SEASON 2 ; 2

448 19 0
                                    

CIKGU Hani memandang Emma tidak berkelip. Dari riak muka remaja ini, dia seolah-olah dapat merasakan yang Emma ingin memberitahunya tentang sesuatu yang tidak elok. Adakah Emma sedang merasai kehadiran sesuatu yang ghaib?

Lengan Emma disentuh. Remaja itu tersentak.

"Kenapa ni Emma?"

"Tolong angkut khemah ke dalam. Malam ni kita bermalam kat sini." Arah Cikgu Haiqal pada para pelajar sebelum Emma sempat memberi jawapannya.

Remaja itu cepat-cepat bergegas ke sisi bas untuk mengambil beberapa barangan yang diperlukan untuk malam itu. Dia tidak menjawab pertanyaan Cikgu Hani sebentar tadi. Wanita muda itu terpinga-pinga. Sudah beberapa kali Emma bersikap aneh dan dia benar-benar ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Abang Zack yang tertunduk-tunduk memeriksa keadaan tayar tiba-tiba bertukar pucat. Sekilas lalu dia ternampak sesuatu di bawah bas. Hanya berlaku selama beberapa saat sahaja. Jantungnya berdegup laju. Haruskah dia melihat untuk kali kedua? Untuk memastikan apa yang dilihatnya itu betul ataupun tidak.

Dengan peluh yang merenik di dahi, dia menundukkan kepalanya secara perlahan-lahan hingga pandangannya bertemu dengan bawah bas sekolah.

TIADA APA-APA YANG ANEH DI SITU.

Abang Zack mampu menarik nafas lega. Syukur Ya ALLAH. Bahu yang kemudiannya ditepuk dari belakang memeranjatkannya. Dia terduduk ke tanah.

Cikgu Haiqal menggelengkan kepala sambil tersenyum, "Esok je kita tukar tayar ni bang. Saya dengan budak-budak tu akan tolong."

Abang Zack cepat-cepat bangun sambil dibantu Cikgu Haiqal. Merah padam mukanya kerana malu. Mesti Cikgu Haiqal melihatnya sebagai seorang yang pengecut. Dia hanya menganggukkan kepalanya dan meminta diri untuk naik ke bas untuk mengambil sesuatu.

"Okay bang. Jumpa kat dalam."

Selepas cikgu itu beredar, Abang Zack duduk di kerusi pemandu selama beberapa ketika. Otaknya berputar ligat dan hatinya memang berat untuk melangkah masuk ke funfair itu. Walaupun dia tidak pernah melihat sendiri entiti-entiti seperti yang didakwa kebanyakan orang namun nalurinya mengatakan funfair itu memang berpuaka. Bulu romanya meremang sejak tadi.

Dan apa yang telah dilihatnya di bawah bas sebelum ini?

TAP!

Konsentrasi Abang Zack terganggu. Seperti ada seseorang yang mengetuk lantai bas. Dia menoleh ke belakang dan memandang kerusi-kerusi kosong dengan perasaan yang bercampur-baur. Tiada sesiapapun di dalam bas itu dengannya.

TAP!

Dia pantas berdiri dan keluar dari kenderaan itu lalu bergegas mengintai ke bawah bas. Mungkin ada haiwan di situ. Dia mencapai torchlight yang terletak di dashboard dan menyuluh bawah bas. Memang tiada apa-apa.

TAP!

Cepat-cepat dia kembali menyuluh ke tempat yang sama. Tatkala cahaya lampu suluh mengenai sudut tengah bawah bas, ada sesuatu berwarna putih sedang terbaring di situ. Mata Abang Zack terbeliak. Itu......Itu macam jenazah yang berbalut kain kapan!

*****

UNGGUN api dihidupkan. Proses menyalakan api agak sukar kerana cuaca yang sejuk berangin. Semua pelajar sibuk memasang khemah masing-masing di atas tanah yang basah ditimpa hujan.

Cikgu Haiqal dan Cikgu Hani merenung satu khemah yang sudah siap terpasang di situ. Ada orang berkhemahkah sebelum ini? Entah milik siapalah khemah itu.

"Kenapa khemah tu ditinggalkan macam tu aje?" Tanya Cikgu Hani dengan rasa hairan. Keningnya bergerak-gerak.

"Mungkin orang tu lupa kot."

