Bab 10 : Telefon

86 14 3
                                    

Bab 10 : Telefon

Azan Zohor yang berkumandang mengejutkan Hassan dari lena yang panjang. Sudah tengahari. Dia harus bersiap untuk masuk kerja pukul dua petang.

Rumah kediamannya sekarang adalah asrama pekerja. Di situ ada tiga bilik asal. Satu bilik lagi sebenarnya dapur yang diubah suai. Jadi, mereka masak di ruang tamu saja. Ada televisyen. Tapi tak mewah macam rumah kebanyakan orang. Cuma televisyen dan meja saja. Tak ada set meja tamu, sofa malah meja makan pun tak ada.

Tapi itu semua tak penting. Baginya, sudah memadai dengan apa yang ada sekarang. Hari ini lebih baik daripada semalam. Dan mungkin minggu ini lebih baik daripada minggu lepas.

Sekurang-kurangnya begitulah.

Semuanya bermula apabila dia tiba di KLIA pada sebelah malam tempohari. Dia tidur di atas bangku. Kemudian dia ke Puchong. Hari ketiga, dia tak tidur. Sebaliknya bermalam di kasino. Selepas itu, dia menyewa bilik hotel. Hari berikutnya dia bekerja di MrBurger, dan bermalam di kaki lima, Dataran Maybank. Kemudian dia kerja hari kedua di MrBurger dan malamnya tidur pula di Dayabumi. Hari berikutnya dia merayau mencari pekerjaan di sekitar MidValley. Malamnya dia bertemu dengan Jan. Mereka sekali lagi bermalam di kasino. Selepas itu, Hassan tidur siang di Masjid Negara sampai petang. Pada sebelah malam, dia kembali ke MidValley dan disahkan dapat bekerja. Malam itu juga dia pindah masuk ke asrama.

Selepas bersiap, hatinya tergerak untuk solat. Namun melihat jam sudah pukul satu empat puluh lima, dia terus saja menggenakan kasut. Pintu bilik tidak dikunci, namun ditutupnya rapat. Cuma pintu rumah saja yang dikuncinya.

‘Bila agaknya nak mula solat?’ tanya Hassan pada dirinya sendiri. ‘Masalahnya buat apa solat kalau tak tinggal judi. Baru berapa hari lepas berjudi,’ fikirnya lagi. Dalam seminggu, inilah hari ketujuh dia di Kuala Lumpur dan sudah dua kali dia ke kasino.

Entah macam mana dia tak dapat mengawal dirinya sendiri pada malam itu. Sampai licin duitnya ditaruhkan. Sudahlah duitnya memang sedikit. Masih dia tak mahu berhenti.

Pada awalnya dia ada sembilan puluh ringgit. Dia cuma bercadang nak menggunakan dua puluh ringgit saja. Itu pun gaji daripada kerja di MrBurger. Permainan bermula menyebelahinya. Dari dua puluh ringgit, jadi tiga puluh. Kemudian, naik lagi, empat puluh selepas itu naik lima puluh. Selepas itu, ia mula jatuh sampai tinggal sepuluh ringgit terakhir. Hassan sudah mula dikuasai permainan. Dia meletakkan taruhannya semua pada satu kawasan lima nombor. 27, 13, 36, 11 dan 30. Satu nombor dua ringgit. Bola jatuh ke nombor 11.

Wangnya kembali menjadi tujuh puluh dua ringgit. Namun selepas itu, ia tidak lagi jatuh di situ. Apabila dealer bertukar, segala-galanya tidak menjadi. Wangnya habis. Dia masukkan lagi dua puluh ringgit. Habis. Masuk lagi lima puluh. Kali ini agak lama kerana nasibnya turun naik. Ada waktu menang, ada waktu kalah.

Cuma selepas empat jam di dalam tempat itu, Hassan sudah menjadi lesu. Dia keletihan. Mengantuk. Lapar. Pening. Semuanya ada.

Nasib Jan pula memang turun naik. Tapi turunnya sikit, naiknya banyak. Sekurang-kurangnya tiga kali dia cuci lima ratus. Itu yang Hassan sempat tengok. Yang tak perasan pula.

Sudahnya Hassan minta tolong pada Jan. Dia jualkan telefonnya pada Jan. Jan memberinya seratus lima puluh. Lebih sedikit daripada modal asal Hassan pada malam itu.

Sebab itulah apabila tiba waktu siang, Hassan langsung tak bermaya. Padahal dia tidur di masjid, tapi tak sedar azan dilaungkan.

Hassan baru tiba di restoran Nasi Ayam Ku Sedap. Tak ramai pelanggan. Dia menyapa beberapa orang pekerja. Seorang daripadanya membawa Hassan menemui Zurina, pengurus restoran itu.

“Macam mana asrama? Boleh tidur?” tanya Zurina sambil masih membelek kertas kerja di hadapannya. “Boleh. Alhamdulillah.”

“Dah sedia nak kerja?”

“Hm, insya-Allah. Tapi, boleh tak saya solat dulu? Tadi tak sempat,” pintanya.

“Baiklah. Kamu jumpa Ezam dulu. Dia akan bagitau tugas kamu hari ini. Lepas tu, bagitau dia kamu nak solat. Boleh?”

“Ok,” kata Hassan. Dia bersyukur kerana dapat kerja di tempat yang sesuai untuk memulakan hidup baru.

[WATTYS 2018] [COMPLETED] Gelandangan 40 Hari di Kuala LumpurWhere stories live. Discover now