Bab 9

46 3 0
                                    

PAGI menyapa dengan sinarnya yang gemilang di Kampung Busut Tunggal. Bau rendang itik semalam yang dipanaskan Mak Nah langsung tidak menarik perhatian Pak Ya. Begitu juga dengan sepinggan pulut panas yang sudah siap terhidang di atas meja makan, langsung tidak diendahkannya.

"Kenapa ni, bang? Lain macam aje saya tengok?" soal Mak Nah tatkala melihat Pak Ya menggelisah sahaja.

Pak Ya tidak menjawab. Sebaik-baik sahaja telinganya menangkap bunyi enjin motosikal menghampiri halaman rumahnya, dia terus angkat punggung meninggalkan ruang dapur. Melihat tindakan suaminya yang sanggup meninggalkan makanan kegemarannya iaitu pulut dengan rendang itik, Mak Nah terkedek-kedek mengekorinya dari belakang. Dia ingin tahu apa yang disibukkan sangat oleh suaminya sejak kebelakangan ini.

"Eh, yang awak ikut saya ni, kenapa? Nanti hangus pulak rendang itik dalam kuali tu!" tegur Pak Ya apabila melihat isterinya mengekorinya hingga ke muka pintu.

"Saya dah tutup dah api dapur tu. Oh, si Alwi yang datang rupanya. Pelawalah dia naik ke rumah, bang. Boleh sarapan sekali dengan kita." Cadang Mak Nah dengan harapan agar Pak Ya tidak keluar rumah hari itu. Hajat hatinya mahu mengajak Pak Ya menemaninya ke pasar tani.

"Wi, tak naik ke rumah dulu ke?" laung Pak Ya yang masih tercegat di muka pintu.

"Tak apalah, Pak Ya. Budak-budak tu dah lama berkumpul kat gerai bawah pokok binjai." Alwi menyahut dari atas motornya.

Pak Ya menoleh ke arah isterinya.

"Hah, awak dah dengar?"

"Huh, kita dah masak sedap-sedap... masih jugak nak berulang ke gerai bawah pokok binjai tu!" gerutu Mak Nah dengan mulut yang sengaja dimuncungkan. Merajuklah kononnya! Di usia senja begitu, malas dah Pak Ya hendak melayan kerenah isterinya.

"Saya pergi tak lama. Habis mesyuarat nanti, saya baliklah. Awak nak pergi pasar tani, kan? Tunggu saya balik, nanti saya temankan awak ke pasar tani." Pak Ya berkata.

"Entah mesyuarat apa bawah pokok binjai!" hempuk isterinya lagi, masih tidak puas hati.

"Ala, mesyuarat orang lelakilah. Awak tak payahlah ambil tahu. Saya pergi dulu," sahut Pak Ya sambil segera menyarung topi keledar lalu melangkah pantas menuruni tangga rumahnya menuju ke motor Alwi.

"Mak Nah tak bagi Pak Ya keluar ke?" soal Alwi sebaik-baik sahaja Pak Ya menghampirinya.

"Biasalah Mak Nah kamu tu, kalau hari Senin macam ni nak ditemankan ke pasar tadi di pekan tulah. Nak beli ayam, daging dan barang-barang dapur," terang Pak Ya sambil celapak belakang motor Alwi.

Sebaik-baik sahaja Pak Ya duduk dengan kemas di atas motornya, Alwi terus memecut menuju ke gerai bawah pokok binjai. Sebaik sampai, kelihatan beberapa lelaki kampung sudah duduk tercatuk di dalam gerai mengerumuni Dukun Malim, seorang pengamal perubatan tradisional di kampung itu. Walaupun sudah ada kemudahan klinik dan hospital tetapi khidmat Dukun Malim masih lagi relevan dengan penduduk kampung itu terutamanya yang melibatkan penyakit-penyakit yang agak pelik dan tidak ketahuan puncanya.

Sebagai contohnya awal bulan ini sahaja, Dukun Malim telah dijemput ke sekolah oleh Guru Besar sekolah Kampung Busut Tunggal untuk merawat beberapa orang murid yang terjerit terlolong gara-gara diserang histeria.

"Assalamualaikum!" Pak Ya dan Alwi memberi salam hampir serentak ke arah orang-orang kampung.

"Waalaikumussalam." Mereka menjawab salam yang dihulurkan secara berjemaah.

"Bagaimana sekarang?" soal Pak Ya sebaik-baik sahaja melabuhkan punggungnya di sisi Dukun Malim.

"Sebaik-baik aje pengerusi JKKK sampai nanti, kami nak buat report kehilangan Jumat dengan anaknya kat balai polis di pekan. Kalau Pak Ya nak ikut, marilah sekali." Salleh menjawab.

PENUNGGUWhere stories live. Discover now