Bab 11

45 4 0
                                    

"APA pendapat kau tentang cerita Dila tadi?" soal Junita yang sedang memaut stereng keretanya. Ketika itu mereka sudah beberapa minit meninggalkan perkarangan restoran menuju pulang ke Apartmen Orked.

Meilina jungkit bahu.

"Entahlah, susah nak percaya cerita dia jumpa hantu. Aku rasa yang dilihatnya malam tu adalah hantu kepala hitam yang nak menyamunnya. Isy, bahaya jugak kalau seorang diri kat tempat letak kereta tu!" keluh Meilina.

Junita mengangguk.

"Akupun rasa malam tu Dila sebenarnya terserempak dengan penyamun, bukannya hantu. Mujurlah dia selamat. Sebelum ni, aku sangka apartmen kita tu selamat tapi rupa-rupanya tak. Nanti sampai kat pondok pengawal, kita singgah dulu dan adukan tentang kes yang menimpa Dila." Cadang Junita. Meilina hanya mengangguk.

Lebih kurang 15 minit kemudian, mereka berdua sampai di pondok pengawal Apartmen Orked. Setelah membuat aduan di situ, mereka meneruskan perjalanan memasuki lorong tempat letak kereta. Ketika itu, jam di dashboard kereta Junita sudah menuding ke angka 7.10 minit petang.

Lampu sudah terpasang, menerangi ruang tempat letak kereta itu. Ketika Junita mematikan enjin keretanya, kelihatan sepasang suami isteri bersama dua orang anak perempuan mereka yang berusia dalam lingkungan lima ke 10 tahun sedang berjalan menuju ke lif. Setelah kelibat keluarga itu hilang ditelan perut lif, suasana di tempat letak kereta itu kembali sunyi.

Persepsi Meilina dan Junita terhadap tempat letak kereta itu mula berubah sejak mendengar cerita Nur Dila. Tanpa disuruh-suruh, mata kedua-dua orang gadis itu membelingas keadaan sekeliling sebelum melangkah keluar dari perut kereta; reaksi spontan yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini. Ya, mereka kelihatan lebih berwaspada setelah mendengar pengalaman yang diceritakan Nur Dila seketika tadi.

Tanpa membuang masa lagi, Meilina dan Junita melangkah pantas menuju ke lif. Mulut mereka terkunci, tidak riuh seperti selalunya. Kalau sebelum ini mereka tidak ambil peduli tentang keselamatan diri ketika berada di ruang letak kereta itu kerana cukup yakin akan keselamatannya tetapi lain halnya petang itu.

Betullah kata orang, ada sesetengah perkara yang lebih baik kita tak tahu daripada tahu!

"Alhamdulillah, dah selamat sampai ke rumah!" Junita menarik nafas lega sebaik-baik sahaja menghempaskan punggungnya ke kusyen.

Meilina juga turut lega. Dia terus menuju ke dapur dan kembali semula ke ruang tamu dengan setin minuman berkarbonat di tangannya. Dia duduk di sisi Junita sebelum meneguk minumannya perlahan-lahan. Tergambar kenikmatan pada wajahnya sebaik-baik sahaja air bergas yang manis dan sejuk itu menyusup masuk dan menyapa kerongkongnya yang kering.

"Kau ni, Mei, balik aje terus cari air tin. Tak bagus tau tabiat cenggini. Aku takut lama-lama nanti boleh kena kencing manis," tegur Junita.

Meilina hanya memekakkan telinganya tatkala mendengar teguran Junita itu. Dia mahu merehatkan fikirannya seketika dengan menghayati kenikmatan yang dihulurkan oleh minuman berkarbonat yang sedang dihirupnya itu. Cerita yang disampaikan Nur Dila seketika tadi apabila dicampuradukkan dengan masalahnya yang belum selesai dengan Dazrin membuatkan fikirannya benar-benar celaru. Yang diperlukannya ketika ini ialah secebis ketenangan!

"Aku mandi dulu," katanya sambil bingkas bangun menuju ke bilik tidurnya setelah teringat akan janjinya dengan Raymond untuk menghadiri mesyuarat Grup JOM Teroka jam 8.30 malam nanti. Ya, dia sedang mengejar masa dan tidak punya ruang untuk bermalas-malasan di atas kusyen itu walaupun tidak dinafikan sekujur tubuh dan juga fikirannya teramat penat.


Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
PENUNGGUWhere stories live. Discover now