Bab 6

52 4 0
                                    

"HUJAN pun dah reda ni, aku minta diri dululah. Nak tutup kedai." Nur Dila berkata ketika matanya hinggap ke arah jam rona merah jambu yang melekap di dinding apartmen. Jarum jam ketika itu sudah menuding ke angka 11.45 malam.

Risau juga dia kerana terpaksa meninggalkan restorannya kepada para pekerjanya sahaja gara-gara hendak melawat Meilina yang dilanda masalah. Itulah semangat setiakawan namanya. Kalau ada di antara kawan karibnya yang dilanda kesusahan, dia harus berada di sisi mereka.

Pun begitu sebagai seorang majikan, dia percayakan para pekerjanya. Setakat ini, mereka jujur menjalankan amanah yang diletakkan ke bahu mereka. Malah, Nur Dila telah menganggap tukang masak, pembantu tukang masak, tukang bancuh air dan dua orang pelayan restorannya itu sebagai ahli keluarganya sahaja.

"Tak takut ke nak turun seorang diri? Nak aku temankan?" Junita menawarkan jasa baiknya hendak menemani Nur Dila turun dari apartmen itu.

Nur Dila ketawa.

"Hey Ju, dah berapa lama kau kenal aku ni, hah? Selama kau kenal aku ni, aku jenis penakut ke?" soalnya ke arah Junita.

Sebenarnya dia telah mengenali Junita dengan rapat sejak mereka berada dalam kelas yang sama ketika di Tingkatan Lima lagi. Hubungan mereka terus bersambung setelah masing-masing meninggalkan alam persekolahan dan memasuki dunia pekerjaan. Junita memilih untuk bekerja di sektor korporat sementara dia pula mengambil alih pengurusan restoran yang diusahakan oleh arwah ayahnya.

Dia hanya mengenali Meilina kerana gadis berkulit cerah itu adalah teman serumah Junita. Namun, tidak sukar untuk dia menjadi rapat dengan Meilina kerana Meilina orangnya yang jenis cepat mesra dan menarik untuk didampingi. Akhirnya, mereka bertiga tidak boleh dipisahkan lagi.

"Aku dah cukup kenal dengan kau. Kau tu memang brutal tapi kalau bercakap eloklah jangan takbur!" ejek Junita sambil juih bibir.

"Nak teman ke tak ni?"

"Eleh, tak payah! Silap haribulan aku pulak kena temankan kau naik semula ke apartmen ni. Nanti tak jadi kerja pulak kita asyik turun naik... turun naik lif. Insya-ALLAH, selamat." Nur Dila menjawab dengan yakin.

Lagipun Nur Dila sudah biasa dengan suasana di apartmen itu. Sistem keselamatan di situ boleh dikatakan agak canggih juga. Kamera pengawasan disediakan di tempat-tempat yang strategik. Dipintu masuknya pula tersedia pondok pengawal dengan dua orang pengawal keselamatan bertugas di situ. Setiap pelawat harus menunjukkan kad pengenalan dan memaklumkan kediaman siapa yang hendak mereka kunjungi. Apabila melihatkan sistem keselamatan yang agak ketat itu, pasti sesiapa juga yang ke situ akan berasa selamat. Nur Dila juga tidak terkecuali.

Sebelum melangkah ke pintu, Nur Dila menghampiri Meilina. Mereka berpelukan.

"Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Bincanglah baik-baik dengan Daz tentang masalah kau orang berdua ni. Kalau dia mesej atau telefon, atau ajak jumpa... jangan asyik mengelak. Kau dan Daz harus bersemuka. Bincang dan luahkan perasaan yang terpendam tu dari hati ke hati!" Dia menitipkan kata-kata semangat untuk Meilina.

"Pergh!!! Kalau Cik Dila yang bagi motivasi, Dr. Fadillah Kamsah pun kalah!" ejek Junita.

Nur Dila berpaling ke arah Junita dengan mata yang sengaja dicerlang.

"Kau ni kenapa, perli-perli orang bagai? Kau tak kesian ke dengan kawan kita ni?" Marahnya.

"Ala, janganlah ambil hati, Dila. Aku gurau aje," sahut Junita.

"Boleh kalau nak bergurau tapi biarlah kena masanya." Nur Dila menjawab.

"Okey, aku minta maaf. Sekarang kau boleh sambung balik ceramah motivasi kau."

PENUNGGUWhere stories live. Discover now