Bab 2: Temuduga

166 23 15
                                    

BAS berhenti. Seorang lelaki Melayu dalam usia lewat lima puluhan turun. Kemudian Hassan turun. Kedua-dua mereka menunggu bas berlalu kemudian barulah menyeberang jalan.

Jalan raya di Taman Melawati selepas jam sepuluh pagi tidak sesibuk pada waktu puncak. Kebanyakan penghuni kotaraya sudah pun berada di pejabat dengan pekerjaan masing-masing. Hassan sekali lagi menelefon pejabat Majalah Kebenaran. Setelah pasti dengan alamat pejabatnya, Hassan menghampiri bangunan di hadapan mereka. Dia mencari sebuah kedai serbanika dua puluh empat jam. Selepas itu, ada sebuah kedai dobi di sebelahnya. Bersebelahan dengan kedai dobi itu, Hassan menemui sebuah tangga. Di atasnya pintunya tergantung logo Akhbar Kebenaran. Anak tangga itulah yang dicarinya.

Sebelah tangga itu pula ada sebuah lagi kedai. Yang kelihatan adalah pintunya yang bertutup dengan gelas hitam. Bahagian lain bertutup dengan penutup besi. Ada satu ruangan kecil yang memuatkan gerai reload prepaid. Seorang wanita Cina dalam lingkungan usia lewat dua puluhan duduk di situ. Barangkali bekerja dengan kedai tersebut.

Hasaan naik ke tingkat satu. Pintu di sebelah kiri dengan paparan logo Majalah Kebenaran diketuk. Hassan mengintai menerusi tingkap kaca dan mendapati tiada orang yang datang. Hassan menunggu sebentar. Kemudian dia perasan ada satu butang loceng pintu pada tepi pintu itu. Hasaan menekannya. Dari luar dia dapat mendengar bunyi loceng itu. Beberapa saat kemudian dia mendengar derap sepatu. Lembut dan perlahan. Mungkin perempuan.

Seorang gadis dalam usia remaja datang membuka pintu. “Cari siapa?”

“Saya yang telefon tadi. Hassan,” jawabnya.

“Interview ek?”

“Ya,” jawab Hassan. ‘Tanya lagi,' katanya dalam hati.

“Masuklah,” kata gadis itu. Hassan masuk selepas dipelawa. Dia duduk di sebuah sofa tempat menyambut tetamu. Tempat itu ringkas dan kemas. Ada akuarium sederhana di sebelah kanan. Seekor ikan kaloi dan seekor ikan penyedut dibela di dalamnya.

Beg pakaian yang dibawanya diletakkan di tepi sofa itu. Hassan mengeluarkan fail yang mengandungi sijil-sijilnya. Kemudian dia melihat ikan-ikan di dalam akuarium itu.

Ketika Hassan sedang leka melihat ikan kaloi, gadis itu datang kembali. “Encik sila masuk ke dalam bilik mesyuarat. Nanti bos datang.”

“Terima kasih,” katanya. Hassan pergi ke tempat yang ditunjukkan di sebelah kirinya. Dia masuk. Kemudian gadis itu turut masuk. Hassan mengambil tempat di satu sisi meja mesyuarat berbentuk bujur itu. Selepas gadis itu menghidupkan penyaman udara dan lampu bilik , dia  keluar.

Hassan membelek failnya. Dilihatnya satu persatu. Walaupun dia ada Diploma dalam bidang perundangan, hanya sekali sahaja dia bekerja di pejabat peguam. Itupun semata-mata hendak mendapatkan taraf professional. Tapi dia tak minat. Dia cuma bertahan lima bulan.

Hilang minat. Memang bukan minatnya yang asal. Hanya disebabkan bidang itu dibanggakan oleh adik beradik arwah bapanya, dia terpaksa mencubanya. Walaupun dia lulus, namun hanya cukup makan saja.

Lamunannya terhenti seketika apabila menyedari pintu dibuka. Hassan menoleh dan mendapati seorang wanita berpakaian hijau gelap masuk. Wanita itu sedang hamil dan perutnya besar bagai orang dalam lapan bulan ke atas.

“Nasib baik awak datang. Kalau tak, saya tak tahu macam manalah saya nak ambik cuti bersalin?” katanya sambil berusaha duduk. Nampak sangat dia tak selesa dengan keadaan dirinya yang sedang menanti hari saja.

“Awak datang dari Sarawak ke?”

“Ya,” jawab Hassan. Ringkas.

