SEASON 1 ; 8

518 21 1
                                    

REROMA mereka merinding apabila suara tangisan itu mendayu-dayu mengenai pendengaran. Sesungguhnya mereka tidak kuat untuk terus menghadapi semua ini. Funfair 666 memang berpuaka dan Danny bersumpah tidak akan kembali ke situ jika mereka bebas tidak lama lagi. Dia sudah serik.

Kehangatan matahari pagi sudah berlalu pergi dan hanya kedinginan yang menyelimuti. Peluh membasahi tubuh dan pakaian yang dipakai. Muka mereka pucat dan nafas mereka turun naik. Berdiri rapat-rapat dan tidak mahu berpisah. Kini mereka diganggu dengan tangisan si sundel bolong. Bunyinya betul-betul di hadapan mereka.

Bagaimana mereka mahu lari keluar?

Rupanya tidak kelihatan kerana dia sedang menangis di balik kegelapan. Merintih-rintih penuh hiba. Bagaikan ibu yang kematian anak.

Danny berpeluk tubuh. Suasana semakin sejuk seperti berada di padang ais. Angin berderu kuat menampar-nampar kulit mereka. Bibir terketar-ketar sehingga bunyi gigi berlaga jelas kedengaran. Ayat-ayat suci tidak mampu dibaca seperti sebelum ini. Fikiran mereka bercelaru.

"Heiii..............."

Sundel bolong itu menegur. Empat sahabat itu menggigil ketakutan. Mereka beranjak ke belakang selangkah demi selangkah dan akhirnya tersandar ke dinding.

"Nak ke mana?"

ALLAHU..... Perlukah pertanyaan itu dijawab?

"Nampak tak?"

Bertubi-tubi soalan dari iblis itu. Mahu beramah mesra barangkali namun soalan-soalannya tidak akan berjawab. Lidah manusia-manusia itu sudah kelu. Mereka bagaikan sudah terlupa bagaimana untuk bertutur. Yang mereka lakukan hanyalah mengigil penuh ketakutan.

"Nampak?"

Soalan itu diulang. Dia ingin tahu jika empat manusia itu dapat melihatnya yang sedang terpacak berdiri sambil merenung mereka dengan mata yang membulat dan mulut yang tersenyum lebar. Pakaiannya? Sehelai kain putih bersama lubang di tengah badannya. Tali perutnya berjuntaian dan dia mahu mereka melihatnya.

"Aku datang ya...."

Ketakutan mereka semakin menggila. Iblis itu mahu menampakkan dirinya. Apa yang harus mereka buat? Mereka tidak sanggup berhadapan dengan sundel bolong itu!

"Hukkkk...." Hidung ditutup dengan hujung lengan baju. Bau hanyir dan busuk seperti bangkai tiba-tiba menusuk ke lubang hidung.

Adakah dia semakin menghampiri?

"Kita lari!" Danny berkata lantang. Dia tidak sanggup untuk berlama-lama di situ. Bangunan itu sudah tidak selamat sebagai tempat berlindung. Dia membuka langkah seribu lalu diikuti dengan yang lain.

"Nak ke mana?"

Larian dihentikan. Mereka masih di posisi yang sama. Masih di dalam bangunan usang itu. Sundel bolong kini sedang berdiri membelakangi mereka. Lubang di tubuhnya kelihatan jelas. Airil terduduk. Dia memegang-megang kepalanya.

"Aku nak balik! Aku nak balik!!"

Imriz menenangkan Airil yang terduduk di lantai. Sejak tadi, Airil bagaikan orang yang hilang semangat. Dia meracau-racau dan terlupa dengan ayat-ayat suci. Dia terlalu stress.

"Bangun Ril.... Jangan macam ni...." Imriz berbisik. Muka kawannya itu pucat habis.

"Bangun Ril..... Jangan macam ni...." Kata-kata Imriz diajuk oleh iblis itu. Sinis sekali bunyinya. Kemudian dia ketawa terkekek-kekek. Berulang-ulang macam kaset rosak.

