Bab 15 : Ambil Risiko

76 9 0
                                    

Bab 15 : Ambil Risiko

Hassan membelek dompetnya. Tinggal beberapa keping duit seringgit dan ada sekeping duit lima ringgit sahaja. Dia mengeluarkan kad ATM kemudian mengorek sesuatu dari dalam ruangan itu. Ada sekeping lagi duit lima puluh. Hassan menyerahkan kepada lelaki yang menjaga kedai itu. Wajahnya kelihatan jelas seperti seorang Cina tetapi dia berbahasa Melayu pelat Indonesia.  

“Bakinya bro. Bisa guna?”

“Ya, biasa.”

Hassan memasukkan baki wangnya sebanyak dua puluh ringgit ke dalam dompet. Dia mencari komputer bernombor 07. Ada seorang lelaki Melayu di sebelahnya dalam lingkungan usia lima puluhan. Itu pun tekaan Hassan sahaja. Sebelah lelaki itu pula seorang lelaki Cina, mungkin dalam usia yang lebih kurang sama.

Hassan duduk lalu membuka perisian Win888. Selepas itu, dia melihat baki kredit yang tertera. Ada tiga puluh ringgit semuanya. Hassan masuk ke ruangan ‘Live Games’. Selepas itu, keluar beberapa ruangan permainan siaran langsung seperti Roulette, Baccarat, Sic Bo dan juga Blackjack. Hassan memilih Roulette dan beberapa saat kemudian muncul pilihan untuk ke tiga buat meja roulette. Meja Diamond, Meja Pearl dan Meja Saphirre.

Seperti biasa, Hassan masuk ke meja Pearl lalu memerhatikan keputusan lepas. Ada lapan pusingan yang disiarkan. Keputusan terkini adalah 26 Hitam, 3 Merah, 20 Hitam, 33 Merah, 8 Hitam, 0 Hijau, 15 Hitam dan 10 Hitam. Dia memandang jam pada chatroom. Baru pukul 15:18. Barangkali lapan pusingan ini adalah dealer yang sama, fikir Hassan.

“Pasanglah kosong lagi, ini kali mau naik dia.” Hassan terdengar suara lelaki Melayu di sebelahnya. Dia menoleh dan mendapati lelaki itu bercakap dengan teman Cina itu. Dia menoleh kembali ke skrin komputernya. Masa tinggal lima saat lagi. Dia membuat keputusan untuk meletakkan taruhan pada kota tengah. Dia membeli nombor tiga belas hingga dua puluh empat sebanyak lima ringgit.

“No more bet,” suara dari dalam komputer berbunyi. Dealer meja itu membuat satu gerakan tangan pada roda roulette. Selepas itu dia memutarnya ke kiri. Hassan memerhatikan bola putih yang dilepaskan. Dealer itu melepaskan di sekitar nombor dua puluh menuju ke arah kanan.

“Aduh, jangan la lepas kat sana!” Sekali lagi kedengaran suara di sebelahnya. Hassan hanya senyum di dalam hati. Dia meneka bola tidak akan jatuh di sekitar kosong. Kebiasaannya kalau roda diputarkan dari kawasan kosong ke kiri sementara bola dilepaskan di sekitar nombor dua puluh, bola akan jatuh di sebelah. Iaitu antara nombor lapan hingga ke tujuh belas. Kalau terlajak sedikit pun akan pergi ke nombor dua puluh lima, dua, dua puluh satu, atau empat.

Roda semakin perlahan. Bola putih hilang momentum lalu mulai jatuh di kawasan kosong. Namun disebabkan putaran itu menuju ke kiri, bola jatuh di nombor tujuh. Hassan sedikit cemas namun apabila melihat bola terpelanting keluar, kemudian jatuh di sekitar nombor tiga puluh tiga, dia menggetap giginya.

“24 Black.”

Hassan menoleh ke sebelah. Dia melihat kedua-dua lelaki itu bercakap sesama sendiri. Kemudian dia kembali ke skrinnya dan melihat tertera tulisan yang ditunggunya.

24 Black
Win
RM15.00

Hassan kembali melihat keputusan lepas. Kali ini dia merasakan dealer itu ada corak permainannya sendiri. Bola banyak jatuh di kawasan atas iaitu antara nombor lapan ke dua puluh dan kemudian di bawah, iaitu sekitar kosong.