“Bila sampai?” tanyanya lagi. “Dah tiga hari,” jawab Hassan pula. “Ye ke? Saya tak tahu pulak. Saya ingatkan awak dari airport. Sue kata awak siap bawak beg airport lagi.” Hassan terbayangkan beg pakaiannya di luar. Memang beg itu belum ditanggalkan pelekat lapangan terbang, tetapi sampai begitukah telitinya Sue, gadis itu?

“Saya Yanti. Sebenarnya saya tak boleh banyak bercakap. Cuma mungkin awak belum biasa sangat dengan saya, jadi memang kalau dah bercakap tu, susah nak berhenti. Agaknya kebiasaan pelik bila jadi ibu mengandung.”

“Mungkin juga. Tapi Puan, saya rasa itu ada kena mengena dengan sifat pengarang. Sebenarnya, saya pun kuat bercakap. Tapi, bila dalam interview macam ni, saya kena hormat penemuduga’” kata Hassan.

“Baiklah,” katanya. “Saya tak nak lama-lama. Saya dah baca blog awak. Saya suka entri berkenaan ekonomi dan pendidikan tertier. Dah print pun,” katanya lagi sambil menayangkan cetakan itu. “Cuba awak cerita seba sedikit tentang diri awak. Mana awak kerja sebelum ini dan kita tengok macam mana,” kata Yanti, penemuduga itu.

Hassan mula bercerita tentang dirinya. Kampung halamannya. Pelajarannya dan juga pendidikan dalam bidang guaman. Kemudian dia menceritakan betapa dia tak selesa bekerja dalam bidang itu. Kemudian dia menyatakan pekerjaannya sekarang.

Hassan turut menceritakan perihal kegiatannya dalam penulisan. Dia meminta penemuduga membuka bahagian belakang failnya kerana di situ terdapatnya beberapa keratan akhbar. “Itu hasil tulisan saya,” katanya.

“Tapi mengapa tak minta jadi wartawan. Untuk suratkhabar?”

“Ada. Tapi tak diterima. Sebabnya saya tak ada pendidikan. Saya tak ada sijil. Diploma saya dalam bidang lain. Masa saya minta, ada ramai lagi yang datang dengan latarbelakang mass comm. Jadi saya tak berpeluang.”

“Tak apalah,” kata penemuduga itu pula. “Saya sebenarnya sangat perlukan orang untuk buat kerja ni. Lagipun saya nak cuti bersalin. Tapi walaubagaimanapun,  saya kena dapatkan kelulusan Lembaga Pengarah dulu,” katanya lagi.

‘Eh, macam ada tak kena saja!' kata Hassan dalam hati. “Jadi, bila saya boleh mula?” tanya Hassan.

“Kita tunggu dulu kelulusan daripada BOD. Dah sedia semuanya, barulah kami telefon balik.”

‘Ah, sudah!' bisik hati Hassan lagi.

“Terima kasih sebab sudi datang. Nanti kita panggil kalau dah sedia semuanya," penemuduga itu bangun lalu membuka pintu bilik mesyuarat. Hassan keluar terlebih dahulu. Dengan pantas dia mendapatkan begnya lalu pergi ke pintu utama.

Penemuduga itu membuka pintu untuknya. Hassan sempat mengucapkan terima kasih sebelum berlalu. Namun, apabila dia tiba di kaki lima, dia terasa menyesal. Ucapannya itu tidak ikhlas. Dia merasakan dirinya tidak akan diambil bekerja. Lantas dia menjadi geram dan marah.

Hassan tahu wangnya semakin berkurangan. Pada masa yang sama, dia perlu mencari peluang kerja yang lain. Dia masuk ke kedai yang bertutup kaca gelap. Tujuannya untuk melayari internet.

“Bai, pakai CC berapa ringgit sejam?” Hassan bertanya kepada lelaki yang kelihatan seperti warga Bangladesh. Tak mungkin India Tamil Malaysia kerana kulitnya lebih cerah.

“Sini internet tarak.”

“Habis tu, apa?” tanya Hassan semula.

“Sana tenggok la,” pelatnya dengan kata ‘tenggok’ bukan ‘tengok’.

Hassan merapati seorang lelaki bertopi dan sedang menghisap paip. Agaknya dalam usia lewat lima puluhan. Dia melihat kepada skrin komputer.

Kelihatan permainan slot online sedang asyik berputar. Lelaki itu memandang Hassan, kemudian kembali ke skrin komputernya.

[WATTYS 2018] [COMPLETED] Gelandangan 40 Hari di Kuala LumpurWhere stories live. Discover now