KYK 10

3 0 0
                                    

Keluhan berat dilepaskan sebaik sahaja matanya menangkap kelibat Hakim yang sedang bersandar di kereta Audi A6 miliknya. Cekap benar suaminya akan jalan-jalan di bandar besar ini. Lihat sajalah sekarang. Dalam sekejapan sahaja dia sudah terpacak di depan butik itu.

Untuk apa pula lelaki itu datang kemari? Bukankah Hakim sudah diberitahu yang dia punya kerja yang hendak diselesaikan? Walaupun hakikatnya dia hanya menemani Marissa dan tunangannya membuat persediaan untuk majlis mereka. Tapi itu tidak bermakna kehadiran Hakim diperlukan. Dia masih kuat untuk melayani telatah puterinya yang sudah semakin lasak. Dia sudah biasa.

"Mira, suami kau tu kan?" Marissa menegur. Nampaknya bukan dia seorang sahaja menyedari kehadiran Hakim di situ. Amirah hanya mengangguk mengiakan. Tapi tidak pula dia melangkah mendapatkan suaminya itu. Sengaja dia berdiri terpacak di situ sambil memerhati kelakuan Hakim yang masih tidak menyedari bahawa orang yang ditunggunya sudah pun keluar dari butik itu.

"Mana suami you?" Tanya Razif tiba-tiba. Matanya meliar mencari kelibat lelaki yang diperkatakan tunangannya itu. Teringin juga dia hendak melihat sejauh mana ketampanan suami Amirah sehingga menjadi rebutan dua wanita.

"Tu." Amirah memuncungkan bibir ke arah suaminya. Manakala Razif membuang pandang ke arah tempat yang ditunjukkan Amirah.

"Oo..so that's your husband. Emm..boleh tahan. Patutlah jadi rebutan."

Razif mengaduh sakit apabila tangan halus milik Marissa sudah mengetip lengannya. Memberi isyarat agar dia tidak meneruskan kata. Apatah lagi bila melihat wajah mendung temannya itu. Mungkinkah temannya itu sedang bersedih selepas memdengar kata-kata Razif itu.

"Emm..kau tak nak pergi dekat hubby kau ke?" Bisik Marissa di telinganya. Namun dia jawapan yang keluar dari mulut wanita itu. Dia hanya terus merenung ke arah suaminya. Sedang menimbang-nimbang kebaikan jika dia bersua-muka dengan Hakim buat sekian kalinya.

"Pergilah Mira. Kami tunggu!" Suruh Razif. Dia tahu Amirah keberatan. Tapi takkanlah hendak melarikan diri pula. Sedangkan suaminya sudah beriya-iya kemari.

Dengan berat hati Amirah menganggukkan kepala. Nasuha yang enak berada di dalam pelukan Razif mahu diambilnya, tetapi ditegah lelaki itu. "You pergilah. Suha biar I yang jaga."

Sekali lagi Amirah menganggukkan kepala. Langkahnya diatur perlahan. Baru beberapa tapak dia menghentikan langkah. Matanya menyoroti setiap langkah yang diatur Hakim kepadanya. Mungkin suaminya itu sudah terperasankan kewujudan mereka di situ. Wajah lelaki itu kelihatan tegang. Dia juga perasan mata Hakim sesekali terarah kepada Razif yang berada sedikit terkebelakang. Entah apa sajalah yang sedang berada di dalam fikiran suaminya itu.

"Buat apa abang datang kemari. Kan Mira cakap Mira ada kerja." Amirah berbisik perlahan. Tidak mahu kedua temannya itu terdengar perbualan mereka yang sentiasa akan 'dihiasai' pertengkaran. Dan dia pasti perkara yang sama juga akan berlaku sebentar lagi. Memandangkan Hakim juga seperti sedang menahan kemarahan.

"Apa Mira buat dekat sini?" Tanya Hakim sambil matanya terarah kepada butik pengantin yang berada dibelakang Amirah. Hatinya jadi tidak tenteram. Untuk keperluan apa Amirah di sini? Butik pengantin? Hatinya dilanda kegelisahan yang teramat. Apatah lagi bila melihat anak kesayangannya berada dalam dukungan seorang lelaki yang dia kira begitu bergaya sekali. Kedudukannya di sisi Amirah terasa begitu tergugat. Tapi, mereka berdua belum bercerai lagi??

"Kan Mira dah cakap yang Mira ada kerja. Yang abang datang sini buat apa?"

"Dekat butik pengantin?" Hakim memandang isterinya tajam. Dalam diam dia sebenarnya mengharapkan penjelasan dari Amirah. Tapi dia tahu isterinya itu tidak akan membuka mulut untuk bercerita. Berat benar mulut Amirah sejak akhir-akhir ini. Apatah lagi apabila bersamanya.

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz