Bab 8

48 3 0
                                    

PAGI menyapa bumi kota dengan suasana yang sejuk serta basah akibat hujan semalaman. Malah, pagi menyapa bumi Kuala Lumpur dan sekitarnya dengan awan mendung masih lagi tergantung di dada langit. Walau sejuk dan basah, namun semua itu tidak mampu menghalangnya daripada terus berdegup dengan kesibukan, lebih-lebih lagi pagi itu adalah pagi Isnin. Sibuk; mungkin itulah trademark yang paling tepat untuk menggambarkan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, lubuk tempat ribuan orang mencari nafkah. Apatah lagi setelah sistem cukai dan perkhidmatan(GST) dilaksanakan; yang malas berusaha dan 'tidak berdaya' pasti rasa sesak hendak bernafas di buminya.

Masing-masing bangkit dengan misi dan destininya sendiri. Ibubapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah berpagi-pagi lagi sudah bertali-arus di jalanraya untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah masing-masing. Pemilik restoran, gerai atau warung kecil di kaki lima bangunan ataupun di tepi jalan juga sudah sibuk melayan pelanggan yang singgah untuk bersarapan. Para pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta, bergerak awal menuju ke pejabat masing-masing. Tidak terkecuali juga dengan pekerja kontrak, sektor industri, tukang sapu sampah, pencuci bangunan, jurujual dan yang lain-lainnya juga turut memenuhkan jalanraya menuju ke tempat kerja.

Meilina juga tidak terkecuali. Dia menumpang kereta Junita hingga ke stesen komuter di Taman Wahyu. Dari situ dia akan menaiki komuter dan turun di stesen Bank Negara sebelum berjalan kaki menuju ke tempat kerjanya. Walaupun hatinya masih lagi luka dan sakit setelah melihat kecurangan tunang yang terpapar di hadapan matanya tetapi dia tidak mahu melayan sangat perasaannya itu. Untuk apa meratap tangis semata-mata kerana seorang lelaki, bisik hatinya. Pun begitu, dia tidak boleh duduk terkurung di rumah sekadar untuk melayan perasaan. Seperti biasa, dia harus menyibukkan dirinya.

Kalau semalam dia enggan menjawab sebarang panggilan mahupun SMS yang dihantar Dazrin, hari ini dia tidak akan mengelakkan dirinya daripada lelaki itu lagi. Itulah tekadnya. Ya, mereka harus bersemuka dan berbincang tentang hala tuju perhubungan mereka. Dia menunggu juga kalau-kalau lelaki durjana itu akan menelefonnya awal pagi Isnin itu tetapi nampaknya Dazrin menyepi sahaja.

Mungkin dia masih terbongkang di atas katil. Argh, lantaklah! Bisik hatinya sambil terus menghayun langkah.

Ketika dia menghampiri perkarangan bangunan empat tingkat yang menempatkan pejabatnya, dia terlihat sesusuk tubuh sedang berdiri di depan pintu masuk.

Apa dia buat kat sini, soal hatinya sedikit pelik, sambil melajukan hayunan langkah menghampiri jejaka itu.

"Good morning, Mei." Sapa jejaka itu sebaik-baik sahaja jarak Meilina dengan dirinya berada lebih kurang tiga langkah.

"Selamat pagi. You tunggu siapa ni? Aweks?" soal Meilina sambil tersenyum.

"I tunggu youlah."

Jawapan jejaka itu membuatkan Meilina kerut kening.

"You tunggu I?"

Jejaka bernama Raymond Tan itu angguk.

"Apa yang you dah buat dengan rambut you yang cantik tu?" soal Raymond sambil merenung tepat ke mata Meilina.

"Tolong jangan tanya!" sahut Meilina.

Ketegasan yang hadir dalam nada suaranya itu membuatkan Raymond ketawa.

"Sudi tak temankan I sarapan pagi?" Raymond tidak mendesak sebaliknya terus menyatakan maksud sebenarnya bertemu dengan Meilina pagi itu.

Meilina mengangguk. Tiada kewajaran langsung baginya hendak menolak rezeki yang tiba awal pagi itu. Namun dia pelik kerana Raymond Tan yang bekerja di Damansara Utama itu sanggup bersusah-payah meredah kesesakan lalulintas menuju ke pusat kota semata-mata hendak belanja Meilina minum pagi.

PENUNGGUWhere stories live. Discover now