Bab 1: Pengenalan

336 33 20
                                    

Bab 1: Pengenalan

BAS berhenti di hadapan bangunan Sinar Kota yang putih, namun persekitarannya tidak begitu bersih. Para penumpang turun. Konduktor bas yang turun terlebih dahulu daripada orang lain kelihatan sedang berjalan menuju ke satu pondok tidak jauh dari situ. Dua orang lelaki Bangladesh datang menghampiri sekumpulan kira-kira lima atau enam lelaki senegaranya yang baru turun dari bas itu. Hassan tahu mereka warga Bangladesh. Mereka tidak bercakap Tamil. Kulit mereka lebih putih daripada kebanyakan orang India di Malaysia. Mereka juga tidak menunjukkan ciri-ciri orang India utara. Bahasa mereka tidak seperti bahasa Hindi yang biasa kita dengar dari filem-filem Shah Rukh Khan.

Kebanyakan penumpang lain kelihatan sudah ada perancangan. Gadis Melayu bertudung merah, berbaju t putih dan jeans biru dilihatnya sedang berdiri sambil melilau matanya, menjengah kepala ke kanan dan ke kiri. Sesekali dia melihat jam. Seakan-akan menunggu seseorang. Si Kepala Botak, satu pasangan tua, dan seorang lagi gadis Melayu bertudung labuh, berbaju lengan panjang semuanya segera meninggalkan tempat bas itu berhenti. Semua orang seperti sudah ada perancangan.

Hanya Hassan saja yang tidak tahu ke mana hendak di tuju. Selepas turun, dia menuju ke pondok menunggu bas untuk memikirkan destinasi berikutnya. Dia memerhati gelagat manusia di sana. Sesekali dia mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya untuk mengetahui waktu.

“Brader, pukul berapa sekarang?” Tiba-tiba seorang remaja lelaki India bertanya Hassan. “Sembilan setengah,” jawabnya kemudian menyimpan kembali telefonnya.

Remaja itu berlalu selepas mengucapkan terima kasih. Dia mendapatkan temannya yang berdiri tidak jauh dari situ. Seorang Melayu dan seorang lagi Cina. “Setengah jam lagi,” Hassan terdengar remaja itu bercakap dengan kawannya. “Betul ke kat sini?” tanya kawannya yang berbangsa Cina pula. Langsung tak ada pelat. “Betul Ching. Semalam tu aku nampak ramai orang.” Kawannya yang Melayu berkata. “Tak kisahlah. Ada ok, tak ada pun bukannya kita ada apa nak dibuat. Tunggu sajalah,” kata si India itu pula.

‘Macam dalam filem pulak,’ kata Hassan dalam hatinya. Tiga orang remaja daripada tiga bangsa paling besar di Malaysia bergaul dengan harmoni menggunakan bahasa kebangsaan. ‘Kalaulah hidup macam dalam filem, drama TV. Pasti Malaysia aman. Macam Gerak Khas. Satu episod, sudah selesai jenayah,’ fikirnya lagi.

Hassan tiba-tiba teringat dengan kata-kata  arwah bapanya. “Novel datang daripada penulis. Penulis mendapatkannya daripada kehidupan. Tak mustahil apa yang kau baca, macam pernah kau lalui.” Karya lain juga seperti kehidupan. Filem pun sama.

Hassan tunduk memandang sepatu yang dipakainya. Kemudian dia memandang ke perutnya. Terasa lapar. Hassan mengambil biskut Zapper berperisa coklat dari dalam kocek hadapan begnya. Dia menikmatinya dengan perlahan kerana dia tahu itu saja makanan yang dia ada untuk hari itu.

Hassan memikirkan tentang esok. Seharusnya dia pergi ke Taman Melawati untuk temuduga. Jawatan yang dipohon olehnya belum ada kekosongan. Cuma, jawatan yang rendah sedikit daripada itu, iaitu Pembantu Wartawan saja yang ada. Itu pun kerana pengurusnya berminat setelah membaca blognya, lalu dia dipanggil untuk datang temuduga.

Namun dia tak tahu bagaimana nak bersedia esok. Di mana dia hendak mandi sedangkan malam ini dia tidak mampu untuk menyewa bilik hotel. Untuk makan pun dia tak berani sekarang. Duit yang ada hanyalah cukup untuk belanja tambang esok dan makan selama tiga hari. Kalau dia menyewa bilik murah, pastinya duit itu habis. Mana nak cari duit tambang esok dan juga makan tiga hari.

Sebuah van berwarna hitam berhenti tidak jauh daripada perhentian bas itu. Beberapa orang yang ada di sekitar perhentian itu menghampirinya dan membuka pintu belakang. Mereka mengeluarkan meja, kerusi dan kotak dari dalam van itu. Pemandu van itu, keluar, kemudian diikuti oleh beberapa orang yang lain.

Mereka membawa barangan itu ke tempat duduk bersebelahan Hassan. Pemandu van itu, seorang lelaki dalam usia lewat empat puluhan, sambil membawa sebuah kotak memberikan senyuman kepadanya. Hassan membalasnya. “Dah lama tunggu ke?” tanya lelaki itu kepadanya. “Baru sampai,” jawab Hassan walaupun dia tak begitu mengerti.

“Meniaga apa ni bang?” tanya Hassan.

“Kau baru sampai ke Kl ke?” balas lelaki itu.

“Ya. Baru turun bas sekejap tadi.”

“Patutlah. Kami ni NGO. Malam ini kami edarkan makanan untuk golongan yang memerlukan,” terangnya. Hassan mengangguk perlahan. “Kau dah makan?” tanya lelaki itu lagi. “Belum,” jawab Hassan. “Pergilah berbaris di sana,” katanya pula sambil mengisyaratkan dengan kepala. Hassan memandang ke belakang lelaki itu dan melihat satu barisan panjang. Sekurang-kurangnya lebih dua puluh  orang yang telah berbaris. Ada lagi yang berlegar-legar di sekitar kawasan itu.

“Terima kasih,” katanya lalu pergi ke belakang barisan itu. Di tengah-tengah barisan itu, dia terlihat tiga sekawan tadi.

[WATTYS 2018] [COMPLETED] Gelandangan 40 Hari di Kuala LumpurWhere stories live. Discover now