"Hisy tak mungkin lupa...." Cikgu Hani menyangkal kata-kata Cikgu Haiqal. Dia tidak percaya orang akan meninggalkan khemah dengan sengaja.

Cikgu Haiqal tergelak.

"Kenapa cikgu gelak?"

"Yalah, Cikgu Hani kita ni bukan main serius. Khemah terbiar je kot?" Cikgu Haiqal mengusik. Terserlah lesung pipit di kedua belah pipinya.

Cikgu Hani mencebik. Cikgu lelaki ini memang gemar mengusiknya. Pantang ada peluang. Dia bingkas bangun dan pergi membantu pelajar memasang khemah. Cuaca pun semakin sejuk. Tidak mustahil hujan lebat akan kembali membasahi bumi selepas ini. Jadi lebih baik khemah dipasang secepat mungkin.

Cikgu Haiqal tertawa. Dia sungguh terhibur dengan gelagat Cikgu Hani. Comel pun ada juga. Tidak lama kemudian dia melihat Abang Zack berlari menuju ke arahnya. Muka lelaki itu pucat dan dibasahi peluh.

"Kenapa bang?"

Abang Zack melihat ke pintu pagar utama. Bas kelihatan samar-samar di balik suasana yang semakin suram. Dia menghampiri Cikgu Haiqal dan melabuhkan duduk di sebelah pemuda itu.

"Saya.........."

Cikgu Haiqal memakukan pandangannya ke wajah Abang Zack. Menanti kata-kata yang seterusnya.

"Takde apa-apa cikgu....." Akhirnya Abang Zack bertindak untuk merahsiakan apa yang dilihatnya. Dia tidak mahu menakut-nakutkan cikgu dan para pelajar itu. Lagipun mereka akan menyambung perjalanan esok dan mereka sudah tiada pilihan lain selain bermalam di situ.

Cikgu Haiqal hanya tersenyum. Dia sibuk mengatur-atur ranting kayu yang dibakar api.

*****

LANGIT malam akhirnya melabuhkan tirainya. Cikgu Haiqal menjadi imam solat berjemaah pada malam itu. Mereka berwuduk menggunakan air mineral yang dibawa. Selesai solat Isyak, mereka semua berkumpul berdekatan unggun api. Tiada apa yang menjadi topik perbincangan selain mengapa tapak pesta itu sudah terbiar selama belasan tahun.

Aliff dengan rakan-rakannya yang paling berminat mahu tahu.

"Cikgu rasa tempat ni berhantu tak?" Soal Aliff dengan muka nakal.

"Hisy mulut! Jangan cakap yang bukan-bukan..." Sela Cikgu Hani. Cikgu Haiqal tersenyum.

Aliff memang dikenali dengan mulut lembiknya. Bila bercakap bukannya berfikir dulu. Main hentam aje. Emma mengetap bibir. Tempat ini memang keras, jika tersalah tutur buruk padahnya nanti. Rumah hantu yang terletak tidak jauh dari mereka membuatkannya berdebar-debar. Dia terdengar bunyi tangisan sejak beberapa minit yang lepas.

Bunyi tangisan itu halus dan mendayu-dayu. Datangnya dari dalam rumah hantu itu. Bau busuk juga kembali menyesakkan dadanya.

"Cikgu...." Emma memanggil secara tiba-tiba.

Gadis berkulit cerah kuning langsat itu segera menjadi titik fokus utama semua yang berada di situ.

"Dengar tak bunyi perempuan menangis?"

Pertanyaan Emma mengundang rasa cuak di hati Cikgu Hani dan beberapa pelajar lain. Suara tangisan siapa yang dimaksudkan oleh Emma?

"Kau dengar suara menangis ke?" Aliff bertanya dengan perasaan teruja.

Emma mengangguk-angguk. Dia hanya menunduk memandang ke tanah. Suara itu semakin mendayu-dayu. Sebak sekali menyapa gegendang telinganya. Abang Zack menelan liur. Imej lembaga berkafan petang tadi pantas menyerang layar ingatannya. Dia berdebar-debar.

Cikgu Hani memandang Emma lama-lama. Dia pasti Emma tidak bergurau.

"Dari mana Emma?" Cikgu Hani menyoal.

Emma menghalakan jari telunjuknya ke belakang dengan kepala masih menunduk ke bumi, "Dari situ........"

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Hikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin