Bab 4

53 5 0
                                    

"MEI, dah nak masuk waktu Maghrib ni."

"Hmmm..."

"Sama ada kau jawab panggilan telefon si Daz tu ataupun kau tukarkan aje phone kau tu ke mode senyap. Aku nak solat ni." Pinta Junita yang tubuhnya sudah siap berbungkus dengan telekung. Dia tidak tahan mendengar bunyi bertalu-talu yang diciptakan telefon bimbit teman serumahnya itu. Cukup mengganggu!

Meilina akur. Dia menghormati Junita dan juga waktu Maghrib yang bakal muncul beberapa minit sahaja lagi.

"Kau tak solat ke?" soal Junita ketika dilihatnya Meilina masih bermalas-malasan di atas kusyen panjang.

"Kau solatlah dulu. Aku kejap lagi."

"Jangan dilayan sangat perasaan tu. Biasalah tu, mana ada manusia kat dunia ni yang tak dilanda masalah. Yang pentingnya kau jangan sekali-kali lari daripada masalah. Sebaliknya kalau masalah muncul cubalah untuk cari jalan penyelesaiannya." Panjang khutbah senja Junita.

"Kalau solatlah dulu. Kepala aku ni tengah berdenyut. Aku nak rehat kejap," kata Meilina sambil menutup mata dan menyandarkan kepalanya ke kusyen, mencari secebis ketenangan.

"Jangan tidur pulak. Waktu-waktu senja macam nilah syaitan berkeliaran untuk menyesatkan manusia."

"Yelah... yelah! Aku tak tidur. Aku nak rehatkan mata aku ni kejap," sahut Meilina dengan harapan agar Junita jangan mengganggunya lagi. Dia mahu dibiarkan bersendirian barang 10 minit.

Junita hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum melangkah ke bilik meninggalkan Meilina sendirian di ruang tamu. Meilina menarik nafas panjang, kelegaan. Di saat-saat begitu, dia mahukan secebis ketenangan; bukannya diasak dengan syarahan. Yang kedengaran kini hanyalah bunyi desiran kipas yang berpusing laju di atas pundak kepalanya.

"Cepatnya kau selesai solat?" soal Meilina ketika mendengar bunyi tapak kaki menghampirinya.

"Hmm..." Hanya itu sahaja jawapan yang meluncur keluar dari mulut teman serumahnya.

"Bagi aku lima minit, Ju. Kepala aku ni, sakit..." getus Meilina yang masih tersandar di kusyen dengan melelapkan matanya.

Meilina dapat merasakan kusyen di sisinya berenjut menandakan Junita sedang melabuhkan punggung di sisinya. Kedudukan mereka ketika itu dirasakan amat rapat sekali kerana haba yang terbit daripada tubuh Junita juga dapat dirasakannya. Malah Meilina juga dapat mendengar bunyi nafas Junita turun naik dengan jelas diiringi dengan haruman yang semerbak.

Bagaikan dirasuk oleh bau haruman itu, mata Meilina semakin mengantuk.

"Meiiii, guaaa tungguuu... luuu datanggg..." Suara di sebelahnya kedengaran seolah-olah berbisik ke telinganya.

Suara itu yang didengarinya itu amat berbeza sekali. Itu bukan suara Junita, bisik Meilina. Serta-merta dia rasa seram semacam hingga bulu romanya berdiri tegak. Ketika itulah juga dia rasakankan tubuhnya sedang melayang-layang dan disedut masuk ke satu lohong yang gelap dan hitam. Dia bergelut untuk membuka matanya yang terasa melekat. Terasa amat payah. Dia mahu segera terjaga dan enggan membenamkan dirinya dalam mimpi yang agak aneh itu.

Tiba-tiba dia rasa tubuhnya digoncang-goncang dengan kuatnya diikuti suara Junita sedang menyeru-nyeru namanya. Ketika itulah dia rasa tubuhnya ditendang keluar secara kasar dari lohong yang gelap itu.

Dia membuka matanya dan terpisat-pisat di depan Junita. Silau daripada cahaya lampu kalimantang menikam matanya.

"Aku tertidurlah, Ju." Keluhnya.

"Tadi lagi aku dah suruh kau masuk bilik air dan ambil air sembahyang. Mandi pun tak lagi kau ni! Tulah sebabnya kepala kau pening." Junita sudah mula membebel.

"Daripada kau layan perasaan kau macam ni aku rasa lebih baik kau basahkan muka kau tu dengan air sembahyang dan tadahlah tangan berdoa pada TUHAN minta petunjuk agar masalah kau dengan Daz ni segera selesai."

"Yelah... yelah!" getus Meilina sambil memaksa dirinya untuk bangkit dari kusyen itu.

