SEASON 1 ; 6

540 23 0
                                    

TANPA berfikir panjang, Airil membuka langkah seribu sambil terpekik-pekik menyuruh yang lain untuk lari sekali. Dia sudah tiada masa untuk memikirkan iblis-iblis yang akan bergerak ketika mereka bergerak itu. Apa yang dia tahu, jenazah itu akan mendekati mereka jika mereka tidak cabut lari. Yang lain juga lari tidak cukup tanah dan larian mereka semakin pantas apabila menyedari jelmaan-jelmaan itu sedang mengejar mereka dari belakang.

"Aku dah tak larat!" Imriz memperlahankan lariannya. Dia tercungap-cungap tidak cukup nafas.

"Kena teruskan!" Jeff menarik lengan Imriz dan membawanya lari bersama-sama. Jika Imriz berhenti, tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Sempat Jeff menoleh ke belakang. Para jelmaan itu masih melayang mengejar mereka.
Pergerakan mereka seperti kain yang ditiup angin. Melayang dan terbuai-buai. Ya, pergerakan mereka juga sangat laju. Bahagian kaki mereka samar-samar seperti kabus.

Tanpa mereka sedari, mereka berempat berlari memasuki bangunan yang dahulunya merupakan tempat bermain kereta langgar. Jika bukan kerana Imriz yang jatuh terjelepok ke lantai, mereka tidak perasan yang mereka sudah berada di dalam bangunan tersebut.

Imriz hanya terbaring di lantai yang berdebu. Dia sudah tidak larat mahu meneruskan larian. Dadanya turun naik. Jeff dengan yang lain segera berpaling ke belakang dan melihat lembaga-lembaga itu sudah tiada. Sudah ghaib entah ke mana. Akhirnya mereka mampu menarik nafas lega.

Danny, Airil dan Jeff sama-sama merebahkan diri ke atas lantai. Lantai simen yang kotor itu basah dengan air peluh mereka. Sambil mengawal pernafasan yang semput kerana dibawa berlari tanpa henti.

"Kita rileks kat sini dulu geng. Aku dah tak larat nak lari...." Airil berkata dengan nafas tercungap-cungap.

Rakan-rakannya hanya mendiamkan diri tetapi mereka juga seperti Airil yang mahu mengumpul tenaga sebelum mencari jalan keluar dari situ.

"Jenazah tadi......." Tiba-tiba sahaja Airil membuka cerita tentang lembaga berkain kafan tadi. Ayatnya pantas dicantas oleh Danny.

"Kau jangan sebut pasal tu lagi Ril! Kang dia muncul mampus kita..."

Airil menepuk bahu Danny, "Bila masa aku cakap pasal benda tu?"

"Dah tadi?" Danny mencerlung ke arah Airil yang terbaring di sebelahnya.

Airil menelan liur, "Tu bukan suara aku lah."

Kata-kata Airil membuatkan tiga rakannya pantas bangun dari perbaringan. Wajah pemuda itu ditenung. Pucat dan berpeluh-peluh. Jadi bukan dia yang bersuara sebentar tadi?

"Bukan aku...." Ulang Airil. Kepalanya digeleng-gelengkan.

Tiada soalan lanjut dari mereka bertiga kerana mereka tahu jawapannya. Suara yang menyerupai suara Airil itu pastinya milik syaitan dan iblis. Perlahan-lahan mereka mengengsot merapati antara satu sama lain. Duduk di dalam bulatan dengan mata yang melilau memandang ke sekeliling.

"Baca ayat Qursi geng..." Suruh Jeff.

Belum sempat ayat suci dibaca, Airil menundukkan muka sambil memejamkan mata. Bibirnya diketap. Perbuatannya itu disedari Danny.

"Kenapa Ril? Apa yang kau nampak?"

"Benda tu Danny....."

"Benda apa?"

"Iblis...."

"Yang mana satu?"

"Yang berkafan tu...."

Danny terdiam. Nampaknya jenazah itu mengekori mereka sehingga ke situ. Dia memandang ke sekitar namun tidak menjumpai apa-apa. Mujur torchlight kecil dia sisip di dalam poket baju sejuk. Dia memberanikan diri menyuluh ke sudut-sudut di dalam bangunan itu.

Jeff dan Imriz menyedari tindakan Danny tetapi mereka tidak berkata apa-apa.

"Takde apa-apa Ril... Rileks k..." Ujar Danny setelah memastikan tiada apa-apa yang menakutkan di situ. Degup jantungnya sama kencang dengan angin yang menderu kuat di luar.

"Ada Danny.... Dia ada...." Bisik Airil dengan penuh ketakutan.

Danny menyuluh ke hadapan buat kali kedua. Memang tiada apa-apapun di situ.

"Kenapa Ril? Danny?" Tanya Jeff. Hairan mendengar perbualan dalam nada berbisik dua rakannya itu.

"Ril nampak benda tu dengan kita sekarang." Balas Danny.

"Mana satu?"

"Yang kain putih tu....."

Jeff dan Imriz berbalas renungan. Bulu roma mereka tegak berdiri.

Beberapa minit kemudian, Airil mengangkat wajahnya dan melihat jenazah itu sudah tiada. Dia beristighfar panjang. Dia benar-benar takut.

Tidak lama selepas itu, mereka terlena di atas lantai. Kepenatan dan kedinginan.

*****

BUNYI kain terseret di lantai mengejutkan Jeff dan Danny dari tidur. Keduanya bangun dari perbaringan dan berkomunikasi lewat pandangan mata. Bunyi itu memang jelas sekali. Seperti berada berdekatan mereka.

"Ril, Riz, bangun...." Gerak Jeff. Dua pemuda itu memandang siling dengan mata separuh terbuka.

"Korang dengar tak?" Tanya Jeff.

Imriz dan Airil memasang telinga dan ternyata bunyi seretan itu jelas didengari oleh mereka semua. Mereka kembali panik. Kembali duduk dalam posisi berhimpit-himpit. Apa lagi ni?

"Aku rasa lebih baik kita keluar dari sini." Cadang Imriz. Lagipun mereka sudah mendapat tenaga mereka kembali. Sempat juga terlena hampir 30 minit.

Sedang mereka bangun dari lantai yang sejuk itu, bunyi seretan juga semakin jelas. Semakin lama semakin mendekat. Entah mengapa kaki mereka bagaikan terpaku ke bumi. Tiada daya untuk mengangkat kaki dan cabut lari.

"Ya ALLAH....." Airil tergamam melihat apa yang sedang muncul di hadapan mereka pada ketika itu.

Jenazah berkafan lusuh itu sedang menyeret dirinya mendekati mereka.

FUNFAIR SEASON 1 DAN 2Where stories live. Discover now