Bab 12

35 4 0
                                    

MEILINA melihat penampilannya di depan cermin. Walaupun dia tidak berapa bersemangat hendak hadir ke mesyuarat malam itu tetapi dia juga enggan untuk tampil selekeh di meja mesyuarat nanti kerana dia tahu lelaki yang telah menyakiti hatinya akan turut berada di situ.

Dalam diam, dia membayangkan Fazura, orang ketiga yang tiba-tiba menyelit di antaranya dengan Dazrin. Dia tidak kisah sangat kalau perempuan itu datang menyibuk ketika dia dan Dazrin masih belum ada apa-apa ikatan. Tetapi kini, situasi menjadi agak complicated setelah lelaki itu telah menjadi tunangnya.

Tidak dinafikan yang Fazura lebih feminin daripada dirinya. Pun begitu, Meilina sama sekali tidak akan mengenakan skirt pendek ke tubuhnya semata-mata kerana hendak bersaing dengan orang ketiga itu. Dia tampil polos dengan seluar jeans rona biru dipadankan dengan blaus putih. Untuk menambah seri kepada kepolosannya itu, dia mengambil keputusan untuk bereksperimen dengan mukanya. Dia bukannya tidak pandai bersolek, cuma selama ini dia rasa yang dirinya telah cukup cantik walau tanpa solekan menghiasi wajahnya. Tetapi malam itu dia ingin melukis wajahnya dengan lukisan yang tidak pernah diperagakan kepada Dazrin sebelum ini.

Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia mencapai beg tangannya lalu melangkah keluar.

"Wow, berseri-seri nampaknya! Nak tayang pada si dia ke?" usik Junita sebaik-baik sahaja Meilina melangkah ke ruang tamu.

"Jangan harap!" Meilina juih bibir.

"Habis tu, bukan main tebal lagi mekap kau tu aku tengok?"

"Over sangat ke mekap aku ni, Ju? Macam pelakon opera Cina ke?" soal Meilina dengan riak wajah cemas.

"Muka kau memang ada iras-iras pelakon Cina tapi mekap yang kau kenakan malam ni buat kau nampak anggun. Mesti terbeliak biji mata Daz bila tengok kemunculan kau malam ni." Puji Junita, ikhlas.

"Overlah kau ni!" getus Meilina.

"Aku puji ikhlas ni. Okey, jom, aku hantarkan kau ke sana." Junita menawarkan jasa baiknya kerana selalunya Meilina akan dijemput Dazrin. Oleh kerana pasangan itu sedang berkrisis sekarang, dia sama sekali tidak akan membiarkan Meilina turun seorang diri dan terpaksa pula menunggu teksi di luar sana untuk ke destinasi yang ingin ditujunya lebih-lebih lagi pada waktu malam begitu.

"Aku tak menyusahkan kau ke, Ju?" soal Meilina, risau.

"Ala, sesekali tolong kawan apa salahnya?"

Meilina melirik jam di lengannya. Jarum jam sudah hampir menuding ke angka 8 malam. Dia tidak punya banyak waktu untuk berfikir.

"Okey, jom!" getusnya sambil menuju ke pintu. Junita menyusul di belakangnya.

Mereka sampai di hadapan Restoran Ikhsan lebih kurang pukul 8.35 malam, lima minit lewat daripada masa yang dijanjikan. Meilina dapati beberapa orang ahli Grup JOM Teroka sudahpun mendahuluinya.

"Kau nak ke mana lepas ni?" soalnya ke arah Junita.

"Aku nak lepak di restoran Dilalah," jawab Junita yang terpaksa berpatah balik ke arah Selayang. "Balik nanti macam mana?"

"Tak payahlah kau datang jemput. Aku balik sendiri aje nanti. Kalau tak ada orang yang sudi hantar, aku balik naik teksi ajelah."

"Mesti ramai yang terhegeh-hegeh nak hantar kau balik nanti. Lagipun takkan Daz sanggup biarkan tunangnya yang cantik lawa ni balik sendirian?" Usik Junita sambil tergelak kecil.

"Boleh tak kalau kau jangan sebut nama dia?" Marah Meilina.

"Hah, tupun Mat Romeo kau dah sampai," kata Junita sebaik-baik sahaja matanya melihat kemunculan kereta Toyota Vios yang dipandu Dazrin menghampiri perkarangan Restoran Ikhsan.

"Menyampah!" gerutu Meilina membuatkan Junita tergelak besar.

"Kau okey ke kat tempat letak kereta tu nanti?" soalnya yang risaukan keselamatan Junita setelah apa yang menimpa Nur Dila malam tadi.

"Aku tunggu kau kat restoran Dila ajelah nanti, ya. Dari situ nanti kita balik rumah sama-sama." Cadang Junita.

"Okey," tingkah Meilina sambil melangkah keluar dari perut kereta Junita.

Sebaik-baik sahaja nampak kemunculan Meilina, Dazrin terus mengejarnya dari belakang sambil terpanggil-panggil akan nama gadis itu. Namun, Meilina menonong masuk ke perut restoran, langsung tidak menghiraukannya.

Deria penglihatan Junita merakam kemas drama sebabak itu. Dazrin memang kacak, patutlah ramai perempuan yang tergoda. Kalau aku yang berada di tempat Meilina entah-entah aku mudah cair dengan renungan serta pujuk rayu Dazrin dan sanggup memaafkannya walau beratus kali dia melakukan kesalahan.

Junita tersenyum sendiri. Susah juga kalau ada tunang kacak giler ni, bisik hatinya sambil memijak pedal minyak. Keretanya meluncur perlahan-lahan meninggalkan perkarangan Restoran Ikhsan.  


--------------------------------------------

PEMBACA YANG BUDIMAN: TERIMA KASIH KERANA TERUS MEMBACA 'PENUNGGU'.

PENUNGGUWhere stories live. Discover now