"Apa kita nak buat ni?" Tanya Imriz pada Danny dan Jeff.

"Temankan aku.... Aku sunyi....."

Mereka mengetap bibir. Hantu itu tidak mahu melepaskan mereka pergi. Disuruh menemani pula. Memang takkanlah! Buat apa menemani hantu macam kau!

Tahu manusia-manusia itu mahu cabut lari buat kali kedua, dia kembali menangis penuh hiba. Sayu sekali bunyinya. Merinding.

"Temankan aku di kubur.... Aku sunyi......"

Pandangan mereka bertemu. Sundel bolong ini seperti mahu mereka mati sahaja. Mujur di antara mereka tiada yang menghidap sakit jantung. Kalau tidak, sudah lama menjadi arwah.

Tangisan halus itu tiba-tiba ghaib. Suasana menjadi sunyi-sepi. Danny cepat-cepat menyuluh ke hadapan. Memang benar, sundel bolong itu sudah tiada tetapi mereka tiada masa untuk menarik nafas lega kerana mereka harus keluar dari situ secepat mungkin. Iblis itu boleh kembali pada bila-bila masa sahaja.

"Jom keluar!" Kata Danny.

*****

Mereka berhenti di sebuah bangunan yang lain. Kali ini bangunannya ada tiga tingkat. Entah apa kegunaan bangunan ini dahulu. Mungkin bahagian administration funfair ini. Mereka berhenti rehat di tingkat dua.

"Masih pukul 5 pagi." Jeff berkerut dahi. Dia bingung dengan segala yang menimpa. Dia sudah penat mahu berlari ke sana-sini dengan perut kosong. Semakin lama tenaga mereka semakin berkurangan.

"Kita rest dulu. Kau okey tak Airil?"

Airil memandang muka Danny tidak berkelip. Selepas beberapa saat dia mengangguk. Dia kelihatan sangat lesu. Mahu bercakap pun dia tidak larat.

"Apa pengakhiran hidup kita ni ya?" Tanya Imriz secara tiba-tiba. Dia sedang bersandar ke sofa buruk yang ada di situ.

"Kita akan keluar dari tempat ni." Janji Danny.

"Kenapa kau pasti sangat?" Celah Jeff pula.

"Aku akan cari jalan keluar...."

"Aku langsung tak nampak jalan keluar."

Mata Jeff dan Danny bertembung buat beberapa minit.

"Aku yang bawak korang ke sini. Aku akan pastikan korang selamat."

Jeff terdiam. Dia menggosok-gosok muka yang melekit dengan peluh. Mungkin dia yang terlalu menyalahkan Danny di atas segala-galanya. Danny pun mangsa di funfair ini. Akhirnya ada sejalur senyuman pahit dia ukirkan buat Danny.

"Kita rehat dulu dalam setengah jam." Danny tersenyum tawar. Selepas keluar dari bangunan sebelum ini, mereka cuba mencari jalan keluar hampir 40 minit lamanya.

Keadaan Airil yang lemah membimbangkan mereka untuk meneruskan perjalanan. Jadi mereka bertekad untuk berehat di situ. Sekurang-kurangnya Airil akan mendapat tenaga dan kekuatannya kembali. Risau juga jika ada apa-apa yang tidak elok berlaku pada Airil.

Airil yang sedang berbaring kini perlahan-lahan bangun dan duduk sambil menghadap ke hadapan.

"Ada apa Ril?" Imriz menyoal.

Airil tidak menjawab pertanyaan Imriz. Dia hanya merenung ke hadapan dengan pandangan yang kosong. Danny menyuluh ke muka Airil dan mendapati wajah rakan mereka itu lain benar.

ANEH DAN BUKAN SEPERTI AIRIL.

Dia mencuit paha Jeff. Memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada Airil.

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Where stories live. Discover now