Bab 9: Gelandangan

85 15 9
                                    

Bab 9 : Gelandangan

“Kenapa Hassan tak kerja?” tanya Del kepada Izzuan yang sedang sibuk mengemas tempat kerjanya. Terbayang-bayang di mata Del melihat Hassan mengisi kepingan-kepingan daging dan ayam di dalamnya.

“Kenapa? Dah rindu ke?”

“Tak ada lah. Cuma nak tau,” jawabnya.

“Kau tak balik lagi ke? Dah enam setengah ni,” kata Izzuan. Del tidak menjawab. Dia berpaling kemudian menuju ke bilik pengurus. “Sir, saya balik dulu.”

Pengurus Restoran memandangnya. “Kenapa balik lewat ni?”

“Takde apa. Ada kerja sikit. Tadi kan busy, banyak customer,” jawab Del. “Kalau kau nak stay sampai pukul tujuh aku boleh kira OT,” kata Pengurus Restoran pula. “Tak apalah. Saya ok. Tolong kawan.”

“Baiklah. Hati-hati balik tu,” kata Pengurus Restoran lagi.

“Sir. Abang yang baru masuk tu tak kerja ke?”

“Tak. Contract dia dua hari je.”

“Owh.”

Del berlalu dari situ. Dia menghampiri Izzuan lalu memberitahunya yang dia akan pulang. Del naik ke atas, di ruangan krew untuk mengambil beg di dalam lokernya. Dia turut menukar pakaiannya dalam tandas yang disediakan.

Suasana petang di sekitar Dataran Maybank, Puduraya, Jalan Sultan dan bangunan Kotaraya begitu sesak. Kenderaan berhenti untuk menunggu lampu merah bertukar menjadi hijau. Bas ekspres pula menunggu penumpang untuk naik dan juga masa berangkat. Warga kota keluar masuk di stesen LRT Plaza Rakyat. Di angkasa, warna jingga menjadi latar belakang pandangan senja yang meletihkan. Malah, burung-burung yang bersarang di sekitar kawasan itu pun sudah pulang.

Del bergerak menuju ke bangunan Sinar Kota. Dia ingin membeli syampu di pasaraya Saidin. Harga barangan agak murah di sana. Sebab itulah mereka ramai pelanggan dan kini membuka banyak cawangan di seluruh negara.

Agak lama juga dia di sana. Lebih kurang pukul lapan malam barulah dia keluar. Niatnya hendak memberi syampu yang lima puluh sen lebih murah daripada kedai di flat tempat tinggalnya kemudian akhirnya dia berbelanja tiga puluh ringgit lebih daripada perancangan. Bukan beli apa sangat pun. Keropok, biskut, minuman, alat tulis dan beberapa item yang tidak segera diperlukan, malah tidak penting.

Del pulang melalui jalan yang satu lagi. Dia melalui bangunan yang menempatkan bank luar negeri, restoran masakan Myanmar, dan juga beberapa kedai lain. Jalan itu lebih dekat menuju ke Pasar Seni. Namun ianya agak sunyi. Selepas menyeberangi jalan, Del dapat melihat beberapa kotak diletakkan di atas kaki lima. Pastinya milik gelandangan.

Del membelok selepas melepasi kawasan berhampiran Bangkok Bank. Di sana dia melihat seorang lelaki yang berbaju singlet agak lusuh dan juga seluar jeans yang koyak di beberapa bahagian berhampiran lutut. Rambutnya agak panjang dan tidak disikat. Misai dan janggutnya juga tidak terurus. Panjang dan kusut. Lelaki itu duduk di kaki lima dengan sebuah bekas minuman plastik. Dia menggoyangkan bekas itu setiap kali ada orang yang lalu di hadapannya. Del memberi beberapa wang syiling kepadanya.

Del teringat kepada Hassan. Kata-kata Hassan tempohari memberi kesan kepadanya, “Aku tak ada rumah. Kat sini belum dapat lagi kerja yang ada hostel.”

“Habis tu, kau tinggal di mana?”

“Kaki lima,” jawab Hassan.

“Biar betul, kau ni.”

“Tak ada lah. Aku tipu. Aku lepak kat kedai mamak dua puluh empat jam. Ada lagi, boleh tidur di siber cafe.”

“Dah berapa hari macam ni?” tanya Del.

“Entah. Dua hari aku di luar KL. Hari ketiga dapat kerja sini. Ini hari keempat la di KL.”

Itu perbualannya dengan Hassan dua hari lepas. Semalam hari cuti Del. Jadi dia tak tahu Hassan tak kerja. Hari ini adalah hari keenam Hassan gelandangan. ‘Entah mana agaknya dia tu.”

Selepas melalui Pasar Seni, Del menuju ke stesyen LRT tidak jauh dari situ. Dia membeli tiket ke Abdullah Hukum.

Perkhidmatan LRT di Kuala Lumpur boleh dikatakan mmuaskan hati. Ada waktunya cekap dan berkesan. Ada waktunya lambat. Ada pula waktunya bersesak. Waktu lepas pukul lapan malam pada hari biasa seperti itu tak ramai yang menaikinya. Kurang daripada dua puluh minit, dia sudah berada di stesyen Abdullah Hukum.

Selepas berjalan beberapa minit, dia tiba di kawasan flat kediamannya. Del naik menggunakan lif ke tingkat tujuh belas. Kemudian dia menuju ke rumahnya yang berada selang lima rumah selepas lif itu.

Dia mencari kunci di dalam begnya. Kemudian dia melihat ke bawah dan ternampak beberapa orang berjalan. Dalam samar-samar cahaya lampu di situ, kelihatan seperti Hassan dengan berbaju uniform ungu. Del tidak mengenali uniform itu. Hassan pun tidak dikenalinya sangat. ‘Macam saja. Boleh jadi orang lain,’ katanya dalam hati.

Dia masuk ke dalam. Rumah agak gelap. Del membuka suis lampu dan mendapati meja tamu berselerak dengan cawan, minuman tin dan abu rokok. Dia menghampiri bilik Mila.

Terdengar bunyi katil berkeriut dan suara orang mendesah.

‘Apa nak jadi,’ katanya lagi. Hanya dalam hati.

[WATTYS 2018] [COMPLETED] Gelandangan 40 Hari di Kuala LumpurWhere stories live. Discover now