KYK 6

2 0 0
                                    

Jam sudah menunjukkan angka 4.30 minit petang. Hakim semakin gelisah. Apa yang dicari masih juga tidak menunjukkan tanda-tanda akan berjumpa. Sekejap lagi pasti Sofiana akan pulang. Kalau dia tidak cepat entah bilalah dia punya peluang untuk mencari lagi.

Seingatnya 'Business Card' Marissa telah tersimpan kemas di dalam kocek seluarnya. Apabila pulang ke rumah kad tersebut telah diletakkan di bawah tilam sebaik sahaja Sofiana menghilang diri ke dalam bilik air. Semua itu dilakukan untuk mengelakkan dari diketahui isterinya itu. Namun perancangan yang begitu rapi nampaknya masih jua sia-sia. Pada keesokkan hari kad itu hilang begitu sahaja. Sedangkan Hakim telah bercadang untuk menelefon Marissa setelah tamat waktu kerja. Tidak manis pula jika dia menganggu wanita itu di waktu kerja.

Hakim bergerak pula ke arah almari yang menempatkan pakaian isterinya. Segala isi di dalamnya diselongkar. Setiap satu pakaian Sofiana dibuka daripada lipatan dan dikibarkan ke udara. Mungkin kad itu terselit di mana-mana. Dan dia berharap dengan kibaran itu akan menyebabkan kad itu tercampak keluar.

Namun, setelah hampir semua pakaian isterinya diselongkar, Hakim hanya mampu melepaskan keluhan kecewa. Kad itu masih juga tidak dijumpai. Dia meramas rambut dan ditebak ke belakang. Pingggang dicekak dengan kedua belah tangan sambil matanya meligas pantas ke setiap pelosok bilik. Bukan sahaja di bilik malah sudah hampir segenap pelosok rumah sudah dicarinya. Operasi mencarinya itu sudah dilancarkan sejak dua minggu dahulu. Saat di mana dia menyedari akan kehilangan kad itu. Hendak ditanya kepada Sofiana bimbang isterinya itu mengamuk pula. Dia cukup masak dengan perangai Sofiana yang tidak gemar nama Amirah disebut oleh dirinya.

Lalu, untuk mengelakkan kekecohan, Hakim bertindak mencarinya ketika Sofiana keluar bekerja. Setiap hari dia pasti akan pulang awal ke rumah. Tanpa sempat menggantikan pakaian kerja, kad itu terus dijejaki. Masa yang ada tidak sepatutnya diabaikan. Fikir Hakim.

Entah mengapa hatinya kuat mengatakan kad itu tidak hilang begitu sahaja. Ada seseorang yang telah mengambilnya dari bawah tilam tempat dia merebahkan diri pada setiap malam. Lagipun mereka hanya tinggal berdua. Tiada siapa lagi yang boleh dikenakan tuduhan melainkan Sofiana. Dia yakin Sofiana telah menyaksikan perilakunya dengan teman Amirah dua minggu lepas. Dan jika itu berlaku sudah tentu Sofiana akan berusaha untuk menghapuskan satu-satunya cara untuk dia menuju isteri pertamanya. Mungkin juga Sofiana tidak berniat hendak ke bilik air tetapi berniat ingin mengintainya. Ahh, kenapa dia begitu lalai? Seharusnya alamat dan nombor telefon itu telah dihafalnya sebelum disimpan. Sekurang-kurangnya, kalau kad itu hilang pun dia masih boleh mengingati nombor telefon teman Amirah itu.

Bukan niat di hati hendak berburuk sangka kepada isteri keduanya itu. Tetapi, berdasarkan sifat cemburu yang ditunjukkan buat Amirah memungkinkan segalanya. Hakim yakin memang dia tidak pernah menyentuh kad itu selepas disimpan dibawah tilam. Dia amat yakin itu! Jadi siapa lagi kalau bukan Sofiana? Kalau benarlah telahannya, entah bagaimana dia hendak menyifatkan cemburu Sofiana yang di tahap kritikal itu. Sedangkan Amirah juga isterinya. Amirah juga punya hak untuk diberikan perhatian sebagai seorang isteri. Seharusnya Sofiana tidak perlu mempersoalkan tentang itu kerana selama ini memang dia sentiasa melebihkan Sofiana.

Tetapi itu semua kisah enam bulan yang dulu. Sebaik sahaja Amirah meninggalkan dirinya, dia bertekad untuk bertindak adil kepada Amirah dan Sofiana biarpun isteri pertamanya itu telah hilang tanpa khabar berita. Dia serik! Dan dia fikir dia harus belajar untuk berlaku adil. Oleh itu, dia tidak pernah lupa untuk bermalam di rumah Amirah walaupun isteri dan anaknya itu tidak ada. Dia rela tidur sendirian di rumah itu asalkan dia tidak melakukan kesalahan yang sama sehingga menyebabkan Amirah meninggalkannya. Perasaan bersalah akan menguasai diri jika dia tidak pulang ke rumah itu pada hari giliran Amirah. Dia tidak mahu menyakiti hati isterinya itu lagi. Dia juga hanya memekak telinga apabila Sofiana mengatakan dirinya gila.

Kau yang Kunanti by Ida Farisya (Unedited Version)Where stories live. Discover now