerjaan sedikit ketara. Sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan adalah bergayut berjam-jam di telefon selepas jam 11 malam. Tapi itulah yang terjadi selepas sebulan lelaki itu mula bekerja sebagai jurutera di syarikat milik bapanya sendiri. Walaupun pelik dengan perubahan itu, tetapi rasa bahagia tidak dapat diusir pergi. Dia senang dengan perubahan perhubungan mereka itu.

"Bukan tiba-tiba. Dah lama sebenarnya Hakim fikirkan tentang hal ni. Tapi baru hari ini Hakim berani bersuara," jelas Hakim lagi.

"Tapi...kita kan cuma teman rapat Hakim?"

Kelihatan lelaki itu menganggukkan kepala. Tanda mempersetujui kata-kata wanita dihadapannya ini.

"Memang kita teman rapat. Tapi tak salahkah kalau kita berkahwin. Kita halal untuk bernikah," ujar Hakim dalam nada bergurau. Jelas senyuman mengusik terukir di wajahnya.

"Seriuslah Hakim. Janganlah main-main," tegur Amirah. Dia tidak suka Hakim bercanda pada waktu kritikal begini. Hakim sedang melamarnya. Dan sekarang dia dalam keadaan yang tidak percaya. Bagaimana seorang teman melamar temannya sendiri? Sepatutnya Hakim cuba menyakinkannya saat ini. Bukan dengan bercanda begitu.

"I do. I do serious about this matter. Hakim tak main-main. Hakim memang nak Mira jadi isteri Hakim. Bukan lagi sekadar teman biasa. Tapi teman yang akan menemani Hakim hingga ke akhir hayat. Yang boleh menyayangi Hakim dan yang bisa Hakim cinta."

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Where stories live. Discover now