Bab 5: Tunggu

104 16 1
                                    

Bab 5: Tunggu

Hassan terbangun dari tidur. Kepalanya terasa pening. Dia memikirkan mimpi yang dialaminya sebentar tadi.

Mimpinya melihat Jan mengeluarkan pistol kemudian diacukan kepada seorang pekerja di kedai serbanika dua puluh empat jam. Kemudian, dia melemparkan begnya dan lelaki itu mula mengisi kotak rokok, dan duit. Kemudian Hassan meminta pekerja itu memberikan telefonnya. Hassan mengambil telefon itu. Dia melihat jamnya menunjukkan tiga belas empat puluh dua. Hassan hairan. Setahunya, dia dan Jan masuk ke kedai itu pada waktu malam.

Ketika itulah dia terjaga. Dia merasakan masa pada jam itu salah, lalu terbangun. Mujurlah mimpi.

Dia sekarang duduk di atas katil. Kemudian dia mencari telefonnya di atas meja. Diperhatikannya waktu ketika itu sudah pukul dua setengah petang. Bateri pun sudah penuh lalu dia mencabut pengecaj.

Hassan melihat wajahnya dari cermin di meja. Agak tidak terurus. Ada beberapa helai rambut putih di bahagian tepi kiri kepalanya. Misainya juga sudah agak panjang dari kebiasaan. Dia merapatkan lagi dirinya. Beberapa helai bulu hidungnya terkeluar. Dia rasa malu. Dia dapat membayangkan orang lain kurang selesa apabila berbual dengannya.

Hassan kemudian bersiap untuk membersihkan diri dan mandi. Kali ini dia bersihkan seluruh tubuhnya. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Dia turut mengetip kukunya selepas mandi.

Apabila selesai, dia melihat dirinya sekali lagi di dalam cermin. Kali ini lebih kemas. Tanpa misai atau janggut. Rambut pula telah disyampu. Dia lebih selesa dengan dirinya berbanding enam atau tujuh jam yang lalu.

Selepas menggenakan seluar boxer, dia mengeluarkan dompetnya dari dalam poket seluar. Hassan mengira baki wangnya selepas kemenangan di kasino semalam. Pada asalnya, dia hanya mempunyai wang untuk dua hari tanpa penginapan. Hanya tiga puluh ringgit. Hari ini, dia mampu membayar sewa bilik satu malam. Kemudian ada lagi baki tunai sebanyak seratus lima puluh. Maknanya wangnya sebelum sewa bilik adalah dua ratus tiga puluh. Wang yang dimenanginya pula adalah seratus sembilan puluh.

‘Oh, aku ada belanja makan sepuluh ringgit.’

Wang kemenangan semalam adalah dua ratus.

Hassan menggenakan pakaiannya. Dia perlu keluar untuk mengisi perutnya yang lapar. Jam sudah masuk ke pukul empat petang namun tiada panggilan dari syarikat majalah semalam. Sambil turun dari bilik hotelnya, dia mendail nombor syarikat itu.

“Ya. Saya yang datang semalam,” katanya selepas memperkenalkan dirinya.

“Ada apa yang saya boleh bantu?” tanya suara lelaki di sebelah sana.

“Macam mana dengan kerja? Saya dapat atau tak?” tanya Hassan lagi.

“Encik kena tunggu. Nanti kalau ada jawapan, kita akan call balik.”

“Boleh bercakap dengan Puan Yanti?”

“Dia dah cuti. Malam tadi masuk wad,” jawab lelaki itu.

“Ye ke? Kalau begitu, tak apalah. Terima kasih,” katanya lalu membuka pintu hotel.

‘Adoh. Kena tunggu pulak,’ katanya dalam hati. ‘Kalau betul Puan Yanti dah masuk hospital, siapa yang nak ambil aku bekerja?’

Hassan membatalkan hasratnya untuk makan di restoran berhampiran. Sebaliknya dia menuju ke KL Sentral. Dia membeli tiket LRT ke Pasar Seni. Selepas memasuki terminal LRT dan menunggu beberapa minit, LRT pun tiba. Hassan masuk ke dalam dan berdiri berhampiran pintu.

Pintu LRT ditutup. Kemudian ia bergerak laju. Kurang lima minit, ia tiba di stesen Pasar Seni. Hassan keluar. Dia turun dari platform, keluar dari stesen dan mula berjalan di sekitar Pasar Seni.

Dia masuk ke sebuah kedai makan untuk bertanyakan kerja kosong. Tak ada. Kemudian dia masuk ke kedai gambar sebelahnya. Pun sama. Masuk KFC, Watson, dan macam-macam lagi kedai yang ada. Kemudian dia keluar semula. Setiap satunya dengan jawapan yang sama.

“Belum ada kerja, dik.”

“Sini tak ada.”

“Bagi nombor telefon.”

Hassan sudah sampai ke Kotaraya. Dia bergerak melepasi GelasBesar, rangkaian kedai kopi yang terkenal di Kuala Lumpur. Dari situ, dia dapat melihat Sinar Kota, tempat dia turun dari bas beberapa hari lalu. Di tepi laluan antara GelasBesar dan MrBurger, matanya dapat melihat sebuah gerai menjual air bancuh dan juga apam balik. Dia menghampirinya.

“Bang, apam balik satu.”

“Nak biasa ke, jagung manis Bro?” tanya lelaki itu.

“Kalau jagung manis berapa?”

“Tiga ringgit. Tambah singgit jer,” katanya lagi.

“Air berapa harga?” tanya Hassan.

“Dua ringgit.”

“Bolehlah. Kasi jagung manis,” kata Hassan. “Air asam boi satu,” tambahnya lagi.

“Orait,” segera lelaki itu menyediakan pesanan Hassan.

Wang dan barang bertukar tangan. Hassan berlalu menghampiri MrBurger sambil makan apam balik jagung manis. Dia membandingkan burger di dalam dan apam balik yang dinikmatinya. Air asam boi dan minuman ringan. Terfikir pula harganya. Lima ringgit berbanding belasan ringgit untuk set makanan berserta air.

Dia tahu, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbelanja. Dia perlu ada kerja tetap untuk menikmatinya. Dia perlu tunggu jawapan daripada syarikat penerbitan itu. Atau tunggu peluang lain.

Hassan beralih menuju ke sebuah kedai pakain tidak jauh dari situ. Belum selangkah, dia berhenti apabila melihat satu poster di tepi reatoran makanan segera itu.

We are hiring.
Kami sedang mencari pekerja.

Walk in interview inside.
Masuk untuk temuduga segera.

‘Hmm. Barangkali tak perlu tunggu lama sangat,’ katanya dalam hati. Dia menyudahkan makanannya, masuk ke dalam lalu membuang plastik makanan dan mimuman itu. Dia menuju ke kaunter kemudian bertanya, “Ada vacancy?”

“Abang isi borang, lepas tu tunggu. Nanti saya panggil manager,” kata gadis juruwang itu.

[WATTYS 2018] [COMPLETED] Gelandangan 40 Hari di Kuala LumpurWhere stories live. Discover now