Bab 14

40 2 0
                                    


Kampung Busut Tunggal...

PAK YA meminta diri untuk pulang ke rumahnya seusai mengerjakan solat Maghrib berjemaah dengan Jumali dan tiga orang adiknya yang masih kecil.

"Tak tunggu makan dulu, Pak Ya?" soal Jamaatun, isteri Jumat, yang menghantarnya sehingga ke muka pintu.

"Tak payahlah, Tun. Mak Nah kamu tinggal seorang diri aje kat rumah tu. Lain kalilah ya." Pak Ya menolak pelawaan itu dengan baik.

"Tun ingat nak buat kenduri doa selamat selepas ayah si Jumali keluar dari hospital nanti. Pak Ya datang ya nanti." Kata Jamaatun.

"Kalau Jumat ajak, insya-ALLAH aku datang, Tun. Eh, aku gerak dululah Tun. Pesan pada Jumali, sebelum tidur nanti jangan lupa baca 3 kul dan ayat Kursi sebagai pendinding diri daripada sebarang bala bencana serta gangguan makhluk yang tak dapat dilihat dengan mata kasar manusia." Pak Ya sempat berpesan sebelum meneruskan langkah menuruni tangga.

"Insya-ALLAH, Pak Ya. Jangan lupa sampaikan salam Tun pada Mak Nah." Jaamatun menyahut.

Pak Ya menuju ke arah motosikalnya yang diparkir di bawah pokok rambutan. Ketika itu suasana kampung sudah mula diselubungi kegelapan. Namun begitu, Pak Ya tidak perlu khuatir kerana kemudahan bekalan elektrik telahpun sampai di kampung itu walaupun ia terletak jauh di pedalaman. Inilah berkat pembangunan namanya. Jalan utama juga diterangi lampu elektrik.

Jarak di antara rumah Pak Ya dengan Jumat tidaklah jauh sangat, lebih kurang dua kilometer sahaja. Pada mulanya tiada apa-apa yang ganjil berlaku. Pak Ya menunggang motosikalnya seperti biasa. Tetapi saat motosikal Pak Ya melewati kawasan perkuburan lama kampung itu tiba-tiba sahaja Pak Ya rasa motosikalnya menjadi berat, seolah-olah ada satu bebanan besar sedang membonceng di belakangnya.

Kemudian disusuli pula dengan kehadiran bau yang kurang menyenangkan seolah-olah bau daging reput. Menurut orang tua-tua dahulu kalau terbau daging reput atau bau busuk bangkai, itu tandanya ada harimau sedang berkeliaran. Bau busuk itu datangnya daripada mulut harimau.

Pak Ya mula rasa kurang selesa.

Mustahil bau busuk itu yang sedang aku hidu ni datang daripada mulut harimau, bisik hati Pak Ya. Lagipun bau busuk ini terlalu hampir, seolah-olah di belakang aku aje.

Isy, bala apa pulak yang mengekor aku malam-malam gini! Pak Ya merungut-rungut dalam hati.

"Pak Yaaaa..." Tiba-tiba Pak Ya terdengar suara di belakangnya. Alahai, dia dah bercakap pulak dah!

Bukan main terkejut lagi orang tua itu. Mujurlah dia berjaya mengawal motosikalnya daripada tersasar ke tepi jalan. Walaupun sedar dirinya sedang diganggu namun Pak Ya enggan berhenti di tepi jalan untuk berdepan dengan 'makhluk' itu seorang diri. Dia meneruskan tunggangannya.

"Apa kau mahu? Aku tak kacau kau. Aku harap kau jugak jangan kacau aku. Nyah kau dari sini!" Pak Ya seperti orang gila yang sedang bercakap-cakap dengan satu entiti yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.

"Pak Yaaa... tolong guaaa... Pak Yaaa..." Makhluk itu berbisik lagi ke telinganya.

"Nyah kau dari sini! Jangan ganggu aku!!!" Pak Ya bertempik.

Serentak itu mulut Pak Ya terkumat-kamit membaca dua potong ayat yang terkandung di dalam surat al-Mukminun yang juga boleh dijadikan doa pendinding diri daripada entiti yang tidak mampu dilihat mata kasar manusia. Ayat itu bermaksud:

"Dan katakanlah: 'Wahai TUHANku, aku berlindung kepadaMU daripada hasutan syaitan-syaitan'. 'Dan aku berlindung kepadaMU, wahai TUHANku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku'. – Surah al-Mukminun: 97-98

PENUNGGUWhere stories live. Discover now