"Guaaa..." Satu suara tiba-tiba berbisik ke telinganya membuatkan dia tercangak-cangak seketika.

"Apa kau cakap tadi, Ju?" soalnya ke arah Junita yang sudah bersiap-siap hendak mengadap televisyen.

"Tak ada! Aku tak ada cakap apa-apapun. Kenapa dengan kau ni?" Soalannya dibalas Junita dengan soalan juga.

"Err... tak ada apa-apalah," getus Meilina sambil mengeluh perlahan. Dia cukup pasti yang dia terdengar seseorang berbisik ke telinganya seketika tadi. Argh, mungkin semua ni godaan perasaan aku aje sebab tertidur seketika menjelang waktu Maghrib, bisik hatinya lalu bergegas ke bilik air.

ANGIN senja sudah mula berpuput lembut. Pun begitu, matahari kelihatan agak liat hendak membenamkan dirinya di persada senja. Dari arah ufuk Barat, lembayung berwarna merah dan jingga mengindahkan pemandangan sekaligus melontar elemen romantis yang mengasyikkan. Mungkin panorama beginilah yang mendatangkan ilham kepada para penyajak dan juga pengarang untuk disematkan di dalam karya-karya mereka.

Lelaki tua yang dikenali oleh orang-orang kampung dengan panggilan Pak Ya itu duduk termenung di anjung rumahnya. Resah gelisah membadai jiwanya. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya bulan lima ataupun Mei; hatinya jadi tidak tenteram. Seolah-olah ada peristiwa buruk yang bakal berlaku dalam bulan itu.

Perbualan yang didengarinya awal petang tadi ketika sedang menikmati teh tarik dan roti canai di Gerai Bawah Pokok Binjai (gerai ini sememangnya didirikan di bawah sebatang pokok binjai), menerbak semula ke ruang ingatannya.

"Betul ke orang-orang dari Kuala Lumpur tu nak meneroka Gua Hitam? Sepanjang pengetahuan aku, belum ada seorang manusia pun yang berani masuk ke dalam gua tu. Bukan apa, aku takut gua tu tak selamat aje. Kalau apa-apa terjadi pada mereka nanti, nama kampung kita jugak yang terpalit sama." Kata Ludin memberikan pandangannya.

"Hmm... entahlah! Macam tak ada tempat lain yang mereka nak teroka." Suara Alwi, taukeh ladang pisang pula kedengaran.

"Biasalah... orang kota. Mereka ni sukakan cabaran."

"Budak-budak muda dengarnya. Entah apa yang mereka nak cari dalam gua tu agaknya?" komen Alwi lagi.

"Tahi kelawar adalah dalam gua tu!" getus Ludin membangkitkan gelak ketawa teman-teman semejanya.

"Tahi kelawar boleh dibuat baja! Kalau dapat dibawak keluar dari gua tu, baja tahi kelawar boleh jual pada Alwi, boleh tabur pangkal pokok pisang." Salleh pula menyampuk disambut oleh gelak ketawa semula.

"Aku takut satu bendapun tak dapat keluar dari gua tu nanti!" Alwi membalas.

Kata-kata Alwi itu membuatkan kesemua yang galak berbual seketika tadi, terdiam. Mereka berpandangan sesama sendiri dengan perasaan bimbang. Terpaku di kerusinya tanpa menyampuk sepatah harampun dalam perbualan itu, Pak Ya turut gelisah. Selama ini, Gua Hitam yang terletak di tengah-tengah hutan itu memang tidak pernah diganggu. Orang-orang kampung termasuklah orang Asli yang sering masuk ke dalam hutan untuk mencari rotan, petai hutan ataupun memburu ayam hutan akan menjauhkan diri dari gua tersebut.

Walaupun yang berhajat untuk meneroka Gua Hitam adalah orang luar tetapi sebagai orang tua di kampung itu, Pak Ya tidak dapat mengelakkan dirinya untuk berasa bimbang akan keselamatan mereka. Dia perlu berbuat sesuatu untuk menghalang rombongan itu daripada melangkah masuk ke Gua Hitam!

'Benda' yang berdegup di dalam Gua Hitam itu jangan sesekali dikejutkan daripada tidurnya terutamanya pada bulan Mei. Kalau 'ia' terjaga nanti teruklah padahnya!

"Eh, kat sini rupanya abang duduk termenung? Apa yang difikirkan tu? Dah sembahyang ke belum ni?" Suara isterinya kedengaran menegur dari belakang.

Pak Ya tidak menyahut. Dia bingkas bangun, menutup daun tingkap lalu melangkah ke dapur.

  

PENUNGGUWhere stories live. Discover now