SEASON 2 ; 3

419 17 0
                                    

ALIFF memandang rakan-rakannya dengan kening yang terangkat. Adakah benar funfair itu berpuaka? Kalau benar, dia mahu melihat sendiri puaka-puakanya.

Rumah hantu di belakang masih menjadi fokus utama semua yang ada di situ. Mereka berdebar-debar dan mengengsot mendekati satu sama lain. Lain macam pula sejuknya malam itu. Entah mengapa dakwaan Emma itu seperti bukan direka-reka. Seperti benar ada jembalang-jembalang yang sedang memerhatikan mereka pada waktu itu.

Emma hanya merenung unggun api yang marak memamah kayu di hadapannya. Tangisan itu masih berlaku tetapi ternyata hanya dia yang mendengarnya. Dia tidak mahu berkata lebih-lebih kerana khuatir akan diejek oleh rakan-rakan yang lain. Mereka tidak akan mempercayainya.

Cikgu Hani bingkas bangun dan melabuhkan duduk di sebelah Emma. Ada benda yang ingin dia tanyakan dengan lebih lanjut.

"Apa yang awak nampak masa dalam bas petang tadi?"

Emma pantas memandang Cikgu Hani. Bibirnya bergetar. Rupa-rupanya Cikgu Hani masih ingat dengan apa yang berlaku ke atas dirinya siang itu. Apakah Cikgu Hani akan mempercayainya jika dia menceritakan perkara yang sebenar?

Abang Zack memandang Cikgu Hani dan Emma dengan penuh minat. Dia berminat mahu mendengar cerita dari mulut remaja itu kerana dia telah melaluinya sendiri. Jenazah berkafan itu dia nampak dengan mata kepalanya sendiri. Jika dia menceritakannya kepada yang lain, pasti dia dituduh sengaja mahu menakut-nakutkan mereka.

"Bunyi orang menangis tu masih ada tak?" Soal Cikgu Hani lagi. Emma mengangguk perlahan.

"Awak nampak tak macam mana rupa dia?"

"Cikgu pernah tengok cerita Sundel Bolong?" Emma bertanya. Cikgu Hani mengiyakan.

"Macam tulah rupa dia...."

Kata-kata Emma membuatkan suasana kecoh sebentar. Sundel bolong? Betul-betul menakutkan! Cikgu Haiqal bingkas berdiri dan menenangkan perasaan mereka. Dia menepuk-nepuk tangan supaya para pelajarnya senyap.

"Takde apa-apa kat sini selain kita. Sudah, jangan merepek yang bukan-bukan."

Emma berdiri lalu memandang Cikgu lelaki itu, "Cikgu tak percaya pada syaitan dengan iblis?"

Cikgu Haiqal mengangguk, "Saya percaya...."

"Jadi kenapa cikgu kata saya merepek yang bukan-bukan?"

Cikgu Haiqal mengeluh, "Sebab kat sini memang takde sesiapa kecuali kita."

"Ada...."

Cikgu Haiqal merenung Emma. Nampaknya remaja ini tidak mahu mengalah. Masih mahu menegakkan benang yang basah.

"Emma, cukup. Saya tak nak awak bercakap yang bukan-bukan lagi. Faham?" Tegas sekali suara Cikgu Haiqal membelah kesunyian malam.

"Benda tu masih menangis...." Ujar Emma lagi. Bagaimana dia mahu membuktikan yang funfair lama itu memang keras?

"Cukup! Semua masuk khemah masing-masing." Cikgu Haiqal meninggi suara. Hujan rintik-rintik juga sudah turun membasahi kepala mereka. Semuanya bergegas masuk ke khemah untuk berlindung dari hujan yang akan menjadi lebat tidak lama lagi.

Sebelum masuk ke khemah, pandangan mata Cikgu Haiqal bertemu dengan mata Emma buat beberapa saat. Pasti Emma marah dengan Cikgu Haiqal yang tidak mempercayainya. Cikgu Haiqal melepaskan keluhan yang panjang.

Cikgu Hani mendekati Cikgu Haiqal selepas itu.

"Saya bukan nak masuk belah siapa-siapa tapi saya rasa Emma bercakap benda betul cikgu..." Usai berkata begitu, Cikgu wanita itu beredar ke dalam khemah untuk bersama beberapa orang pelajar perempuan lain.

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Where stories live. Discover now