Bab 3

61 6 0
                                    


SUATU hari di hujung minggu pada bulan Mei yang malang – mungkin inilah kata-kata yang paling tepat untuk menggambarkan apa yang sedang dirasai Meilina. Ketika itu dia sudah berada di dalam komuter – secara tepatnya di dalam gerabak untuk wanita – dan kini sedang menghampiri stesen Taman Wahyu.

Walaupun mungkin dia sudah mencantas pendek rambutnya yang terurai panjang itu namun cincin tunang berbatu biru masih lagi tersangkut di jari manisnya. Sejak cincin itu disarungkan ibu Dazrin ke jari manisnya dua minggu lalu sekaligus menandakan yang dia sudah menjadi tunangan orang, Meilina akan mempastikan cincin itu tersarung di jari manisnya setiap kali hendak keluar rumah.

Kehadiran cincin itu amat besar maknanya. Cincin itu menandakan yang dirinya sudah dimiliki walaupun baru bergelar tunangan orang. Cincin itu umpama tugu cintanya terhadap Dazrin. Tetapi hanya dalam tempoh dua minggu sahaja cincin itu bagaikan sudah hilang maknanya.

Kalau diikutkan hati yang marah, mahu sahaja Meilina mencampakkan cincin itu ke atas rel sewaktu hendak turun di stesen Taman Wahyu nanti; biar dilenyek dek komuter yang lalu-lalang. Tetapi sanggupkah dia melakukannya?

Selain daripada Junita, dia belum membuka mulutnya kepada orang lain tentang petualangan Dazrin. Tetapi sampai bila dia boleh berdiam diri? Esok lusa dia harus juga menceritakan insiden yang dilihatnya di Taman Suria KLCC itu kepada ibu dan ayahnya. Esok lusa juga cincin yang masih tersarung di jari manisnya itu perlu dipulangkan semula kepada keluarga Dazrin.

Kerana mahu menghubungi Junita setelah selamat sampai ke destinasinya, dia onkan semula telefon pintar yang tadinya dioffkan seketika kerana tidak mahu diganggu Dazrin. Seperti yang telah diduga, dia dapati banyak panggilan daripada Dazrin. Tidak cukup dengan itu, Dazrin turut cuba menghubunginya melalui sistem pesanan ringkas dan juga WhatsApp.

Ini adalah antara mesej yang dihantar Dazrin kepadanya:

"Please, Mei... maafkan Daz."

"Mei, janganlah berdiam diri aje macam ni. Daz risau..."

"Mei, kenapa Mei tak nak angkat telefon? Berilah peluang pada Daz untuk terangkan hal yang sebenarnya, Mei. Please..."

Dan, mungkin setelah bosan merayu-rayu sedangkan Meilina masih sahaja berdiam diri, muncul pula mesej marah-marah dan membentak-bentak di kotak mesejnya. Antara mesej yang membuatkan hati Meilina bertambah geram dengan lelaki bernama Dazrin itu ialah mesej yang begini bunyinya...

"Mei, jawablah telefon tu! You dah lupa ke siapa yang hadiahkan smartphone ni pada you dulu?"

"Mei, jangan merajuk macam budak-budak, boleh tak! Malam ni jam 8.30, I akan tunggu you di tempat letak kereta rumah you tu, jangan tak turun pulak nanti. Kalau you tak turun, I akan naik cari you kat atas!"

Wah, nampaknya kau sengaja nak main kasar, berani kau mengungkit segala pemberian dan nak ugut-ugut aku pulak, ya? Meilina mengherotkan bibirnya.

Eeeiii... sakit hatinya melihat panorama di taman itu pagi tadi. Dia nampak bagaimana Fazura berpegangan tangan dengan Dazrin.

Hubungannya dengan Dazrin memang mesra dan rapat. Mereka boleh berbincang dan bertukar-tukar cerita. Berkongsi minat yang sama dengan lelaki itu juga telah mengindahkan lagi hubungan mereka.

Beberapa bulan lalu, Dazrin sudah pandai bermain perasaan dengannya. Berseloka tentang impian masa depan bersama, cinta serta alam perkahwinan.

Dalam usia 24 tahun, Meilina rasa yang dirinya masih muda. Mustahil untuk dia berkahwin dalam usia semuda itu. Dia memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi untuk menjalinkan hubungan yang serius dengan seorang lelaki. Sekarang dia mahu enjoy dan menikmati zaman solonya.

PENUNGGUWhere stories live. Discover now