SEASON 2 ; 9

412 16 1
                                    

KILAT semakin menggila. Terus memanah di kaki langit. Bergemerlapan bagaikan bunga api. Sekali memanah, bergegar bumi di bawah tapak kasut mereka. Cikgu Haiqal dan Abang Zack tidak mempunyai kekuatan untuk ke mana-mana kerana kilat petir dan hujan yang semakin lebat. Begitu juga dengan angin yang begitu kencang. Wajah dan lengan mereka luka-luka terkena ranting kayu yang berterbangan.

"Allahuakbar cikgu... Apa yang kita nak buat ni?" Soal Abang Zack dengan tubuh yang basah lencun.

Cikgu Haiqal hanya merenung ke bas sejak tadi. Matanya tertancap pada Ikhwan dan Razif yang sedang memerhatikan mereka di tingkap kenderaan itu. Makhluk berbungkus putih itu pula sudah tidak kelihatan.

"Cikgu nak masuk ke sana balik ke? Jangan cikgu.... Nanti terperangkap macam tadi."

"Tak bang. Saya cuma berfikir macam mana nak buktikan tu bukan Ikhwan dan Razif. Abang rasa dia orang tu manusia ke bukan?"

Abang Zack tidak memberi apa-apa jawapan buat beberapa minit. Fikirannya menerawang sehingga ke peristiwa semasa di dalam bas. Ikhwan dan Razif tiada di dalam khemah dan jika yang di dalam bas itu bukan mereka.... Jadi di mana mereka yang sebenarnya?

"Saya rasa tu bukan dia orang cikgu." Itu jawapannya.

Cikgu Haiqal mengangguk. Hujan yang kian lebat tidak dipedulikan lagi. Cikgu muda itu mengayun langkahnya menuju ke bas. Tindakannya mengejutkan Abang Zack. Apa yang mahu dilakukan oleh Cikgu Haiqal?

"Cikgu! Cikgu nak ke mana?"

"Ke dalam bas."

Abang Zack sudah tiada pilihan lain. Dia mengejar Cikgu itu dari belakang namun hanya berdiri di hadapan pintu bas sahaja. Senang nanti jika berlaku apa-apa. Dia akan menolong Cikgu Haiqal dari luar. Cikgu Haiqal pula sudah masuk ke dalam untuk berhadapan dengan Ikhwan dan Razif.

"Selamat kembali cikgu." Ucap keduanya dengan nada yang sinis. Keduanya berdiri di belakang sambil menghadap Cikgu Haiqal yang berdiri di hadapan berdekatan seat pemandu.

Akhirnya Cikgu Haiqal dapat melihat wajah-wajah mereka melalui cahaya kilat yang memancar-mancar di luar. Seperti yang digambarkan Abang Zack sebelum ini, wajah Ikhwan dan Razif biru seperti mayat. Mata keduanya putih dan mulut mereka ternganga luas bagaikan mahu membahamnya hidup-hidup.

"Mana Ikhwan dengan Razif?" Cikgu Haiqal bertanya.

"Kamilah Ikhwan dengan Razif cikgu. Cikgu ni bodoh sangat ke sampai tak kenal dengan pelajar sendiri?" Kasar sekali jawapan Ikhwan. Suaranya semakin parau.

"Aku tak kenal sebab kau bukan pelajar-pelajar aku. Kau ni syaitan iblis!" Jerkah Cikgu Haiqal penuh kemarahan tetapi dia masih mampu bertenang. Abang Zack hanya mendiamkan diri di luar.

Ikhwan dan Razif ketawa mengilai. Halus nyaring suara mereka. Memang merinding!

"Tau pun yang kami syaitan iblis. Dah tau kenapa kau tanya lagi? Dasar manusia bodoh!" Razif pula yang memprovok.

Cikgu Haiqal memejamkan mata buat seketika. Cuba menenangkan perasaan yang bercampur-baur.

Ketika melilau memandang ke sekeliling, mata Abang Zack terpandang sesuatu di balik pepohonan di hadapannya. Macam ada susuk tubuh di celahan pepohonan itu. Perasaannya mulai tidak enak.

"Cikgu....Cikgu...." Dia memanggil-manggil.

Cikgu Haiqal menurunkan pandangannya ke arah lelaki itu. Abang Zack sedang menunjuk-nunjuk ke satu tempat. Cepat-cepat dia turun dan bergegas ke pepohonan yang dimaksudkan Abang Zack.

"Ya ALLAH....." Cikgu Haiqal betul-betul terkejut dengan apa yang dilihatnya ketika itu. Abang Zack terlopong dan tiada kata yang terlafaz dari mulutnya.

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Where stories live. Discover now