SEASON 2 ; 1

644 21 0
                                    

STERENG dipulas ke kiri dan sesekali tayar bas akan tersekat di dalam tanah yang berlecak. Hujan yang membasahi bumi sejak beberapa jam yang lepas menyukarkan lagi pengangkutan itu bergerak dengan lebih lancar. Wiper yang bergerak ke kiri dan kanan setia bekerja sejak berjam-jam yang lepas. Tiada tanda-tanda hujan akan berhenti malah semakin lebat pula.

Pemandu bas yang dipanggil sebagai Abang Zack memperlahankan pemanduan dan akhirnya memberhentikan bas di tengah-tengah jalan. Cahaya dari lampu bas juga tidak mampu untuk menerangi jalan di hadapan. Perbuatannya pantas menarik perhatian dua orang guru dan para pelajar yang berada dalam bas.

"Kenapa bang?" Soal cikgu muda yang bernama Haiqal. Dia bingkas bangun dari duduk lalu bergerak ke tempat pemandu yang berada di hadapan.

Abang Zack mengukir senyuman pahit, "Tak nampak jalan di depan cikgu. Sebab tu saya berhenti sekejap. Kita tunggu sampai hujan kurang lebat."

Cikgu Haiqal mengangguk faham. Kemudian pandangannya diarahkan ke hadapan. Walaupun jalan disinari lampu namun kawasan di kiri dan kanan sangat gelap. Dia melirik jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir pukul 5 petang. Masih awal tetapi langit yang menangis menerbitkan kegelapan.

Cikgu Haiqal memusingkan tubuh dan memandang para pelajarnya. Mereka semua di dalam perjalanan untuk menyertai kem bina semangat. Sepatutnya mereka sudah tiba di kem itu beberapa jam yang lepas lagi tetapi mereka tersesat hingga masuk ke hutan yang tidak diketahui apa namanya itu.

"Kita berhenti kat sini dulu buat sementara waktu. Lepas hujan reda kita sambung perjalanan." Katanya kepada para pelajar dan seorang lagi guru muda bernama Hani.

Mereka mengangguk perlahan. Terlukis riak bimbang di wajah masing-masing. Hari semakin gelap dan mereka masih belum tiba ke destinasi yang sepatutnya. Abang Zack pun boleh tersesat sedangkan dia begitu arif dengan semua jalan di daerah itu. Lelaki itu juga berasa pelik dengan apa yang berlaku.

Titisan hujan semakin galak membasahi bumi. Entah bila ia akan berhenti.

*****

EMMA yang sedari tadi hanya mendiamkan diri tersentak apabila ekor matanya mengesan sesuatu. Perlahan-lahan dia menoleh dan memandang keluar jendela bas. Pandangannya difokuskan, cuba mengesan apa yang mengganggu emosinya sebentar tadi. Hanya kegelapan yang menyapanya di luar.

Angin dingin yang tiba-tiba berhembus di kulit muka membawanya ke sesusuk tubuh berwarna putih yang sedang berdiri di luar bas sekolah itu. Dia terperanjat seraya berdiri sehingga menarik perhatian yang lain. Cikgu Haiqal dan Cikgu Hani bergegas mendapatkan pelajar perempuan yang memang dikenali dengan sifatnya yang pendiam dan misteri itu.

"Kenapa Emma?" Cikgu Hani bertanya. Dia mendekati Emma dan merenung wajah remaja itu dengan penuh minat.

Emma tidak menjawab pertanyaan Cikgu Hani. Dia kembali melihat keluar dan mendapati tiada apa-apa yang aneh di luar. Muka cikgu itu dia tenung buat beberapa saat. Akhirnya dia menggelengkan kepala.

Cikgu Hani berbalas pandangan dengan Cikgu Haiqal. Mereka pernah mendengar khabar angin bahawa Emma ini ada deria yang keenam. Kiranya dia boleh mengesan benda-benda mistik dan ghaib. Mereka tidak mahu bertanya lebih lanjut. Tidak mahu mengasak remaja ini dengan pertanyaan-pertanyaan yang memeningkan.

Emma kembali duduk tanpa memandang ke muka cikgu-cikgunya. Dia lebih banyak melayan perasaan seperti biasa. Cikgu Haiqal dan Cikgu Hani kembali ke tempat duduk masing-masing dan Emma terus berperang dengan perasaannya sendiri. Emosi tidak stabil, hatinya bergelora. Dia tahu ada sesuatu yang tidak elok tentang tempat ini.

Hujan masih lagi turun tetapi sudah tidak selebat tadi. Abang Zack kembali menghidupkan enjin bas dan meneruskan perjalanan untuk ke kem bina semangat. Hatinya berdoa supaya perjalanan mereka dipermudahkan-Nya. Tidak sampai lima minit memandu, dia ternampak bangunan-bangunan terbiar di hadapan. Macam dia kenal sahaja.

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Where stories live. Discover now