Bab 10

49 3 0
                                    

MEILINA di dalam komuter menuju ke Taman Wahyu. Seperti biasa, dia memilih untuk duduk di koc untuk wanita. Suasana di dalam koc itu agak tenang dengan banyak kerusi yang masih lagi kosong. Meilina memilih perkhidmatan komuter untuk berulangalik ke tempat kerjanya kerana selain daripada masih belum memiliki kereta walaupun sudah memiliki lesen memandu, itulah transport yang paling mudah serta selesa. Dia juga tidak perlu meredah kesesakan jalanraya. Malu untuk mengakuinya, dia senang sekali mengelamun ketika berada di dalam komuter.

Manusia pertama yang hadir dalam lamunannya sudah tentulah Dazrin. Dia pelik kerana sepanjang hari dia menunggu panggilan mahupun SMS dan mesej WhatsApp daripada Dazrin tetapi jejaka itu senyap sunyi sahaja. Kemudian, muncul pula wajah Raymond. Bagaikan tahu-tahu sahaja hubungannya kini sedang dilanda masalah dengan Dazrin, jejaka itu hadir dengan renungannya yang mencengkam rasa.

Argh, entah-entah aku aje yang perasan, bisik hati Meilina. Dia bingkas bangun lalu melangkah ke pintu komuter yang sudah terbuka luas. Dia sudahpun sampai di stesen Taman Wahyu. Sebaik-baik sahaja dia menuruni tangga stesen, dilihatnya Junita sudah sedia menunggunya.

"Apa yang kalut sangat ni?" soal Meilina sebaik-baik sahaja memboloskan dirinya di dalam perut kereta Junita.

"Akupun tertanya-tanya jugak ni, apa sebenarnya yang dah terjadi dengan kawan kita tu. Kau ikut ajelah. Sampai di restoran tu nanti, kita tahulah cerita yang sebenarnya," kata Junita yang memperlahankan sedikit keretanya sebaik menghampiri persimpangan lampu isyarat.

"Engkau dengan Daz macam mana? Dapat berbincang dengan dia?" korek Junita.

Meilina menggeleng.

"Dari pagi aku tunggu jugak kalau-kalau dia nak call ke, nak SMS ke... tapi habuk pun tarak. Senyap sampai sekarang!" Meilina menghentak kata.

"Laaa... iya ke? Habis kredit, kut? Maklumlah, semalam bertalu-talu dia call dan SMS tapi satupun kau tak jawab," tingkah Junita seolah-olah meletakkan kesalahan ke bahu Meilina pula.

Meilina jungkit bahu.

"Tu bukan masalah aku!" jawabnya.

"Ala, tak payahlah kau risau, Mei. Aku pasti kejap-kejap lagi dia call atau SMSlah tu. Kau kan masih lagi tunang dia."

Meilina tidak bereaksi. Buat sementara waktu ini dia mahu fokus kepada masalah yang menimpa Nur Dila dahulu. Halnya dengan Dazrin akan diuruskan kemudian.

Mereka sampai di restoran kecil milik Nur Dila lebih kurang 15 minit kemudian. Restoran itu mula dibuka untuk pelanggan daripada jam 5 petang hingga 12.30 tengah malam.

Ketika mereka sampai, kelihatan para pekerja Nur Dila sedang sibuk menyusun meja hingga ke luar restoran bagi para pelanggan yang mahu menikmati hidangan di bawah sinaran bulan atau bintang pada waktu malam. Pun begitu, biasanya bulan dan bintang tidak sudi menyinari mereka yang sedang makan sebaliknya lampu neon dan lampu jalan pula yang bagaikan gila kuasa.

Meilina dan Junita menghulur salam ke arah Siti Nurza yang sedang sibuk menyusun kerusi dan meja hingga mencecah ke side table jalanraya. Memang secara lojiknya menyusun meja makan terlalu hampir ke gigi jalanraya agak membahayakan keselamatan pelanggan. Manalah tahu kalau-kalau ada kenderaan terbabas lalu melanggar pelanggan yang sedang makan, memang kes aniayalah gamaknya. Namun, tujuan utama mereka datang ke situ bukanlah untuk berkempen keselamatan jalanraya di depan Nur Dila.

"Waalaikumussalam. Kak Dila ada di dalam tu. Dia kurang sihat." Gadis kecil molek bernama Siti Nurza menerangkan tanpa dipinta.

"Eh, Kak Mei dah gunting rambut?" Siti Nurza merenung wajah Meilina dengan renungan pelik.

PENUNGGUWhere stories live. Discover now