Bab 7

45 4 0
                                    

MALAM semakin larut. Hujan yang tadinya turun dengan lebat kini sudah reda tetapi masih enggan berhenti. Sesekali bunyi guruh kedengaran. Sesekali lakaran kilat menerangi persekitaran.

Kalau orang lain anggap hujan yang turun di waktu malam sebagai rahmat kerana mampu menyejukkan persekitaran termasuklah di bilik tidur tetapi lain halnya bagi Fazura. Di dalam biliknya, dia tidak dapat melelapkan mata, masih terkebil-kebil merenung siling bercat putih. Ini kerana hatinya sudah rentung terbakar.

Dia tidak menyangka Dazrin akan sedegil itu. Pada sangkaannya dia mampu mencairkan hati Dazrin dengan pujuk rayu serta keseksian tubuh badannya. Ya, kalau hendak dibandingkan di antara dia dengan Meilina, tubuhnya lebih gebu dan menggiurkan. Tidak dinafikan Meilina memang cantik tapi... bukan seksi!

Sepanjang mengenali Meilina, dia tidak pernah melihat perempuan itu menggayakan kebaya atau gaun ke tubuhnya. Pakai mini skirt jauh sekali. Yang selalu melekap di tubuhnya hanyalah blaus atau kemeja dipadankan dengan seluar panjang yang gedoboh. Namun perempuan itu juga yang menjadi pilihan hati Dazrin. Alahai...

Dengan dengusan nafas keras, Fazura bingkas bangun dari katilnya lalu menuju ke arah meja solek. Mula-mula dia renung wajahnya. Kalau Meilina cantik, dia apa kurangnya? Wajah Meilina ada iras-iras wajah perempuan Cina sedangkan wajahnya pula penuh dengan ciri-ciri keMelayuan. Pandangannya perlahan-lahan melurut ke bawah. Tubuhnya ketika itu hanya disaluti baju tidur daripada fabrik sutera separas paha. Dia sangka dengan rupa paras sebegini, dia dapat melenturkan hati Dazrin dengan mudah. Sangkaannya meleset sama sekali. Nampaknya dia terpaksa bekerja keras kalau ingin mencairkan hati jejaka pujaannya itu.

Telefon pintar yang diletakkan di atas meja solek dicapainya. Beberapa keping gambar yang dihantar Dazrin ke whatsAppnya direnung sekali lagi dengan rasa jengkel. Dua keping gambar memaparkan Dazrin sedang bergelak ketawa dengan Meilina. Kemudian matanya hinggap pula ke arah gambar ketiga dan keempat yang memaparkan imej ibu Dazrin, Puan Darsyima, sedang menyarungkan cincin tunang ke jari Meilina. Akhir sekali, matanya melekap pula ke wajah Meilina yang berseri-seri dengan solekan tebal menghiasi wajah serta kebaya labuh rona labu air melekap kemas pada tubuhnya. Dan seri wajah Meilina ketika itu amat terserlah setelah bergelar tunangan orang. Untuk seketika, Fazura rasa yang dirinya sudah dikalahkan Meilina.

"Tidak!!!" Melengking kuat jeritannya di dalam bilik itu.

"Dazrin itu milik aku, kepunyaan aku! Aku sanggup berbuat apa sahaja untuk berada di sampingnya. Kalau tak dapat memilikinya secara baik, aku sanggup gunakan cara lain untuk mendapatkannya. Asalkan dia jadi milik aku selamanya." Fazura bermonolog di depan pantulan wajah yang terpapar pada cermin meja solek itu.

Kemudian, dia menyeringaikan giginya.

"Betul tu, Faz. Daz milik kita... milik kita bersama!" Tiba-tiba arcanya yang berada di permukaan cermin itu membuka mulut dan berkata-kata.

Untuk seketika, Fazura jadi kaget dengan apa yang dilihatnya. Direnungnya tepat-tepat ke dada cermin meja soleknya. Arca wajahnya yang terpapar di situ, kaku semula. Argh, mungkin itu semua khayalan aku aje, bisik hatinya beberapa ketika kemudian.

"Ya, Daz milik kita. Milik kau dan aku!" Fazura mengungkap kata sambil menuding jari telunjuknya, mula-mula ke arah cermin meja soleknya dan kemudian ke arah dadanya sendiri.

Kalau tak dapat Daz secara baik, aku sanggup lakukan cara kotor untuk memilikinya. Meilina, jangan haraplah kau dapat menyulam bahagia di sisi Daz kerana dia milik aku, milik aku! Fazura bermonolog.

Malah di dalam hatinya, dia sudah siap merencana untuk bertemu segera dengan Tok Jalil, datuk saudaranya, yang juga adalah seorang pengamal perubatan tradisional. Mungkin hujung minggu ini aku akan ke rumah Tok Jalil, bisik hatinya.

