Bab 2

79 6 0
                                    

Di sebuah salun rambut pada tahun 2015

"GOOD MORNING!" sapa Suzie ke arah seorang pelanggan yang baru melangkah masuk ke salun.

Perempuan cantik yang berambut panjang itu tidak menjawab. Wajahnya serius. Suzie langsung tidak berkecil hati. Sejak bekerja di salun rambut itu, dia telah berdepan dengan pelbagai ragam pelanggan. Ada yang mesra. Dan ada juga yang sebaliknya. Itu adalah asam garam pekerjaannya.

Setelah melihat perempuan itu melabuhkan punggung di atas kerusi, Suzie segera menghampirinya.

"Kasi cantas bagi pendek macam ni!" kata perempuan itu sambil menuding jari telunjuknya ke arah sekeping gambar penyanyi Stacy.

Eeiii! Sayangnya rambut yang ikal mayang tu nak dicantas bagi pendek, bisik hati Suzy. Tetapi disebabkan perempuan itu kurang mesra, Suzy tidak berani mempertikaikan keputusannya. Prinsip Suzie mudah sahaja, customer is always right!

Suzie menarik ke arahnya troli yang berisi peralatan untuk menggunting rambut. Botol spray berisi air dicapai lalu dispraynya sedikit air untuk membasahkan rambut pelanggannya itu sebelum mula menggunting rambutnya. Seketika kemudian, berderak-derak bunyi rambut perempuan itu tatkala digunting Suzie.

"Panas kan sekarang ni," Suzie cuba mencari modal untuk berbual dengan pelanggannya itu.

Namun, pelanggannya itu terus membatu. Eeiii... sombongnya perempuan ni! Kutuk Suzie dalam hati.

Dia melontar pandang ke arah cermin untuk mengintai wajah pelanggannya.

Zuppp! Berderau darah Suzie ketika melihat perempuan itu sedang merenungnya dengan mata yang merah menyala. Suzie terundur ke belakang dan hampir-hampir sahaja terlepaskan gunting yang sedang dipegangnya. Terkejut!

Suzie mengambil masa beberapa ketika untuk menenangkan dirinya. Kemudian, dia memberanikan diri untuk mengintai semula ke arah cermin. Dia nampak perempuan itu juga sedang memandangnya. Mata perempuan itu sudah kembali normal, tidak lagi merah menyala seperti tadi.

Isy, kenapa dengan aku ni? Bisik hati Suzie sambil meneruskan kerjanya. Walaupun dia cuba untuk bertenang tetapi entah kenapa badannya terasa seram sejuk sahaja. Dia hanya lega setelah selesai menggunting rambut pelanggannya yang agak pendiam dan pelik orangnya itu.

Setelah pelanggannya itu keluar dari salunnya, Suzie mencapai penyapu dan bekas pengaut sampah. Dia hendak mengumpulkan rambut pelanggannya tadi untuk dibuang ke dalam tong sampah. Tetapi sesuatu yang aneh telah berlaku. Ketika dia menghalakan penyapunya ke arah rambut itu, ia bergerak ke arah lain; seolah-olah sedang melarikan diri.

Suzie jadi bingung. Terlopong mulutnya melihat keganjilan itu. Dia cuba nasib sekali lagi. Situasinya tetap sama seperti tadi, rambut itu bergerak ke arah lain setiap kali Suzie cuba hendak menyapunya. Ia seolah-olah sedang mempermainkan Suzie pula. Kesabaran Suzie mula tercabar. Dia rasa dirinya seolah-olah diperbodohkan pula oleh gumpalan rambut itu.

Suzie mengangkat penyapunya tinggi-tinggi. Dikejarnya gumpalan rambut itu, lalu dihentak-hentaknya dengan penyapu. Ada kalanya kena, ada kalanya tidak. Rambut yang tadinya selonggok, kini sudah bersepah-sepah di atas lantai simen.

Tiba-tiba Suzie berhenti. Dia rasa ada benda halus sedang meremut-remut mendaki kakinya. Dia pandang ke bawah. Matanya terbeliak. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya – kakinya yang panjang dan kuning langsat itu sedang dipanjat oleh deretan rambut yang tidak terkira jumlahnya.

Panik, Suzie membongkokkan tubuhnya lalu cuba menepis rambut-rambut yang seolah-olah sedang cuba menjarah kakinya itu. Tetapi rambut itu melekat pada tangannya pula dan merayap-rayap di situ.

PENUNGGUWhere stories live. Discover now