Sekarang tak banyak masa untuk dealer ini. Wang kredit yang dimiliki Hassan pula sudah bertambah menjadi empat puluh ringgit.

Hassan membuat taruhan pada roda di sekitar nombor lapan hingga ke sembilan. Semuanya lebih kurang sepuluh atau dua belas nombor. Namun satu nombor tidak begitu besar. Ada yang lima puluh sen dan ada juga yang seringgit. Jumlah taruhan pula sepuluh ringgit.

Pusingan itu, bola jatuh di nombor dua puluh tiga. Lima puluh sen dengan wang kemenangan lapan belas ringgit. Maksudnya dia menang lapan ringgit.

Hassan membuat rebet. Sepuluh ringgit ditolak. Kemudian dia menambah lagi taruhan di kawasan itu. Kali ini jumlah taruhan adalah lima belas ringgit.

Bola jatuh sekali lagi di kawasan yang sama. 33 Hitam. Taruhan Hassan di situ adalah seringgit. Bayaran pula adalah tiga puluh enam ringgit. Jadi jumlah untungnya adalah dua puluh satu ringgit.

Dua pusingan selepas itu, Hassan masih meletakkan taruhannya di situ. Dia masih bernasib baik.

Pusingan seterusnya kelihatan seorang dealer baru datang. Mereka bertukar tempat dan dealer sekarang meninggalkan meja. Hassan memerhatikan wang kredit miliknya. Kini jumlah wang itu sudah menjadi seratus sebelas ringgit.

Hassan bangun dari mejanya menuju ke kaunter. Dia meminta penjaga kedai itu mengeluarkan wang sebanyak lapan puluh ringgit. Dia berfikir sekurang-kurangnya dia ada keuntungan sebanyak lima puluh ringgit untuk belanja beberapa hari akan datang.

Dia kembali ke komputernya. Wang kredit tinggal tiga puluh satu ringgit. Apabila dia kembali, roda roulette sudah berputar. Kali ini bola jatuh di nombor enam. Pemain-pemain di sebelahnya masih buntu dan saling menggaru kepala. Mereka menunggu bola jatuh di kawasan kosong tetapi kali ini ia masih belum berhasil.

Hassan meneka bola akan jatuh di sekitar sembilan. Dia meletakkan taruhan sebanyak lima puluh sen di empat nombor kanan sembilan dan juga lima nombor sebelah kiri sembilan. Semuanya lima ringgit. Hassan hanya mahu mencuba dealer baru.

Roda diputarkan. Bola dilepaskan. Selepas beberapa ketika, bola jatuh dan bergolek ke nombor dua puluh satu. Hassan kalah. Mereka yang di sebelahnya pun kalah.

Hassan membuat taruhan di kawasan yang sama tempat bola jatuh dua pusingan tadi. Dia membeli nombor sembilan belas sehingga tiga belas. Semuanya lima puluh sen. Taruhan kali ini masih sepuluh ringgit. Kali ini roda jatuh pula di nombor sembilan.

“Shit,” katanya. Hassan melihat baki kreditnya. Sudah dua pusinngan dia kalah dan wangnya tinggal dua puluh satu ringgit. Hassan tekan rebet. Kemudian dia membeli nombor 0 Hijau sebanyak seringgit. Jumlah taruhan adalah enam ringgit dan wangnya tinggal lima belas ringgit. Hassan bercadang hendak menamatkan permainan dan mengambil bakinya. Samada menang atau kalah, dia mesti balik. Dia tidak mahu kalah kali ini.

Dia sebenarnya perlu membayar balik wang lima puluh ringgit dipinjam kepadanya. Dia cuba mendapatkan wang pinjaman daripada Zurina tetapi tak berjaya. Mujurlah Razak sanggup membantunya walaupun sekadar lima puluh ringgit.

Wang itu pula, dia beranikan diri untuk dibawa ke dalam kasino. Nasib baik dia sedang menang. Dia tak sanggup pula untuk menanggung kekalahan.

“Zero. Green.”

Di skrin terpapar tulisan keputusan itu. Wangnya meningkat dari lima belas ringgit kepada lima puluh satu ringgit.

“Ah Chai, cuci habis.”

Hassan keluar dari kedai itu lalu menghala ke stesen LRT Pasar Seni. Dia pulang setelah menang dalam masa kurang daripada satu jam.

[WATTYS 2018] [COMPLETED] Gelandangan 40 Hari di Kuala LumpurWhere stories live. Discover now