Bab 6: Siling Bilik Hotel

87 16 0
                                    

Bab 6: Siling Bilik Hotel

Sudah hari kelima dia tiba di sini. Hari ketiga di Kuala Lumpur. Baru hari ini dia merasai tidur di atas tilam yang selesa. Siang tadi tidurnya kurang selesa. Sesekali terbangun. Terjaga. Sememangnya sudah lumrah manusia untuk berehat pada waktu malam dan pada siangnya bekerja mencari rezeki.

Dia sedar, semalam hanyalah satu kebetulan. Nasib dan rezeki menyebelahinya. Dalam kasino, dia menang. Keluar dari kasino, sarapan pagi sudah ada yang bayarkan. Apabila dia mencari bilik, mujur juga hostel backpacker yang ditemuinya itu tidak boleh dihuni orang tempatan. Kalau tidak, dia tak mungkin temui bilik yang selesa ini. Lepas itu, apabila dia pergi temuduga di MrBurger, dengan mudahnya dia mendapat pekerjaan di situ.

Itupun, hanya sekadar sambilan bergaji dua puluh ringgit tunai.

“Kami tawarkan awak kerja ini sebagai kontrak sambilan. Kerja empat jam. Gaji dua puluh ringgit. Saya akan bayar gaji kamu lepas habis kerja,” suara pengurus restoran itu masih terngiang-ngiang di telinga Hassan. Selepas dia mandi malam itu, dia baring di atas katil memikirkan perancangannya.

Sedar saja, rupanya dia tertidur dengan lampu masih terpasang. Kepalanya terasa berat. Hassan bangun memeriksa telefon bimbitnya. Baterinya tinggal satu bar saja. Jam pula sudah menunjukkan ke pukul empat pagi. Hampir enam jam dia tidur tak terganggu. Rupanya masih belum cukup.

Hassan teringatkan kerja pada pukul empat petang nanti. Dia perlukan baju putih berkolar dan seluar hitam. Begitu juga dengan kasut. Semuanya dia tak ada. Mujurlah ada juga duit untuk berbelanja.

Hassan mengeluarkan sebuah buku dan sebatang dari dalam begnya. Dia membuat kira-kira barang keperluan untuk bekerja di MrBurger nanti.

Baju putih, kalau beli di pasaraya dalam harga belasan ringgit. Seluar pula boleh dapat pada harga tiga puluh ringgit. Manakala ada kasut hitam yang dijual pada harga tiga puluh lebih. Lebih kurang seratus juga yang habis.

Sedangkan kerja esok dan lusa baru dapat empat puluh ringgit. Belanja dua hari lagi. Dua puluh ringgit tu memang tak pulang modal.

Hassan baring di katil. Tangannya diletakkan di atas dahi. Siling bilik itu direnungnya. Tiba-tiba gelap.

Hassan tertidur sekali lagi.

[WATTYS 2018] [COMPLETED] Gelandangan 40 Hari di Kuala LumpurWhere stories live. Discover now