KYK 13

2 0 0
                                    

Audi A4 menjalar perlahan-lahan memasuki porch. Tanpa mematikan enjin, Hakim bersandar bagi melepaskan lelah. Lelah kerana memikirkan usaha yang hampir berjaya ternyata sia-sia akhirnya. Juga lelah kerana hari ini adalah giliran dia bermalam dengan Sofiana. Walaupun marah, tanggungjawabnya sebagai seorang suami tetap dilaksanakan. Dia tidak mahu kesilapan yang sama pernah dilakukan terulang lagi. Biarlah ia menjadi pengajaran yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

Untuk kesekian kalinya, wajah yang sering dirindui menjelma di ruang fikiran. Amirah! Tanpa sedar bibirnya menyeru nama itu. Nama yang cukup indah. Seindah raut suci pemiliknya. Entah bilalah mereka akan hidup bahagia seperti beberapa bulan lepas. Hatinya tidak sabar menunggu saat-saat itu. Saat dimana setiap sudut kehidupan mereka dipenuhi dengan warna-warni kebahagiaan. Tidak seperti sekarang. Seorang di utara, seorang di barat. Hidup tidak sebumbung walaupun suami isteri. Pahit benar hakikat yang harus ditelan. Tapi itulah takdir yang ditentukan untuk mereka berdua. Dia redha! Semua berpunca dari kekhilafan dirinya sendiri.

"Mira, abang rindukan Mira. Abang rindukan anak kita. Baliklah sayang.." keluh Hakim sambil mengurut rambutnya ke belakang. Sebak di dada bila mengenangkan isteri pertamanya itu. Rindu dihati bukan sedikit. Begitu menggebu di jiwa. Tidak sabar rasanya mahu menunggu hujung minggu ini. Sehingga dia merancang memancitkan tayar kereta isterinya itu hanya untuk menghabiskan masa bersama. Tapi lain pula jadinya. Lebih menyakitkan hati apabila dia mengetahui akan kewujudan pesaingnya.

Langsir jendela diselak sedikit bagi membolehkannya mengintai suaminya di dalam kereta. Lokasi bilik yang bertentangan dengan porch kereta membolehkannya berbuat demikian. Sedari tadi dia berada di situ. Menanti saat-saat suaminya melangkah ke dalam rumah mereka. Tapi nampaknya hampir 10 minit Hakim masih di situ walaupun enjin kereta telah lama dimatikan. Tidak senang duduk dia dibuatnya. Lalu langsir jendela dikibar kasar. Rambut lurus yang sedikit menutupi muka ditolak ke belakang dengan rakus. Dia berpeluk tubuh.

Entah bilalah suaminya itu hendak keluar dari tempat bertapaannya itu. Kalau diikutkan rasa hati yang tidak sabar telah lama Hakim dijemputnya. Tapi bagaimana pula dengan segala suprise yang telah disiapkan untuk lelaki itu? Tidakkah tingkahnya itu akan merosakkan segalanya? Dia tidak mahu tampak begitu gelojoh. Dia mahu tampil sopan dan ayu seperti yang pernah dipertontonkan kepada lelaki itu sebelum Hakim mengambil keputusan untuk menikahinya hampir 7 bulan lepas. Yakin dengan cara itu dia mampu memenangi hati suami yang semakin hari semakin dipenuhi cinta isteri pertama.

Seharian dia bekerja di rumah hari ini. Cuti sengaja diambil untuk menjayakan segalanya. Semua itu dilakukan kerana dia tahu giliran Hakim bersamanya malam ini. Sudah terlalu lama masalah mereka dibiarkan berlarutan. Sedangkan Hakim sudah hampir menggapai Amirah dan anak mereka. Jika dia tidak bertindak sekarang, mungkin sahaja dia akan kembali hidup bermadu dalam erti kata yang sebenarnya. Semalaman dia berfikir cara apa lagi yang harus dilakukan untuk menundukkan suaminya itu. Mungkin cara yang sedia ada sudah tidak releven berbanding cinta lelaki itu buat Amirah. Dia sendiri bagaikan tidak percaya! Bagaimana cara yang begitu yakin keberkesanannya seakan kebal ke atas Hakim. Semua itu disedarinya selepas Amirah pergi dari hidup mereka.

Mungkin strateginya perlu ada nilai tambah. Dan itulah yang sedang dilakukan. Mungkin dia terlepas pandang selama ini. Sekadar usaha mudah yang memerlukan ribuan ringgit nampaknya tidak memadai. Jadi inilah yang bakal berlaku sebentar lagi dan untuk hari-hari seterusnya. Hakim begitu mencintai Amirah kerana keperibadian, kecantikan dan juga kepandaian wanita itu dalam menguruskan rumahtangga mereka. Apa yang dapat dia lihat dan simpulkan adalah...dia perlu menjadi seperti Amirah! Mesti! Dia rasa dia lebih cantik dan moden dari wanita itu. Dan dia pasti dapat melakukan lebih baik dari wanita itu!

Sedang dia berdialog sendirian, kedengaran pintu rumah terbuka. Tahulah dia yang suaminya telah memasuki rumah dan telah meninggalkan tempat pertapaannya tadi. Dengan pantas Sofiana mengemaskan diri di hadapan cermin. Pakaiannya yang agak menjolok mata itu sudah pasti akan menetapkan pandangan mata Hakim kearahnya selepas ini. Harapannya agar bayangan Amirah akan hilang terus dari minda suaminya. Perutnya yang sudah membulat diusap perlahan. Terselit kesal di hati. Kerana anak yang dikandung ini dia sudah kurang kelihatan seksi. Tubuhnya sudah kelihatan sedikit gempal. Dek kerana takut tubuhnya semakin berisi, dia berusaha menyekat selera makannya.

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang