SEASON 1 ; 5

562 23 0
                                    

Mata masing-masing memandang khemah dan unggun api bersilih ganti. Mereka hanya pegun di situ, tidak ubah seperti mannequin. Hanya bunyi api memamah kayu kedengaran mengisi ruang dimensi itu. Empat sahabat itu tidak berani bergerak kerana khuatir kehadiran mereka akan diketahui oleh para iblis itu.

Lupakah mereka bahawa itu adalah iblis? Pastinya kehadiran mereka di situ sudah lama diketahui.

Handphone milik Danny berbunyi-bunyi menandakan ada mesej baru diterima. Pandangan masing-masing automatik terarah ke arah jelmaan-jelmaan yang sedang merenung unggun api tanpa sebarang reaksi wajah.

Danny menarik keluar handphone dari kocek seluar dan membuka peti mesej. Ada mesej bergambar yang baru diterima. Dengan jari yang terketar-ketar, dia menekan papan kekunci lalu mesej itu dibuka. Peluh jantan merenik membasahi muka yang memang sudah lencun dibasahi peluh. Reaksi wajahnya menarik perhatian rakan-rakannya untuk melihat sendiri mesej tersebut.

'Danny' menghantar gambar wajahnya atau lebih dikenali sebagai swafoto. Mulutnya tersenyum lebar dan sepasang matanya bulat merenung ke lensa kamera. Latar belakangnya pula ada imej empat sekawan itu. Ketika mereka berdiri seperti mannequin. Adakah jelmaan Danny sedang berada di belakang mereka?

Mereka menelan rengkung yang terasa kering. Patutlah sejuk semacam sahaja tempat mereka berdiri itu. Iblis itu berada hampir dengan mereka rupa-rupanya. Tetapi mereka langsung tidak mempunyai kekuatan untuk menoleh dan melihat apa yang sedang berada di belakang mereka. Dibuatnya makhluk itu tengah menyeringai ke arah mereka, naya!

"Nak buat apa ni Danny?" Airil berbisik. Badannya sudah menggigil bagaikan pesakit parkinson. Sudah tidak terkawal lagi.

Belum sempat Danny membuka mulut, satu lagi mesej baru diterima. Jantungnya berdetak laju. Dia memberanikan diri dan membuka mesej lalu membacanya.

... DONGAK. KAMI ADA DI ATAS ...

GULP. Danny menunjukkan mesej itu pada rakan-rakannya. Atas? Atas langit ke?

Jeff memejamkan mata buat beberapa saat dan membuat keputusan untuk mendongak seperti apa yang disuruh. Alhamdulillah tiada apa-apapun di situ. Kalau tidak, tidak tahulah apa nasib mereka. Mungkin mereka tidak sempat melarikan diri kerana jatuh pengsan pada masa itu juga.

Jeff memandang rakan-rakannya seraya menggeleng-gelengkan kepala. Lalu Airil, Imriz dan Danny segera mendongak ke atas. Memang tiada apa-apa seperti yang didakwa Jeff. Adakah iblis itu mahu mempermainkan mereka? Ya, mereka sedang dilanda ketakutan dan mungkin kerana itulah mereka dipermainkan.

Satu lagi mesej diterima.

... HAHAHAHAHAHAHAHAHA ...

Memang benarlah makhluk-makhluk halus ini ingin bermain-main dengan ketakutan mereka dan sesungguhnya iblis-iblis itu telah menang.

Airil menoleh ke kiri tatkala ada bunyi aneh yang mengetuk gegendang telinganya. Pandangannya difokuskan ke satu arah berdekatan rumah hantu. Ada sesuatu yang berwarna putih di situ. Setelah diperhatikan ternyata ia ialah sekujur tubuh yang berbalut kain kafan. Tubuh itu terbaring di tanah dengan kepalanya menghadap ke arah mereka.

Bibir Airil terketar-ketar. Tangannya menepuk-nepuk lengan Imriz yang berada di sebelah.

"Te-tengok t-tu...." Ujarnya tergagap-gagap.

"Allahu...." Nama TUHAN Yang Maha Besar spontan terluncur dari lidah Imriz. Memang dia nampak apa yang Airil nampak. Jelas sejelas-jelasnya.

Sekujur tubuh berkafan itu sedang terbaring dengan muka terarah ke arah mereka. Tali yang mengikat kafan di bahagian kepala kelihatan longgar dan akan terlerai pada bila-bila masa sahaja. Tidak lama lagi wajah di sebalik kain putih itu akan terdedah!

Ya, suasana ketika itu suram tetapi mereka dapat melihatnya dengan jelas.

Kejadian itu turut sama disaksikan oleh Danny dan Jeff. Kini mereka harus berdepan dengan jelmaan-jelmaan dan jenazah berkafan putih lusuh itu. Ke mana harus mereka lari?

Jeff mengembalikan pandangan ke arah unggun api. Iblis-iblis yang menyerupai mereka masih ada di situ. Langsung tidak berganjak. Tiada pergerakan dari mereka kerana mereka hanya merenung ke unggun api dengan pandangan yang kosong sejak tadi.

"Kita cabut lari dalam kiraan tiga...." Jeff berkata perlahan namun cukup kuat di pendengaran tiga rakannya.

Ketika kaki Jeff bergerak selangkah, jelmaannya turut bergerak. Pastinya kejadian itu mengejutkan mereka. Jeff melangkah sekali lagi dan jelmaannya turut sama bergerak. Wajahnya yang menghadap unggun api mulai diangkat sebanyak dua kali pergerakan. Wajah jelmaannya juga kelihatan sinis dan menakutkan.

"Cuba kau pulak yang bergerak." Suruh Jeff pada Imriz. Imriz mengangguk lalu menggerakkan kakinya sekali.

Seperti jelmaan Jeff, kini jelmaan Imriz pula yang bergerak sekali. Jadi mereka tidak boleh lari? Ini tidak boleh jadi! Takkanlah mereka mahu terus berada di situ dan menghadap muka iblis-iblis itu?!

Mereka tidak bergerak. Kembali pegun seperti patung. Setiapkali mereka menggerakkan kaki untuk lari, setiapkali itu jugalah jelmaan-jelmaan itu akan bergerak mengikuti mereka. Mereka mengambil masa untuk bertenang.

BERTENANG, FIKIR, FIKIR!

Sesaat mereka melupakan tentang jenazah yang terbaring berdekatan rumah hantu yang terletak hanya beberapa meter dari tempat mereka berdiri.

Airil menoleh dan melihat wajah jenazah itu sudah terbuka. Tali yang mengikat kain di kepala sudah terlerai. Mata Airil terbeliak ketika tubuh jenazah itu bergerak-gerak. Apakah yang sedang dia saksikan ketika itu?

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Where stories live. Discover now