Kemudian Fazura yang berdiri di depan cermin, ketawa kuat. Replika dirinya yang terpantul di dada cermin juga turut ketawa bersama-samanya. Malah tidak cukup dengan itu, Syaitan yang turut berada di dalam bilik itu dan telah mengintai setiap perlakuan Fazura turut ketawa bersama-sama mereka, terbahak-bahak. Namun, Fazura tidak mampu melihatnya apatah lagi mendengar ketawanya.

"Sungguh bahaya, apabila ada orang yang dapat melihat kamu sementara kamu tidak dapat melihatnya, padahal ia adalah musuh kamu. Oleh itu wajib berwaspada, berhati-hati dan menjaga diri daripada Syaitan daripada golongan manusia dan jin." – Kitab Usul al-Din al-Islami: Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Tuwaijiri.

Bagi Syaitan, itulah kemenangan awalnya kerana telah berjaya menanam niat busuk di hati salah seorang lagi mangsanya. Hati Fazura memang rapuh dan mudah digoda. Syaitan bertekad untuk menyesatkan Fazura sesesat-sesatnya hingga perempuan itu langsung tidak menemui jalan pulang lagi selepas ini.

Menyesatkan semua anak Adam, bukankah itu janji Syaitan sejak azali lagi?

DI DALAM kamarnya, Nur Dila juga masih berjaga. Dia tidak mampu melelapkan matanya setelah trauma dengan insiden yang menimpa dirinya di tempat letak kereta Apartmen Orked. Malah, dia seakan takut hendak membuka mulutnya menceritakan apa yang dialaminya di tempat letak kereta itu tadi kepada sesiapa.

Sebaik-baik sahaja berjaya menghidupkan enjin keretanya, dia memecut laju menuju ke jalanraya. Sepanjang-panjang perjalanan pulang ke restorannya, dia langsung tidak berani hendak menoleh cermin pandang belakang keretanya. Bagaimana kalau dia toleh ke belakang nanti dan melihat 'orang' berjubah hitam dan berhud di kepalanya itu sedang duduk di tempat duduk bekakang. Atau, melihat dua pasang mata berwarna merah itu sedang menemaninya?

Oh no... no! Aku takkan pandang belakang, bisik hatinya. Tetapi sudah tentulah dia terpaksa pandang ke depan, ke arah jalanraya. Kalau tidak, mungkin dia akan terlibat dalam kemalangan pula nanti.

Para pekerjanya yang sedang menunggu kepulangannya menjadi pelik melihat kelakuannya yang pulang dalam keadaan ketakutan, seolah-olah dikejar sesuatu itu. Soalan-soalan yang dilontarkan langsung tidak berjawab. Malah, untuk malam itu dia telah membawa dua orang pelayan restorannya untuk menemaninya tidur di rumah.

"Tak nak tutup lampu ke, Kak Dila?" soal Siti Nurza yang terbaring sekatil dengannya.

"Tak payah tutuplah."

"Tapi saya tak boleh tidurlah dengan lampu terbuka macam ni," komen Siti Nurza lagi.

"Aku kata lampu tu tak payah tutup, kau tak faham ke? Kalau nak tutup... mulut kau tu!"

Siti Nurza terdiam apabila tiba-tiba diherdik Nur Dila. Lain benar sikap Kak Dila sejak balik dari rumah kawannya tadi, bisik hati gadis berusia awal 20-an itu sambil menyelubung dengan selimut seluruh tubuhnya hingga ke kepala. Dia memang tidak boleh tidur dengan lampu terpasang.

Nur Dila menoleh Siti Nurza yang sudah berdengkur halus di sisinya. Kerana tidak tahan dengan silau lampu, gadis itu tidur berselubung hingga ke kepala. Keadaannya ketika itu tak ubah seperti orang mati. Beberapa ketika kemudian dia lihat tubuh Siti Nurza bergerak-gerak. Dan, daripada hanya dengkuran halus dia terdengar bunyi erangan. Makin lama makin kuat, makin lama makin menyeramkan.

Nur Dila sudah tidak sanggup lagi mendengarnya. Hendak mengejutkan Siti Nurza atau menarik selimut yang menyelubungi seluruh tubuh gadis itu juga, dia tidak berani. Bagaimana kalau bukan Siti Nurza yang sedang menemaninya tidur? Bagaimana?

Ya ALLAH ya TUHANku, kau selamatkanlah hambaMU ini ya ALLAH!

Nur Dila menarik selimutnya dan turut berselubung seperti Siti Nurza. Di dalam selubungnya, dia menggeletar dan berharap agar semua yang menimpa dirinya malam itu hanyalah sebuah mimpi ngeri.


PENUNGGUWhere stories live. Discover now